MISTERI KEMATIAN SUSHANT SINGH RAJPUT

Kematian pelakon terkenal Bollywood, Sushant Singh Rajput pada 14 Jun 2020 telah mencetuskan kejutan, emosi dan kontroversi yang jarang berlaku dalam sejarah industri hiburan India. Dia ditemui mati tergantung di kediamannya di kawasan Bandra, Mumbai dalam bilik tidur oleh pembantu rumah dan pengurusnya. Ketika itu, Sushant baru berusia 34 tahun dan sedang berada di puncak kerjayanya. Laporan awal polis menyatakan bahawa dia membunuh diri akibat kemurungan tetapi kenyataan ini mencetuskan persoalan besar apabila pelbagai bukti, saksi dan sudut pandang mula berbeza secara dramatik.
Sushant bukan calang-calang orang. Dia adalah seorang bekas pelajar kejuruteraan dari Delhi Technological University yang meninggalkan akademik demi mengejar impian lakonan. Sushant mula dikenali melalui siri TV Pavitra Rishta sebelum melonjak ke layar perak menerusi filem Kai Po Che! dan mengukuhkan kedudukan di Bollywood dengan lakonan cemerlang dalam Detective Byomkesh Bakshy!, Chhichhore dan MS Dhoni: The Untold Story. Di luar layar, Sushant dikenali sebagai seorang yang bijak, mencintai sains, astronomi, falsafah dan spiritualiti. Ciri-ciri unik ini yang membezakannya daripada pelakon arus perdana lain.

Namun selepas kematiannya, naratif yang kelihatan jelas mula bercabang. Pertama, tiada nota bunuh diri ditemui walaupun ubat berkaitan gangguan bipolar dan kemurungan ditemui di rumahnya. Kedua, kenyataan awal daripada teman wanitanya ketika itu iaitu Rhea Chakraborty menyebut bahawa Sushant mengalami masalah mental yang serius. Walau bagaimanapun, ahli keluarga Sushant menafikan dakwaan tersebut. Mereka sebaliknya menuduh Rhea memanipulasi serta mengawal hidup Sushant. Ayah Sushant memfailkan laporan polis menuduh Rhea telah mengasingkan Sushant daripada keluarga selain menggelapkan wang milik Sushant. Rhea juga mempengaruhi keputusan hidup Sushant termasuk rawatan mentalnya.
Media India memainkan peranan besar dalam menyemarakkan spekulasi, membincangkan teori konspirasi termasuk dakwaan bahawa Sushant telah dibunuh. Dipercayai terdapat tekanan besar dari syarikat produksi filem besar dan pelakon-pelakon ternama Bollywood mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjatuhkan karier Sushant. Beberapa nama besar seperti Karan Johar, Alia Bhatt, Mahesh Bhatt dan juga Salman Khan dikaitkan dalam perbualan awam kerana dilihat sebagai pelindung kepada kelompok nepotisme dalam industri.

Bb Isu menjadi lebih panas apabila Somy Ali yang juga merupakan bekas teman wanita Salman Khan mendakwa dalam sesi Ask Me Anything (AMA) di Reddit pada November 2024 bahawa Sushant sebenarnya dibunuh dan bahawa laporan autopsinya telah diubah oleh Dr. Sudhir Gupta dari AIIMS untuk memaparkan kematian sebagai bunuh diri. Somy turut menyatakan bahawa Salman Khan sebelum ini didakwa turut campur tangan dalam kes kematian pelakon Jiah Khan pada tahun 2013 untuk melindungi Sooraj Pancholi, kekasih Jiah ketika itu. Tuduhan ini menimbulkan kegemparan baru tetapi Somy kemudian menjelaskan bahawa kenyataan itu sebenarnya dibuat oleh Naib Presiden NGO miliknya tanpa pengetahuannya dan bukan kenyataan rasminya sendiri.
Siasatan kes Sushant akhirnya diambil alih oleh Central Bureau of Investigation (CBI) selepas tekanan awam yang hebat. Enforcement Directorate (ED) juga menyiasat transaksi kewangan Sushant manakala Narcotics Control Bureau (NCB) menyiasat dakwaan penggunaan dan pengedaran dadah dalam kalangan artis termasuk Rhea dan adiknya. Rhea ditahan selama beberapa minggu. Dia bagaimanapun dibebaskan tanpa tuduhan jenayah kekal. Dalam pada itu, siasatan forensik yang diketuai oleh Dr. Sudhir Gupta menyimpulkan bahawa kematian Sushant adalah akibat bunuh diri, bukan pembunuhan dan tiada tanda-tanda kecederaan luaran atau pergelutan.

Pada Julai 2020, sebuah mahkamah di Bihar menolak petisyen yang mendakwa lapan tokoh industri filem termasuk Salman Khan terlibat dalam konspirasi menyebabkan kematian Sushant. Mahkamah memutuskan bahawa tiada bukti konkrit yang menyokong tuduhan tersebut.Walaupun siasatan rasmi tidak menemui unsur jenayah, kematian Sushant Singh Rajput tetap kekal sebagai tragedi besar. Peminatnya di seluruh dunia melancarkan kempen seperti #JusticeForSushant dan ramai masih percaya bahawa kebenaran belum terungkai sepenuhnya. Sehingga kini, laporan akhir CBI masih belum diumumkan secara terbuka kepada umum.
Pada 22 Mac 2025, CBI secara rasmi mengemukakan laporan penutupan siasatan ke atas kematian Sushant Singh Rajput kepada Mahkamah Majistret Bandra, Mumbai. Dalam laporan tersebut, CBI menyimpulkan bahawa tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat yang terlibat dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai bunuh diri. Mereka turut menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan mana-mana pihak telah mendorong Sushant untuk mengambil nyawanya sendiri. Laporan ini sekaligus membersihkan nama Rhea Chakraborty dan keluarganya daripada sebarang tuduhan berkaitan kes berkenaan CBI bagaimanapun memohon agar pendengaran kes itu dipindahkan ke Mahkamah Esplanade yang ditetapkan untuk kes-kes di bawah bidang kuasa CBI. Permohonan tersebut telah dibenarkan oleh mahkamah namun pendengaran selanjutnya ditangguhkan ke tarikh baharu yang masih belum ditetapkan.
Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN SUSHANT SINGH RAJPUT"