Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Saroo Brierley: Anak Hilang yang Menemui Jalan Pulang Selepas 25 Tahun


    Pada tahun 1981, seorang kanak-kanak lelaki bernama Saroo dilahirkan di sebuah kampung miskin di Khandwa, sebuah kawasan pedalaman di India. Dia hidup dalam keluarga yang serba kekurangan bersama ibunya dan tiga orang adik-beradik. Ayah mereka telah lama meninggalkan keluarga itu. Bagi menyara kehidupan, ibunya bekerja mengangkut batu manakala abangnya iaitu Guddu yang masih remaja keluar pada waktu malam mencari kerja sambilan. Walaupun Saroo masih kecil, dia sering mengikut Guddu ke stesen kereta api untuk mencari duit syiling atau makanan.

     Pada satu malam yang mengubah hidupnya, Guddu dan Saroo pergi ke stesen seperti biasa. Sampai di sana, Guddu meminta Saroo menunggu di bangku sementara dia masuk ke kawasan landasan untuk memeriksa jika terdapat peluang pekerjaan. Saroo yang ketika itu sangat letih akhirnya tertidur. Apabila dia terjaga, Guddu tidak kelihatan. Dalam rasa takut dan keliru, Saroo menyangka abangnya mungkin berada dalam salah satu gerabak kereta api berhampiran. Tanpa berfikir panjang, dia naik ke dalam salah satu gerabak kosong dan itulah permulaan kisah kehilangan yang luar biasa.


     Kereta api itu yang sebenarnya adalah kereta api penyelenggaraan mula bergerak dan tidak berhenti di stesen-stesen kecil. Saroo terperangkap di dalamnya. Dia menangis dan menjerit tetapi tiada siapa mendengarnya. Perjalanan itu mengambil masa hampir dua hari dan membawa Saroo lebih 1600 kilometer ke arah timur menuju ke sebuah kota besar bernama Kolkata. Sepanjang perjalanan, Saroo tidak makan. Dia hanya minum air dari paip yang terdapat di dalam gerabak atau di stesen tempat kereta api berhenti sebentar. 

     Apabila tiba di Kolkata, Saroo turun dan mendapati dirinya berada di tempat asing yang langsung tidak dikenali. Dia tidak tahu nama keluarganya dengan lengkap, tidak tahu alamat rumah dan tidak boleh menyebut nama kampung asalnya dengan betul. Disebabkan itu, tiada siapa yang dapat membantu. Saroo hidup sebagai gelandangan selama beberapa minggu. Dia tidur di kaki lima, di bawah jambatan dan kadang-kadang di stesen. Saroo terpaksa mengutip sisa makanan dan ada kalanya meminta belas ihsan daripada orang yang lalu-lalang untuk makan. Dalam tempoh itu, dia hampir diculik beberapa kali tetapi berjaya melarikan diri.


     Nasib Saroo berubah apabila dia ditemui oleh seorang lelaki yang membawanya ke balai polis. Bermula dari situ, Saroo dihantar ke sebuah rumah anak yatim. Beberapa bulan kemudian, dia disenaraikan untuk diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga dari Tasmania, Australia. Pasangan suami isteri, John dan Sue Brierley menerima Saroo sebagai anak mereka dan membawanya pulang ke Hobart, sebuah bandar kecil yang tenang dan selamat. Mereka memberinya nama baru dan kehidupan baru yang jauh berbeza daripada masa lalunya. Saroo membesar sebagai anak yang disayangi, mendapat pendidikan yang baik dan mempunyai kehidupan yang stabil.

     Walaupun hidup selesa di Australia, Saroo tidak pernah melupakan keluarganya di India. Gambar wajah ibunya sering muncul dalam ingatannya. Dia tidak tahu sama ada ibunya masih hidup tetapi rasa rindu dan persoalan yang tidak pernah terjawab itu terus menghantui hatinya. Ketika remaja, Saroo pernah cuba mencari kampung asalnya dengan peta tetapi tidak berjaya. India terlalu besar dan dia hanya ada serpihan kenangan seperti stesen kereta api, tangki air, jambatan dan sungai.


      Pada awal tahun 2000-an yakni ketika teknologi Google Earth semakin canggih, Saroo mendapat idea. Dia mula meneliti kawasan demi kawasan di India, berpandukan bentuk geografi dan rupa stesen yang kekal dalam memorinya. Setiap malam, dia memeriksa peta satelit selama berbulan-bulan. Proses ini sangat perlahan dan memenatkan tetapi Saroo tidak berputus asa. Saroo percaya jika dirinya terus mencuba, dia akan menemui petunjuk yang selama ini dia cari.

      Akhirnya pada tahun 2011, Saroo menemui sebuah stesen kecil di bandar Khandwa yang sepadan dengan semua ingatan zaman kanak-kanaknya. Dia meneliti kawasan sekeliling dan yakin bahawa inilah tempat asalnya. Pada tahun 2012, Saroo terbang ke India buat kali pertama selepas 25 tahun. Hanya berpandukan Google Earth dan hatinya, dia berjalan menyusuri lorong-lorong dan rumah-rumah yang terasa sangat dekat walaupun asing. Saroo akhirnya sampai ke kawasan yang sangat dikenali dan bertanya kepada orang ramai jika mereka mengenali seorang wanita yang kehilangan anaknya 25 tahun lalu.


     Takdir menemukan mereka semula. Seorang wanita tua keluar dari rumah dan memandang wajah Saroo. Air matanya mengalir. Itu adalah ibunya. Mereka berpelukan tanpa berkata-kata. Hanya tangisan yang berbicara bagi pihak perasaan yang sudah lama terpendam. Ibunya selama ini tidak pernah berpindah kerana yakin suatu hari nanti anaknya akan kembali. Dia juga memaklumkan bahawa Guddu, abang Saroo telah meninggal dunia pada malam Saroo hilang akibat dilanggar kereta api ketika sedang mencari adiknya.

     Perjumpaan semula itu membuka satu lembaran baru dalam hidup Saroo. Dia kini tahu siapa dirinya yang sebenar. Saroo menemui semula namanya, rumah asalnya dan warisnya. Saroo kemudian menulis kisah hidupnya dalam sebuah buku berjudul A Long Way Home yang diterbitkan pada tahun 2013. Buku ini mendapat sambutan luar biasa dan menyentuh hati berjuta-juta pembaca di seluruh dunia. Pada tahun 2016, kisahnya diangkat ke layar perak melalui filem Lion yang dibintangi oleh Dev Patel dan Nicole Kidman. Filem ini mendapat pelbagai pencalonan Oscar dan menjadi antara filem paling mengharukan dalam dekad tersebut.


Catat Ulasan for "Kisah Saroo Brierley: Anak Hilang yang Menemui Jalan Pulang Selepas 25 Tahun"