Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Lif Xi’an: Sebuah Kisah Kecuaian yang Meragut Nyawa


      Pada awal tahun 2016, satu insiden menyayat hati yang mengejutkan telah berlaku di bandar Xi’an, wilayah Shaanxi, China. Mangsa dikenali sebagai Wu, seorang wanita berusia 43 tahun yang tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri bertingkat tinggi. Diabdilaporkan mengalami masalah kesihatan mental dan sering menyendiri dalam kehidupannya seharian.

     Segalanya bermula pada 30 Januari 2016 apabila penduduk di bangunan tersebut membuat aduan mengenai kerosakan pada salah satu lif di blok mereka. Dua orang juruteknik penyelenggara dipanggil untuk memeriksa lif yang dikatakan bermasalah itu. Menurut laporan siasatan kemudian, kedua-dua juruteknik terbabit hanya menjerit dari luar lif untuk memastikan sama ada terdapat sesiapa di dalamnya. Setelah tidak menerima sebarang maklum balas, mereka membuat keputusan untuk mematikan bekalan elektrik lif tersebut tanpa membuka pintu atau melakukan pemeriksaan menyeluruh. Tanpa disedari, tindakan cuai ini menjadi permulaan kepada detik-detik terakhir yang amat menyayat hati dalam hidup seorang insan.

     Selepas mematikan sistem lif itu, para juruteknik tersebut beredar dan terus bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina, satu perayaan besar di China yang menyaksikan jutaan rakyatnya pulang ke kampung halaman. Malangnya, tiada siapa menyangka bahawa lif tersebut sebenarnya telah terhenti di antara tingkat 10 dan 11 dan Wu terperangkap di dalamnya ketika itu. Dalam tempoh itu, tiada siapa yang menyedari kehilangan Wu walaupun beberapa jiran menyatakan bahawa mereka menyedari ketiadaannya untuk tempoh yang agak lama. Namun atas faktor dia yang tinggal bersendirian dan tidak banyak bergaul, maka tiada tindakan susulan diambil untuk memeriksa keadaannya.

     Apabila juruteknik kembali bertugas pada 1 Mac 2016 yakni lebih sebulan selepas kejadian, mereka membuka lif tersebut dan menemui mayat Wu yang telah mereput di dalam. Keadaan lif ketika itu menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa mangsa telah berusaha keras untuk menyelamatkan diri. Terdapat kesan cakaran pada dinding logam lif dan jari-jarinya dilaporkan dalam keadaan cacat dipercayai akibat berulang kali cuba membuka pintu atau menggeduk permukaan lif dengan harapan ada yang mendengar. Penemuan ini mengesahkan bahawa dia terperangkap dalam keadaan yang amat menyeksakan iaitu tanpa makanan, tanpa air, tanpa cahaya dan tanpa sebarang bantuan.

     Hasil bedah siasat yang dijalankan kemudian mengesahkan bahawa tiada unsur pembunuhan terlibat. Wu telah meninggal dunia akibat kebuluran serta dehidrasi dan kematiannya disifatkan sebagai satu kes yang berpunca daripada kelalaian serius. Pihak berkuasa China tidak mengambil mudah perkara ini dan tindakan undang-undang telah dikenakan ke atas kedua-dua juruteknik lif tersebut. Mereka dituduh atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan kematian (involuntary manslaughter), satu pertuduhan yang membawa hukuman berat di bawah undang-undang China.

     Dalam kes ini, sekiranya ada yang bertindak lebih awal sama ada juruteknik yang membuka pintu lif untuk memastikan tiada sesiapa di dalam atau jiran yang menyedari ketiadaan Wu dan melaporkannya, nyawa Wu mungkin dapat diselamatkan.

Catat Ulasan for "Kisah Lif Xi’an: Sebuah Kisah Kecuaian yang Meragut Nyawa"