Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Anjali Patut Pilih Aman, Bukan Rahul? Ini Sebab Kenapa Aman Mehra Sebenarnya Lelaki Sempurna!


     Filem Kuch Kuch Hota Hai arahan Karan Johar yang ditayangkan pada tahun 1998 telah menjadi salah satu karya ikonik dalam sejarah perfileman Bollywood. Filem ini bukan sahaja menonjolkan kisah cinta tiga segi antara Rahul, Anjali dan Tina tetapi turut memperkenalkan watak yang hanya muncul di bahagian kedua filem tetapi meninggalkan kesan mendalam iaitu Aman Mehra yang dilakonkan oleh Salman Khan. 

     Kemunculan Salman Khan sebagai Aman Mehra boleh disifatkan sebagai satu kejutan dramatik dan emosional. Wataknya diperkenalkan sebagai tunang kepada Anjali Sharma (Kajol) yakni selepas lapan tahun berlalu sejak zaman universiti antara Anjali dan Rahul (Shah Rukh Khan). Penonton yang menonton filem ini buat pertama kali tidak menjangkakan bahawa seorang pelakon bertaraf bintang seperti Salman Khan akan muncul sebagai watak sokongan. Disebabkan itu, saat wajah Aman terpampang di skrin besar, ramai penonton dilaporkan bersorak dan bertepuk tangan di pawagam seluruh India.

     Aman Mehra digambarkan sebagai seorang lelaki sempurna. Dia mencintai Anjali tanpa syarat, tanpa prejudis terhadap masa silamnya dan tanpa keinginan untuk mengubah siapa dirinya. Aman tahu tentang hubungan lampau Anjali dengan Rahul. Malah dia tidak pernah merasa terancam atau cemburu dengan perasaan itu. Aman sebaliknya menghormatinya, satu ciri yang sangat jarang digambarkan secara halus dalam filem romantik era tersebut. Aman tidak pernah menekan Anjali untuk melupakan Rahul. Dia memberi ruang untuk Anjali berdamai dengan emosinya sendiri. Dalam banyak hal, cinta Aman kepada Anjali adalah cinta yang paling ikhlas dan tidak bersyarat.

     Lebih menarik, Aman bukan sahaja seorang yang matang secara emosi tetapi turut digambarkan sebagai lelaki yang berjaya dan berharta. Dalam beberapa babak, penonton diperlihatkan kemewahan hidup Aman daripada pakaian formalnya, kereta mewah yang dinaiki sehinggalah gaya hidupnya yang sofistikated. Ini menunjukkan bahawa dia berasal dari keluarga kaya atau setidak-tidaknya berjaya dalam kerjayanya. Kekayaan itu tidak sesekali menjadikannya angkuh.

     Namun dalam klimaks filem, apabila Rahul dan Anjali bertemu kembali dalam suasana yang menggamit kenangan lama, perasaan cinta yang lama terpendam mula terserlah. Rahul yang dahulu pernah menolak Anjali semasa zaman universiti mula menyedari bahawa dia sebenarnya mencintainya. Cuma kesedaran itu hanya muncul selepas Tina, isterinya meninggal dunia dan selepas bertahun-tahun lamanya. Dalam konteks realiti, tindakan Rahul dilihat sebagai reaktif dan bukan proaktif. Dia hanya menginginkan Anjali apabila dirinya sudah kehilangan segalanya. Malah dalam babak-babak awal filem, Rahul digambarkan sebagai seorang lelaki yang sinis terhadap konsep cinta dan merendah-rendahkan Anjali yang berpenampilan tomboi sehinggalah dia jatuh cinta dengan Tina, seorang wanita feminin yang memenuhi gambaran stereotaip kecantikan.

     Konflik ini sampai ke kemuncaknya pada hari perkahwinan Anjali dan Aman. Dalam suasana yang sarat dengan emosi, Anjali kelihatan tersepit antara  cinta yang pernah hilang dan cinta yang sedang dia miliki. Namun saat paling menyentuh ialah apabila Aman sendiri menyedari bahawa hati Anjali tidak sepenuhnya miliknya. Dia dengan tenang dan penuh kasih berkata, “Main jaanta hoon tum Rahul se pyaar karti ho” (Aku tahu kau mencintai Rahul). Maka dengan itu, Aman berundur.

     Tindakan Aman ini menjadi simbol cinta yang paling agung. Dalam budaya popular India, pengorbanan Aman diangkat sebagai lambang lelaki ideal yang tidak egois, memahami emosi wanita dan mencintai tanpa mengikat. Ramai penonton dan pengkritik filem menyatakan bahawa Anjali sepatutnya memilih Aman kerana cinta sebeginilah yang lebih stabil dan sihat. Malah Kajol sendiri dalam temu bual bertahun kemudian mengakui bahawa jika dia adalah Anjali dalam dunia sebenar, dia akan memilih Aman berbanding Rahul. Pengarah filem, Karan Johar turut mengakui bahawa watak Rahul bersifat hipokrit kerana hanya menyedari cintanya setelah kehilangan dan menyatakan bahawa jika filem itu ditulis hari ini, mungkin pengakhirannya akan berbeza.

     Semestinya, watak Aman Mehra bukan sekadar cameo oleh bintang terkenal. Ia adalah watak yang membawa makna mendalam tentang cinta sejati, pengorbanan dan harga diri. Dalam dunia sebenar, ramai memilih Aman kerana cinta yang ikhlas dan tidak memaksa adalah cinta yang paling berharga. Oleh kerana itu, Kuch Kuch Hota Hai kekal bukan sahaja sebagai filem cinta remaja tetapi juga sebagai satu karya yang merangsang perbincangan tentang apa itu cinta yang sebenar  dan siapa yang benar-benar layak dicintai.

Catat Ulasan for "Anjali Patut Pilih Aman, Bukan Rahul? Ini Sebab Kenapa Aman Mehra Sebenarnya Lelaki Sempurna!"