Kisah Brian T. Stewart: Bapa yang Menyuntik Anaknya dengan HIV

Pada awal tahun 1990-an, sebuah kes tragis dan mengejutkan tercatat dalam sejarah jenayah di Amerika Syarikat. Kes ini melibatkan seorang lelaki bernama Brian T. Stewart, seorang juruteknik makmal (phlebotomist) di negeri Missouri. Stewart tidak terkenal kerana kejayaannya dalam bidang perubatan tetapi sebaliknya menjadi bualan kerana satu perbuatan kejam yang langsung tidak berperikemanusiaan iaitu menyuntik anak kandungnya yang masih bayi dengan darah yang dijangkiti HIV. Perbuatan ini dilakukan semata-mata kerana ingin mengelakkan tanggungjawab membayar nafkah anak selepas hubungannya dengan bekas kekasihnya berakhir.
Kejadian ini berlaku pada Februari 1992 yakni ketika bayi berusia 11 bulan yang bernama Brian Jackson Jr. dimasukkan ke Hospital St. Joseph’s West kerana mengalami serangan asma. Ketika itu, ibunya, Jennifer Jackson masih berusaha menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sambil menghadapi keengganan Stewart untuk bertanggungjawab. Stewart yang jarang melawat anaknya tiba-tiba datang ke hospital dengan berpura-pura mengambil berat. Dia meminta Jennifer keluar sebentar dari bilik rawatan. Ketika bersendirian bersama anaknya di bilik hospital, Stewart mengambil kesempatan itu untuk melakukan sesuatu yang langsung tidak terbayangkan oleh sesiapa. Dia menyuntik darah tercemar HIV ke dalam badan anaknya sendiri menggunakan kemahirannya sebagai juruteknik makmal. Segalanya dilakukan dalam diam tanpa sesiapa pun menyedari bahawa detik itu bakal menjadi titik hitam dalam hidup anak kecil tersebut.

Beberapa tahun kemudian, kesihatan Brian Jr. mula merosot. Pada usia sekitar lima tahun, doktor mendiagnosisnya menghidap AIDS penuh. Para pegawai perubatan tercari-cari punca sebenar penyakit itu kerana tiada rekod pemindahan darah, penderaan seksual atau faktor risiko lain yang biasanya dikaitkan dengan jangkitan HIV. Kes ini amat membingungkan pihak hospital sehinggalah siasatan lanjut dilakukan. Jennifer mula mengesyaki sesuatu yang lebih gelap telah berlaku. Maka dengan bantuan pihak berkuasa, siasatan akhirnya membawa kepada penahanan Brian T. Stewart. Bukti perubatan dan testimoni menyokong dakwaan bahawa dia secara sengaja dan terancang telah menyuntik anaknya dengan darah dijangkiti virus maut itu.
Pada bulan Disember 1998, setelah proses perbicaraan yang panjang dan menyayat hati, Stewart disabitkan dengan kesalahan serangan tahap pertama dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol. Hakim dalam kes ini menyifatkan tindakan Stewart sebagai perbuatan keji yang setanding dengan jenayah perang. Hakim menegaskan bahawa perbuatan itu bukan sahaja menunjukkan kebencian dan kezaliman tetapi juga menunjukkan jiwa yang rosak dan tidak layak hidup dalam masyarakat.

Namun dari tragedi itu, muncul sinar harapan dan kekuatan luar biasa. Brian Jr. yang kemudiannya menukar namanya kepada Brryan Jackson bagi memisahkan dirinya daripada bayangan bapanya telah membesar menentang segala jangkaan doktor. Pada awalnya, dia hanya diberi beberapa bulan untuk hidup. Menerusi sokongan ibunya dan rawatan antiretroviral yang konsisten, Brryan bagaimanapun melawan penyakit itu dengan semangat luar biasa. Walaupun kehidupannya dipenuhi dengan kesakitan, keletihan kronik dan stigma daripada masyarakat, dia tetap cekal meneruskan hidup. Ketabahan dan kekuatannya mengubah Brryan menjadi seorang aktivis kesedaran HIV/AIDS dengan menggunakan kisah hidupnya untuk mendidik orang ramai tentang penyakit tersebut dan bahaya stigma terhadap penghidap HIV.

Lebih mengagumkan lagi, Brryan memilih untuk memaafkan bapanya. Dalam beberapa temuramah media, dia menyatakan bahawa pengampunan bukan bermaksud melupakan apa yang berlaku tetapi satu jalan untuk menyembuhkan dirinya secara dalaman. Brryan tidak mahu kebencian terhadap bapanya meracuni jiwanya.
Catat Ulasan for "Kisah Brian T. Stewart: Bapa yang Menyuntik Anaknya dengan HIV"