Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita yang Bunuh Ibu Mentua Kerana Suka Masuk Campur Urusan Rumah Tangga


     Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia telah digemparkan dengan satu kes pembunuhan kejam yang berlaku pada awal April 2024. Kes ini melibatkan seorang wanita muda yang bertindak sebagai dalang dalam pembunuhan ibu mentuanya sendiri. Pelaku dikenali sebagai Novi Damayanti, seorang wanita berusia 24 tahun yang nekad merancang pembunuhan terhadap ibu mentuanya, iaitu Mirna yang berusia 51 tahun semata-mata kerana perasaan dendam yang terpendam sejak sekian lama. 

     Segala-galanya bermula apabila Novi dikatakan menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap ibu memtuanya yang dianggap terlalu mencampuri urusan rumah tangga antara dia dan suaminya. Menganggap campur tangan itu sebagai satu bentuk kawalan yang mengganggu kehidupannya, Novi mula merancang satu tindakan drastik untuk menghapuskan punca kepada tekanan emosinya. Novi bukannya mencari jalan perdamaian atau penyelesaian tetapi memilih jalan gelap dengan merancang satu pembunuhan yang licik.


     Novi tidak bertindak sendirian. Dia mendapatkan bantuan daripada seorang jiran lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Firmansyah atau lebih dikenali dengan panggilan Cimank. Mereka berdua menyusun strategi rapi untuk melaksanakan rancangan jahat tersebut. Menurut laporan polis, Novi menjanjikan bayaran sebanyak Rp75 juta (lebih kurang RM22 000) kepada Firmansyah sebagai upah untuk membunuh ibu mertuanya. Namun bayaran sebenar yang diberikannya kepada lelaki tersebut hanya sekitar Rp10.5 juta menunjukkan bahawa perjanjian itu sendiri sudah diselubungi penipuan.

     Pada 7 April 2024, Novi berpura-pura mengajak ibu mentuanya keluar untuk membeli-belah. Mereka berdua menaiki sebuah kereta dan dalam perjalanan pulang ke rumah, mereka sengaja berhenti di kawasan sunyi di Jalan Maddusila yakni sebuah lokasi yang dipilih khas untuk mengelakkan perhatian orang ramai. Di situ, Firmansyah yang telah bersiap sedia muncul lalu masuk ke dalam kereta. Dia dengan pantas menyerang Mirna menggunakan tali dan sebilah pisau hingga menyebabkan wanita malang itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.


     Bagi menutup jejak dan mengelak daripada disyaki, Novi cuba mencipta alibi dengan berpura-pura menjadi mangsa rompakan. Dia tampil membuat laporan polis kononnya mereka telah diserang secara tiba-tiba. Pihak berkuasa bagaimanapun mula meragui keterangannya apabila terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diberikan. Keterangan Novi sering berubah-ubah dan terdapat aspek yang tidak konsisten dengan bukti di lapangan. Kecurigaan itu mendorong siasatan lebih mendalam yang akhirnya mendedahkan penglibatannya dalam pembunuhan tersebut.

     Setelah beberapa hari siasatan, polis akhirnya berjaya menahan Novi dan Firmansyah. Mereka didakwa di bawah Pasal 340 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) atas kesalahan pembunuhan berencana, satu jenayah yang membawa hukuman maksimum iaitu hukuman mati di Indonesia. Semasa perbicaraan di Mahkamah Negeri Kendari yang berlangsung beberapa bulan kemudian, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan menyatakan bahawa tindakan tersebut dilakukan atas dasar tekanan dan dendam yang tidak dapat dibendung.


     Pada 12 November 2024, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Novi Damayanti dan Muhammad Firmansyah. Keputusan ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang menyatakan hukuman tersebut setimpal dengan jenayah yang dilakukan, sementara yang lain merasakan hukuman mati lebih wajar kerana tindakan mereka dianggap tidak berperikemanusiaan. Peguam bela yang mewakili Novi menyatakan akan mengemukakan rayuan, dengan alasan bahawa anak guamnya tertekan dan bertindak di luar kawalan.

Catat Ulasan for "Wanita yang Bunuh Ibu Mentua Kerana Suka Masuk Campur Urusan Rumah Tangga"