Kisah Elizabeth Bathory : Pembunuh Bersiri Wanita Paling Kejam dalam Sejarah

Nama Elizabeth Bathory mungkin tidak sepopular tokoh-tokoh lain dalam sejarah Eropah tetapi di sebalik gelaran Countess of Cachtice yang pernah disandangnya, tersembunyi satu sisi gelap yang menjadikannya sebagai antara wanita paling kejam yang pernah direkodkan dalam sejarah dunia. Dilahirkan pada 7 Ogos 1560 di wilayah Nyirbator, Hungary, Elizabeth merupakan ahli keluarga bangsawan Bathory yang berpengaruh besar dalam politik dan ketenteraan Eropah Timur pada abad ke-16. Sejak kecil lagi, dia telah didedahkan kepada kekayaan, pendidikan tinggi dan juga kekejaman yang membentuk perwatakannya apabila dewasa kelak.
Sebagai seorang gadis bangsawan, Elizabeth menerima pendidikan terbaik. Dia fasih dalam beberapa bahasa termasuk Latin, Jerman dan Hungary. Elizabeth dikatakan cerdas, berkarisma dan memiliki kecantikan yang luar biasa. Namun latar keluarganya turut membawa sisi kelam di keturunannya memiliki sejarah penyakit mental dan Elizabeth sendiri pernah menyaksikan hukuman kejam dilaksanakan ke atas pesalah semasa kecil yang kononnya meninggalkan kesan mendalam pada jiwanya. Pada usia 15 tahun, dia berkahwin dengan Ferenc Nadasdy iaitu seorang bangsawan dan pahlawan perang yang dikenali sebagai Black Knight of Hungary kerana kekejamannya di medan perang. Walaupun suaminya jarang berada di rumah kerana sering ke medan perang, mereka tetap dikurniakan beberapa orang anak.
Ketika suaminya meninggal dunia pada tahun 1604, Elizabeth mewarisi harta yang besar dan menguruskan istana Cachtice secara sendirian. Dalam tempoh inilah, tuduhan dan khabar angin mula tersebar. Pelayan-pelayan istananya sering mengadu bahawa rakan-rakan mereka yang dihantar bekerja di sana tidak pernah pulang. Orang kampung pula berbisik tentang jeritan dari istana dan bau busuk yang aneh. Disebabkan kedudukannya yang tinggi dalam hierarki masyarakat, semua laporan dan aduan tentang Elizabeth dipandang sepi pada mulanya.
Legenda yang paling popular tentang Elizabeth ialah kepercayaannya bahawa darah dara boleh memulihkan keremajaan. Cerita ini kononnya bermula apabila seorang pelayan remaja menyikat rambutnya dan secara tidak sengaja menarik rambut Elizabeth hingga menyebabkan dia marah lalu menampar pelayan itu hingga berdarah. Apabila darah tersebut terkena kulitnya, Elizabeth mendakwa melihat kulitnya menjadi lebih lembut dan muda. Sejak itu, dia dipercayai menjadi taksub dengan darah gadis muda. Maka bermulalah episod pemburuan dan penyeksaan terhadap gadis-gadis kampung yang muda dan cantik. Semuanya demi keinginan Elizabeth untuk kekal muda dan jelita.

Jumlah sebenar mangsa yang dibunuh oleh Elizabeth masih menjadi perdebatan sehingga hari ini. Ada yang mengatakan seramai 80 orang manakala sumber lain mendakwa jumlah itu mencecah lebih 650 orang. Apa yang pasti, kebanyakan mangsa adalah gadis-gadis remaja dari keluarga miskin yang dihantar untuk bekerja di istana. Mereka dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi apa yang menanti mereka ialah penyeksaan yang tidak terbayang oleh akal. Mangsa akan dipukul, dibakar, disiram air dalam musim sejuk hingga beku atau dicakar dengan alat tajam. Dalam beberapa kes, daging mangsa dikoyak dengan gigi, kuku mereka dicabut dan tubuh mereka dijadikan alat eksperimen sadistik oleh Elizabeth dan pembantunya. Semua penyeksaan ini dilakukan dalam ruang khas di istana yang tersembunyi dari pandangan dunia luar.
Namun kejahatan tidak kekal tertutup selamanya. Pada tahun 1610, Raja Matthias II yang menerima banyak aduan akhirnya mengarahkan penyiasatan rasmi. Seorang pegawai tinggi bernama Gyorgy Thurzo dihantar untuk menyiasat. Ketika dia dan pasukannya menyerbu istana Cachtice, mereka terkejut dengan penemuan mayat dan mangsa yang hampir mati akibat diseksa. Bukti fizikal yang ditemui tidak dapat disangkal lagi. Seramai empat orang pembantu Elizabeth ditangkap dan dibicarakan manakala Elizabeth sendiri kerana status bangsawannya tidak dibicarakan secara terbuka. Dia sebaliknya dikurung di dalam satu bilik rahsia di istana tanpa tingkap dengan hanya satu lubang kecil untuk menghantar makanan. Di situlah Elizabeth menghabiskan sisa hidupnya selama empat tahun sebelum meninggal dunia pada 21 Ogos 1614.
Walaupun kisah kekejaman Elizabeth telah direkodkan oleh ratusan saksi dan dokumen mahkamah, sesetengah sejarawan moden berpendapat bahawa sebahagian daripada kisah ini mungkin diputarbelitkan atau dibesar-besarkan atas motif politik. Terdapat teori mengatakan bahawa Elizabeth difitnah oleh mereka yang cemburu atau mahu merampas kekayaannya. Namun dengan wujudnya begitu banyak bukti dan pengakuan saksi termasuk yang mendakwa melihat Elizabeth sendiri melakukan penyeksaan, sukar untuk menolak sepenuhnya bahawa dia sememangnya terlibat secara langsung dalam pembunuhan-pembunuhan itu.
Catat Ulasan for "Kisah Elizabeth Bathory : Pembunuh Bersiri Wanita Paling Kejam dalam Sejarah"