Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM TIGA GADIS REMAJA DI ALCASSER


     Pada malam 13 November 1992, tiga orang remaja perempuan dari bandar kecil Alcasser yang berhampiran Valencia, Sepanyol merancang untuk menghadiri satu pesta sekolah di sebuah kelab malam popular bernama Coolor yang terletak di Picassent, kira-kira 4 kilometer dari kediaman mereka. Tiga remaja tersebut ialah Miriam Garcia Iborra (14 tahun), Antonia “Toni” Gomez Rodriguez (15 tahun) dan Desiree Hernandez Folch (14 tahun). Mereka merupakan sahabat baik yang sering bersama dan malam itu merupakan acara sosial yang dinantikan. Disebabkan tiada pengangkutan awam pada waktu itu dan ibu bapa mereka tidak dapat menghantar, mereka memutuskan untuk menumpang kenderaan yakni satu amalan biasa dalam kalangan remaja kawasan luar bandar Sepanyol ketika itu yang dikenali sebagai hacer autostop.

     Kali terakhir mereka dilihat adalah berhampiran stesen minyak di persimpangan jalan Alcasser-Picassent di mana seorang saksi mengatakan mereka menaiki sebuah kereta Opel Corsa putih. Apabila mereka tidak pulang selepas pesta, keluarga mereka mula bimbang dan segera membuat laporan polis. Cuma pada peringkat awal, pihak berkuasa tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa dan beranggapan mungkin mereka lari dari rumah. Hanya selepas tekanan dari keluarga dan masyarakat tempatan, operasi pencarian secara besar-besaran dilancarkan. Poster-poster wajah ketiga-tiga gadis disebarkan di seluruh negara dan program televisyen terkenal turut menyiarkan siaran khas mencari mereka. 

     Harapan itu bagaimanapun musnah pada 27 Januari 1993 apabila dua penternak lebah yang bekerja di kawasan terpencil berhampiran La Romana yakni kira-kira 50 kilometer dari Alcasser menemui sesuatu yang mencurigakan iaitu sebuah lubang cetek yang ditutup dengan kayu dan daun. Di dalamnya, terdapat tiga mayat yang reput dan dalam keadaan mengerikan. Polis dipanggil dan bedah siasat yang dijalankan kemudian mengesahkan bahawa mayat-mayat itu ialah Miriam, Toni dan Desiree. Penemuan tersebut mengejutkan seluruh Sepanyol kerana bukan sahaja ketiga-tiga gadis itu telah dibunuh tetapi juga kerana cara mereka dibunuh sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

     Laporan forensik mendapati bahawa ketiga-tiga gadis itu telah diculik, dirogol berulang kali, diseksa secara sistematik dan dibunuh dengan kejam. Salah seorang daripada mereka dipercayai telah ditembak di kepala, seorang lagi dipukul dengan alat keras sehingga mati dan seorang lagi menunjukkan kesan dipotong dengan objek tajam. Bahkan terdapat laporan bahawa salah seorang mangsa dipotong puting payudara dan mengalami kecederaan genital yang serius. Pihak forensik juga percaya bahawa penyeksaan itu berlangsung selama beberapa jam atau mungkin beberapa hari sebelum mereka akhirnya dibunuh dan ditanam di kawasan pergunungan itu. Salah satu mayat dibalut dengan penutup tilam dan pita pelekat, manakala mayat lain menunjukkan tanda-tanda diikat dan diseret.

     Penyiasatan pihak polis kemudian mengenal pasti dua suspek utama berdasarkan bukti forensik dan keterangan saksi. Mereka ialah Miguel Ricart dan Antonio Angles. Ricart, seorang lelaki muda dengan rekod jenayah kecil ditahan dan disoal siasat. Dalam pengakuannya, dia mendakwa bahawa dia dan Angldles telah menawarkan tumpangan kepada ketiga-tiga remaja tersebut sebelum membawa mereka ke rumah kosong milik keluarga Angles di Catadau. Di situlah penderaan bermula. Antonio Angles digambarkan sebagai seorang individu ganas, agresif dan mempunyai sejarah jenayah yang lebih berat berbanding Ricart. Dalam keterangan Ricart, Angles memainkan peranan utama dalam menyeksa dan membunuh mangsa.

     Walau bagaimanapun, Antonio Angles berjaya melarikan diri sebelum polis sempat menangkapnya. Pihak berkuasa melancarkan operasi pencarian besar-besaran ke seluruh Sepanyol dan negara jiran. Ada laporan bahawa Angles telah menaiki kapal kargo ke Ireland dan ada pula teori mengatakan dia mungkin membunuh diri dengan melompat ke laut. Hingga pada hari ini, dia kekal sebagai antara individu paling dikehendaki di Eropah. Usaha pihak Interpol dan polis antarabangsa masih belum berjaya mengesan keberadaannya.

     Ricart telah dibicarakan pada tahun 1997 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 170 tahun atas kesalahan penculikan, rogol dan pembunuhan. Namun pada tahun 2013, dia dibebaskan selepas hanya menjalani 21 tahun hukuman susulan keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang menetapkan perubahan dalam cara hukuman maksimum dikira di Sepanyol. Pembebasan ini mencetuskan kemarahan orang ramai terutamanya keluarga mangsa yang berasakan keadilan belum sempurna ditegakkan.

     Pada tahun 2019, Netflix menerbitkan sebuah dokumentari bersiri bertajuk The Alcasser Murders. Dokumentari ini terdiri daripada lima episod dan menyelongkar semula tragedi tersebut melalui wawancara dengan keluarga mangsa, wartawan, pakar forensik dan individu yang terlibat dalam penyiasatan. Ia juga mengetengahkan bagaimana media Sepanyol ketika itu mempersembahkan kes ini secara sensasi hingga menimbulkan perdebatan moral. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM TIGA GADIS REMAJA DI ALCASSER"