KISAH ROMELL BROOM : Lelaki yang tidak Mati Selepas 18 Kali Disuntik dengan Suntikan Maut

Romell Broom merupakan satu nama yang mencetuskan perdebatan besar dalam sejarah sistem kehakiman Amerika Syarikat khususnya berkaitan pelaksanaan hukuman mati. Broom yang dilahirkan pada 4 Jun 1956 di Muskegon, Michigan dibesarkan di Ohio. Dia menjalani kehidupan yang akhirnya membawanya ke arah jenayah kejam yang menamatkan riwayat seorang gadis remaja serta memulakan perjalanan panjangnya sebagai banduan hukuman mati.
Jenayah yang dilakukan oleh Romell Broom berlaku pada 21 September 1984. Mangsa iaitu Tryna Middleton, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, diculik, dirogol dan akhirnya dibunuh secara kejam di East Cleveland, Ohio. Kejadian itu sememangnya mengejutkan kerana kekejamannya terhadap seorang gadis yang masih bersekolah dan tidak berdosa. Broom kemudian ditangkap dan dibicarakan. Pada tahun 1985, dia disabitkan dengan tuduhan membunuh, menculik dan merogol. Akibat jenayah berat itu, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Walau bagaimanapun, kisah Broom tidak berakhir di situ.

Pada 15 September 2009 yakni selepas hampir 24 tahun berada di penjara menanti hukuman mati, pihak berkuasa Ohio berusaha melaksanakan hukuman tersebut melalui kaedah suntikan maut. Namun proses tersebut menjadi satu kegagalan yang sangat memalukan dan menyayat hati. Dalam tempoh dua jam yang penuh dengan penyeksaan, pasukan pelaksana gagal mencari urat yang sesuai untuk memasukkan jarum IV ke dalam tubuh Broom. Mereka mencuba lebih daripada 18 kali di tangan dan kakinya tetapi semuanya tidak berjaya. Broom mengalami kesakitan yang luar biasa dan dilaporkan menangis serta merayu sepanjang proses itu. Akhirnya, Gabenor Ohio ketika itu, Ted Strickland terpaksa campur tangan dan menghentikan pelaksanaan hukuman atas dasar kemanusiaan.
Kegagalan pelaksanaan hukuman mati ini mencetuskan reaksi yang pelbagai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat umum tetapi juga di kalangan ahli perundangan dan pengamal hak asasi manusia. Persoalan utama yang timbul ialah adakah percubaan untuk melaksanakan hukuman mati buat kali kedua merupakan pelanggaran terhadap perlindungan Perlembagaan Amerika Syarikat yang melarang hukuman kejam dan luar biasa? Selain itu, adakah ia bertentangan dengan prinsip double jeopardy iaitu seseorang tidak boleh dihukum dua kali atas kesalahan yang sama? Peguam Broom mengemukakan permohonan ke mahkamah bagi menghalang pelaksanaan semula. Namun pada tahun 2016, Mahkamah Agung Ohio memutuskan bahawa percubaan kedua adalah dibenarkan. Menerusi undian tipis 4-3, mahkamah berhujah bahawa percubaan pertama belum mencapai tahap pelaksanaan sebenar kerana tiada dadah maut yang disuntik ke tubuhnya.

Perkembangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan aktivis hak asasi manusia yang menganggap bahawa sistem hukuman mati di Amerika Syarikat terlalu banyak kelemahan dan membuka ruang kepada penyeksaan serta ketidakadilan. Mereka berpendapat bahawa tiada manusia yang wajar melalui proses sebegitu, tidak kira seberat mana pun kesalahan yang telah dilakukan.
Sepanjang berada dalam penjara selepas percubaan hukuman mati yang gagal, Romell Broom menulis sebuah buku berjudul Survivor on Death Row bersama penulis Clare Nonhebel. Buku ini memberikan gambaran mendalam mengenai apa yang dilalui oleh Broom sebagai banduan yang terselamat daripada suntikan maut. Ia bukan sahaja membongkar sisi peribadi Broom tetapi juga menyingkap pengalaman ngeri yang dilaluinya semasa proses pelaksanaan hukuman itu berlangsung.
Romell Broom dijadualkan untuk menerima hukuman mati semula pada bulan Mac 2022. Cuma sebelum tarikh tersebut tiba, dia meninggal dunia pada 28 Disember 2020 akibat komplikasi jangkitan COVID-19 ketika masih berada dalam tahanan. Broom menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun tanpa sempat menjalani pelaksanaan hukuman buat kali kedua. Maka dengan kematiannya itu, isu mengenai percubaan hukuman mati buat kali kedua menjadi tertutup.
Catat Ulasan for "KISAH ROMELL BROOM : Lelaki yang tidak Mati Selepas 18 Kali Disuntik dengan Suntikan Maut"