Misteri Wanita Tanpa Identiti: Parut Apendiks yang Merungkai Segala

Pada pagi Krismas tahun 2010, sebuah kawasan kejiranan sederhana di Longview, Texas telah menerima satu berita yang mengejutkan. Seorang wanita bernama Lori Erica Ruff ditemui mati di dalam keretanyabyang diparkir di hadapan rumah bekas mentuanya. Di sebelah tubuhnya yang kaku, terdapat sepucuk surat perpisahan yang ditulis dengan tangan. Pihak polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai bunuh diri menggunakan senjata api. Cuma kisah Lori tidak berakhir di situ. Malah kematiannya hanya membuka pintu kepada sebuah rahsia yang jauh lebih dalam, lebih mengelirukan dan lebih misteri daripada yang sesiapa pernah jangkakan.
Lori Erica Ruff dilihat sebagai seorang isteri dan ibu yang pendiam, perahsia dan agak sukar didekati. Dia berkahwin dengan seorang lelaki bernama Blake Ruff, dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Namun keluarganya terutamanya keluarga suaminya berasa ada sesuatu yang ganjil tentang dirinya. Dia tidak pernah menceritakan kisah silamnya. Tiada seorang pun pernah berjumpa dengan ibu bapa atau ahli keluarganya. Setiap kali ditanya, Lori memberikan jawapan kabur dan beremosi. Dia juga sangat mengawal akses terhadap anaknya dan tidak membenarkan sesiapa terlalu rapat dengannya, termasuk mentuanya sendiri. Dia menyembunyikan segala-galanya yakni dari masa lampaunya sehinggalah alamat sebenar tempat dia tinggal sebelum berkahwin. Apabila rumah tangganya mula bermasalah, Blake akhirnya memutuskan untuk bercerai. Tidak lama kemudian, Lori mengambil nyawanya sendiri hingga meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Selepas kematiannya, keluarga Ruff membersihkan rumah yang pernah didiami Lori. Di dalam almari biliknya, mereka menjumpai sebuah kotak besi yang dikunci serta tersembunyi di celah longgokan pakaian. Apabila kotak itu dibuka, mereka menemui sesuatu yang mengejutkan iaitu berpuluh dokumen pengenalan palsu seperti kad pengenalan, nombor keselamatan sosial dan sijil kelahiran di mana semuanya menggunakan nama dan butiran berbeza.
Antara identiti yang ditemui ialah Becky Sue Turner, seorang kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kebakaran pada tahun 1971. Lori telah mencuri identiti kanak-kanak itu untuk mendapatkan kad pengenalan sebelum menukar namanya secara sah kepada Lori Erica Kennedy dan kemudiannya menggunakan nama Lori Erica Ruff selepas berkahwin. Turut dijumpai dalam kotak itu ialah nota tulisan tangan dalam bentuk kod yang tidak dapat difahami yang berisi perkataan rawak dan simbol pelik. Tiada siapa tahu maksud sebenar nota tersebut.

Kes ini akhirnya menarik perhatian FBI dan agensi yang menguruskan kes kehilangan dan identiti. Usaha mengenal pasti siapa sebenarnya Lori menjadi keutamaan. Mereka mengambil sampel DNA, memadankan data biometrik dan meneliti setiap cebisan maklumat dalam kotak itu. Satu petunjuk fizikal yang kelihatan remeh menjadi titik tolak kepada jawapan yang dicari selama ini. Petunjuk tersebut ialah segaris parut pembedahan lama di bahagian kanan bawah perut Lori yang jelas kelihatan ketika proses bedah siasat.
Parut itu konsisten dengan parut akibat pembedahan apendektomi, pembuangan apendiks. Penyiasat forensik menyelidik semula rekod-rekod hospital yang berkemungkinan merekodkan pembedahan tersebut. Secara perlahan-lahan mereka menjejak kembali kepada satu nama iaitu Kimberly McLean, seorang remaja dari Pennsylvania yang lari dari rumah pada tahun 1986 dan tidak pernah kembali.

Kimberly McLean lahir dalam keluarga kelas pertengahan yang berpendidikan di Philadelphia. Ibunya merupakan seorang guru, dan bapanya bekerja dalam bidang teknologi. Pada usia 18 tahun, Kimberly yang mempunyai sifat pendiam dan perahsia, bertengkar dengan ibunya lalu menghilangkan diri.bRekod menunjukkan bahawa Kimberly telah menjalani pembedahan apendiks beberapa bulan sebelum dia menghilangkan diri dan kedudukan parut serta sejarah perubatan itu sepadan sepenuhnya dengan Lori.
Melalui padanan DNA dengan ibu kandung Kimberly yang masih hidup, FBI mengesahkan bahawa Lori Erica Ruff dan Kimberly McLean adalah orang yang sama. Namun hingga pada hari ini, tiada siapa tahu mengapa Kimberly mencipta satu identiti baru, menyembunyikan dirinya selama lebih 20 tahun atau mengapa dia begitu trauma dengan masa silamnya sehingga sanggup memadam segala jejak asal-usulnya. Nota tulisan tangan dalam kod yang dijumpai di dalam kotak besi itu masih tidak berjaya dipecahkan sehingga hari ini dan menjadi misteri terakhir yang belum dirungkai dalam kisah tragis wanita tanpa identiti ini.
Catat Ulasan for "Misteri Wanita Tanpa Identiti: Parut Apendiks yang Merungkai Segala"