KISAH MISTERI KEMATIAN LAMDUAN ARMITAGE

Pada pagi 20 September 2004, seorang pejalan kaki melaporkan penemuan mayat wanita Asia di kawasan berbatu berhampiran anak sungai kecil Sell Gill Beck di pergunungan Pen-y-ghent, North Yorkshire, England. Mangsa berada dalam keadaan separuh bogel dengan hanya memakai seluar jeans, stoking dan pakaian dalam yang dilipat di tepi. Tiada tanda pengenalan diri, dompet atau telefon ditemui. Tubuhnya menunjukkan tiada kesan luka tikaman atau trauma serius. Waktu itu, identiti mangsa gagal dikenal pasti dan mayatnya dikebumikan sebagai unknown woman di Horton-in-Ribblesdale. Dia kemudian dikenali umum sebagai Lady of the Hills.
Selama 15 tahun, siasatan oleh pihak polis tidak membuahkan hasil. Tidak ada laporan orang hilang dari mana-mana kawasan di UK yang sepadan dengan mangsa. Tambahan pula, teknologi forensik pada masa itu terhad dan jenazah telah mereput sebahagiannya. Motif kematian juga samar di mana tiada senjata dijumpai dan lokasi penemuan berada jauh dari jalan utama. Perkara ini menimbulkan tanda tanya besar sama ada wanita ini dibunuh, mati akibat cuaca sejuk atau mengalami kecelakaan?

Hinggalah pada tahun 2018, North Yorkshire Police membentuk pasukan khas untuk menyiasat semula kes ini. Mereka menggunakan teknologi forensik terkini termasuk pemodelan 3D wajah mangsa. Gambar lakaran diedarkan ke seluruh dunia termasuk ke Asia Tenggara. Satu keluarga di Udon Thani, Thailand telah terkejut melihat wajah itu. Meereka yakin ia adalah anak mereka iaitu Lamduan Seekanya yang telah hilang hubungan sejak 2004.
Lamduan berkahwin dengan seorang lelaki British bernama David Armitage, seorang guru bahasa Inggeris yang pernah bekerja di Thailand. Mereka berpindah ke UK pada awal 1990-an dan mempunyai tiga anak. Pasangan ini berpindah dari satu tempat ke tempat lain sepertu Portsmouth, Rugby, Preston dan akhirnya Doncaster. Pada 2004, Lamduan menghubungi keluarganya dan mengadu tentang tekanan hidup serta masalah rumah tangga. Selepas itu, dia tidak lagi dapat dihubungi. Ujian DNA yang dijalankan ke atas ibu bapa Lamduan mengesahkan bahawa Lady of the Hills ialah Lamduan Armitage. Penemuan ini memberi nafas baharu kepada siasatan dan membuka pintu kepada pencarian keadilan.

Pada Januari 2025 yakni selepas desakan pihak berkuasa UK, suami Lamduan, David Armitage telah ditahan oleh imigresen Thailand di wilayah Kanchanaburi, selepas visanya dibatalkan. Dia dihantar pulang ke UK dan ditahan oleh Polis North Yorkshire untuk disiasat atas tuduhan membunuh isterinya. Menurut laporan, pihak polis menerima maklumat baharu yang menguatkan kemungkinan bahawa kematian Lamduan bukan disebabkan faktor semula jadi.
David bagaimanapun menafikan semua tuduhan. Dalam satu kenyataan kepada media, David berkata bahawa dia tidak pernah mencederakan isterinya walaupun hubungan mereka renggang. David turut mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam kerana tiada suspek lain yang boleh dikenal pasti. Selepas beberapa hari dalam tahanan, dia dibebaskan dengan jaminan bersyarat namun masih berada dalam siasatan aktif.
Polis kini mengalihkan fokus siasatan kepada tahun 2004 dengan tempoh kritikal ialah antara Mac hingga September ketika pasangan itu berpindah ke kawasan Doncaster dan Preston. Saksi-saksi yang mengenali pasangan ini dalam tempoh tersebut diminta tampil membantu. Tumpuan juga diberi kepada lokasi penemuan mayat yang terlalu terpencil untuk seseorang wanita berada di situ tanpa sebab. Pihak polis percaya Lamduan tidak pergi ke kawasan itu bersendirian. Keadaan tubuhnya, pakaian yang ditanggalkan separa dan lokasi jauh dari penempatan manusia menimbulkan syak wasangka bahawa dia mungkin dibunuh dan mayatnya dibuang di situ dengan sengaja.

Walaupun identiti Lamduan akhirnya dikenali dan siasatan mula menampakkan cahaya, banyak persoalan masih belum terjawab. Siapakah yang membawa Lamduan ke kawasan pergunungan itu? Apakah benar dia dibunuh atau ada faktor lain yang menyebabkan kematiannya? Mengapa tiada sesiapa melaporkan kehilangannya selama bertahun-tahun? Hingga setakat Mei 2025, tiada pertuduhan rasmi difailkan. Cuma keluarga Lamduan di Thailand terus berharap agar kebenaran akan didedahkan dan keadilan untuk anak mereka akhirnya ditegakkan biarpun setelah dua dekad penantian.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN LAMDUAN ARMITAGE"