Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dibanjiri Sampah, Dihinggapi Tikus: Ini Kisah Michelle, Wanita Hoarder


     Michelle ialah antara individu yang paling diingati dalam siri dokumentari realiti Hoarding: Buried Alive lebih-lebih lagi selepas kemunculannya dalam episod bertajuk Full of Rats yang disiarkan pada tahun 2013. Episod ini bukan sahaja mengejutkan penonton kerana keadaan rumah Michelle yang amat menjijikkan malah turut membangkitkan rasa simpati terhadap wanita ini yang nyata terperangkap dalam dunia yang dibentuk oleh kesepian, trauma dan masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan betul. 

     Rumah Michelle yang terletak di Tacoma, Washington digambarkan sebagai salah satu kediaman paling teruk pernah ditayangkan dalam rancangan tersebut. Dinding rumahnya dipenuhi najis tikus, setiap bilik berselerak dengan timbunan sampah yang telah membusuk dan seluruh rumah itu dihuni oleh ratusan ekor tikus yang bebas bergerak dari satu ruang ke satu ruang. Tidak ada satu sudut pun yang bersih atau selamat. Bau busuk menusuk hidung hingga menyebabkan ramai dalam kalangan pasukan pembersihan dan kru produksi tidak mampu menahan loya. Dalam satu adegan yang terkenal, beberapa individu kelihatan hampir muntah ketika melangkah masuk ke ruang tamu. Keadaan rumah itu menggambarkan pengabaian yang sudah berlarutan bertahun-tahun.


     Michelle, seorang wanita berusia 56 tahun pada ketika itu tinggal bersendirian di rumah yang telah lama dirampas pihak berkuasa akibat tunggakan cukai. Apa yang mengejutkan ialah rumah itu telah pun dijual semula kepada pelabur hartanah tanpa menyedari masih ada penghuni di dalamnya. Apabila pelabur-pelabur baharu iaitu Tony dan Mark Gore tiba untuk melihat keadaan rumah, mereka sangat terkejut apabila mendapati Michelle masih menetap di situ dalam keadaan yang sangat daif. Namun disebabkan rasa simpati dan rasa tanggungjawab sosial, mereka membenarkan Michelle terus tinggal di situ dengan syarat dia menjaga kebersihan rumah dan berusaha membelinya semula.

     Pasukan produksi rancangan bersama sukarelawan dan pekerja profesional kemudian memulakan misi pembersihan besar-besaran. Mereka mengangkut keluar bertan-tan sampah dan memasang perangkap tikus di seluruh rumah. Satu demi satu tikus dikeluarkan dengab ada yang masih hidup, ada yang sudah mati dan reput dalam timbunan sampah. Pembersihan ini bukan sahaja untuk membaiki struktur rumah tetapi juga bertujuan memberi Michelle peluang baharu untuk memulakan hidup yang lebih sihat dan teratur. Ketika proses itu berlangsung, Michelle kelihatan teragak-agak untuk melepaskan barang-barangnya, satu ciri klasik dalam kalangan individu yang mengalami gangguan pengumpulan tegar. Walaupun dia sesekali bersetuju untuk membuang sebahagian daripadanya, dia jelas kelihatan berasa cemas dan berat hati.


     Latar belakang Michelle turut menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan penonton. Michelle pernah mendakwa bahawa dia belajar dalam bidang undang-undang selama hampir sepuluh tahun namun tidak pernah lulus peperiksaan bar. Selain itu, Michelle juga menyatakan bahawa dia fasih dalam lima bahasa dan pernah bekerja sebagai jurubahasa. Walaupun kenyataan ini kedengaran hebat, ramai yang meragui kesahihannya. Michelle mungkin membina naratif hidup yang lebih ideal untuk mengimbangi realiti getir yang sedang dihadapin yakni suatu bentuk pertahanan psikologi yang sering digunakan oleh individu yang berdepan masalah mental dan sosial yang kronik.

     Setelah pembersihan selesai, Michelle diberikan harapan baharu. Rumahnya telah dibersihkan dan dia diberi peluang kedua untuk tinggal di situ dengan pemantauan. Namun dua tahun kemudian, harapan itu musnah apabila Michelle sekali lagi muncul dalam episod Last Chance yang mendedahkan bahawa dia telah kembali kepada tabiat lama. Rumahnya kembali dipenuhi sampah, masalah tikus berulang dan pelabur yang selama ini bertolak ansur mula hilang sabar. Ramai penonton yang sebelum ini bersimpati mula menyuarakan rasa kecewa tetapi mereka juga sedar bahawa tabiat pengumpulan tegar bukan sesuatu yang boleh diubah dengan mudah tanpa intervensi psikologi berterusan. 


     Pembersihan fizikal tidak mencukupi tanpa rawatan psikoterapi, bantuan komuniti dan pemantauan jangka panjang. Dalam kes Michelle, bantuan yang diberikan hanya mampu bertahan seketika kerana tidak diiringi dengan rawatan psikologi yang berterusan dan sistem sokongan yang kukuh. Hasilnya dia kembali terjerumus dalam keadaan yang sama seolah-olah segala usaha sebelum ini sia-sia.

Catat Ulasan for "Dibanjiri Sampah, Dihinggapi Tikus: Ini Kisah Michelle, Wanita Hoarder "