Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JOLEE CALLAN

     Pada 30 Ogos 2015, satu kejadian pembunuhan ngeri telah berlaku di Alabama, Amerika Syarikat. Jolee Callan, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun telah menjadi mangsa pembunuhan kejam yang dilakukan oleh bekas teman lelakinya sendiri iaitu Loren Daniel Bunner yang berusia 20 tahun ketika itu. Kisah mereka yang pada mulanya kelihatan seperti percintaan remaja biasa berakhir dengan pembunuhan terancang yang penuh pengkhianatan dan kekecewaan.

     Sebelum kejadian, Jolee dan Loren pernah menjalinkan hubungan cinta yang kemudiannya berakhir. Walau bagaimanapun, Loren masih cuba mendekati semula Jolee dengan alasan mahu berdamai dan menjalinkan semula persahabatan. Pada hari kejadian, Loren mengajak Jolee untuk mendaki di Pinhoti Trail, sebuah kawasan pergunungan yang indah di Taman Negeri Cheaha, Alabama. Jolee yang merupakan seorang gadis ceria, peramah dan sukakan alam semula jadi bersetuju untuk pergi bersama sebagai kawan. Namun seperti yang dibuktikan kemudian, niat Loren bukanlah setulus yang disangka.

     Apa yang menyayat hati, Jolee sempat menghantar mesej kepada rakannya sebelum pergi dengan bergurau: "Kalau sesuatu berlaku pada aku, korang tahu aku dengan siapa." Mesej itu kemudiannya menjadi bukti yang menggambarkan intuisi seorang gadis muda yang malangnya tidak mampu menyelamatkan dirinya. Ketika mendaki, Loren mengambil beberapa gambar Jolee dan memuat naiknya ke Instagram. Dalam gambar terakhir, Jolee kelihatan berdiri di tepi tebing sambil menikmati pemandangan alam yang memukau. Jolee tidak menyedari bahawa detik itu adalah saat-saat akhir hidupnya.

      Beberapa minit selepas gambar itu dirakam, Loren melakukan sesuatu yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia menembak Jolee dari belakang menggunakan senjata api jenis Bear Claw .22 sebanyak dua kali dengan satu peluru mengenai bahagian belakang kepala manakala satu lagi mengenai bahagian dahi, tepat di antara mata. Selepas itu, Loren menolak mayat Jolee ke bawah tebing setinggi hampir 40 kaki. Tubuh Jolee terhempas di kawasan berbatu di dasar gaung. Loren kemudian berjalan turun, mengumpul kelongsong peluru dan meninggalkan tempat kejadian sebelum memandu pulang.

     Apa yang mengejutkan, Loren menghubungi pihak berkuasa tidak lama selepas kejadian. Dalam panggilan kecemasan 911, dia mengaku membunuh bekas teman wanitanya dan meminta agar dirinya ditangkap. Semasa disoal siasat, Loren mendakwa bahawa mereka telah membuat perjanjian untuk membunuh diri bersama (suicide pact). Pihak penyiasat bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu. Bukti fizikal dan digital sebaliknya menunjukkan bahawa Loren telah merancang pembunuhan ini dan dia bertindak seorang diri tanpa sebarang niat untuk mengambil nyawanya sendiri.

     Pihak berkuasa menjumpai senjata api yang digunakan di dalam kereta Loren serta kesan darah pada stereng. Mereka juga menemui telefon pintar yang mengandungi gambar terakhir Jolee sebelum dia ditembak sekali gus mengesahkan garis masa kejadian. Loren pada mulanya cuba menggunakan status sebagai pesalah muda (Youthful Offender) yang boleh menghadkan hukuman maksimum kepada tiga tahun penjara. Namun permintaan itu dibantah keras oleh pendakwa raya dan ahli keluarga Jolee serta menerima kecaman orang awam yang marah dengan kekejaman jenayah tersebut.

     Motif Loren dipercayai berpunca daripada gabungan emosi yang merbahaya yakni cemburu, dendam dan keobsesan. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa Jolee telah benar-benar meninggalkannya dan mula menjalani hidup baru. Kemarahan itu bertukar menjadi kebencian dan akhirnya mendorongnya merancang pembunuhan. Dia tidak hanya mahu membunuh tetapi mahu menghukum Jolee dengan cara yang kejam dan muktamad.

     Akhirnya, Loren Daniel Bunner didakwa sebagai orang dewasa dan pada Julai 2017, dia mengaku bersalah atas tuduhan membunuh. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 52 tahun terhadapnya termasuk 10 tahun tambahan kerana menggunakan senjata api semasa melakukan jenayah itu. Maka dengan keputusan itu, keluarga Jolee sekurang-kurangnya mendapat sedikit keadilan meskipun luka di hati mereka tidak akan pernah sembuh sepenuhnya.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JOLEE CALLAN"