Bila Pitbull Dijadikan Senjata: Kisah Ngeri Pembunuhan Angela Kaplan

Pada malam yang dingin di Cleveland, Ohi tahun 1992, satu kejadian yang tidak terbayangkan berlaku di sebuah rumah kediaman. Seorang wanita muda berusia 28 tahun yang bernama Angela Kaplan telah maut dalam keadaan mengerikan. Namun apa yang lebih mengejutkan ialah punca kematiannya yang disebabkan lebih 100 gigitan daripada seekor anjing pitbull peliharaan bernama Mack, milik teman lelakinya sendiri iaitu Jeffrey Mann.
Jeffrey Mann yang ketika itu berusia 36 tahun merupakan seorang lelaki yang sering digambarkan oleh jiran dan kenalan sebagai pendiam tetapi mudah marah. Dalam perhubungan bersama Angela Kaplan, terdapat beberapa insiden keganasan domestik kecil yang tidak pernah dilaporkan kepada pihak polis secara formal. Angela yang bekerja sebagai pelayan bar dikatakan sedang dalam proses untuk meninggalkan Mann kerana hubungan mereka yang semakin tegang dan tidak stabil. Pada hari kejadian, Angela dilaporkan telah datang ke rumah Mann untuk mengambil barang-barangnya yang tertinggal selepas mereka berpisah.
Menurut siasatan yakni semasa Angela berada di dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mereka. Dalam keadaan marah dan beremosi, Mann dikatakan telah melepaskan pitbull peliharaannya, Mack dan memberikan arahan kepada anjing itu untuk menyerang. Pitbull tersebut yang diketahui telah dilatih oleh Mann untuk bersifat agresif dan menyerang atas arahan suara tertentu terus menerpa ke arah Angela lalu menggigitnya bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
Apa yang menjadikan kes ini lebih kejam ialah kenyataan pihak pendakwa raya yang menyebut Mann mungkin telah memegang atau menindih Angela ketika serangan berlaku bagi memastikan mangsanya tidak mampu melarikan diri atau melawan. Gigitan demi gigitan mengenai tubuh Angela. Beberapa luka yang diperincikan dalam laporan forensik menunjukkan bahawa dia masih hidup dan bergelut semasa kebanyakan gigitan itu berlaku yang bermakna dia sedar sepenuhnya sepanjang proses penyeksaan itu.

Angela Kaplan mengalami lebih daripada 100 gigitan, dengan luka yang dalam terutama pada bahagian lengan, dada, perut dan muka. Paru-parunya ditikam oleh taring anjing itu dan beberapa salur darah utama terputus. Dia meninggal dunia di tempat kejadian kerana kehilangan darah secara ekstrem dan kecederaan trauma yang meluas.
Ketika pihak polis tiba selepas mendapat panggilan kecemasan daripada jiran yang mendengar jeritan, mereka menemui Angela dalam keadaan berlumuran darah dan pitbull Mack masih berada di tempat kejadian. Anjing itu tidak menunjukkan tanda-tanda takut atau kesal seolah-olah dilatih untuk membunuh.
Jeffrey Mann ditahan serta-merta dan didakwa atas tuduhan pembunuhan darjah pertama. Dalam perbicaraan yang berlangsung pada tahun berikutnya, pihak pendakwaan menyifatkan Mann sebagai seorang individu yang tidak berperikemanusiaan yang menggunakan haiwan sebagai alat pembunuhan, menjadikannya lebih sukar dikesan atau dibuktikan niat jenayah pada mulanya. Taktik ini disifatkan sebagai senjata hidup yang sukar untuk dibayangkan oleh undang-undang jenayah moden ketika itu.
Perbicaraan menjadi tumpuan media seluruh negara. Dalam sesi pembelaan, peguam Mann mendakwa bahawa serangan itu adalah tidak disengajakan dan berlaku selepas pertengkaran yang tegang. Walau bagaimanapun, saksi pakar dalam bidang kelakuan haiwan mendakwa bahawa pitbull itu jelas menunjukkan ciri-ciri anjing yang dilatih secara sistematik untuk membunuh atas arahan. Malah, beberapa jiran juga tampil memberi keterangan bahawa mereka pernah mendengar Mann memuji betapa ganas dan patuhnya Mack apabila diberi isyarat tertentu.
Akhirnya, juri mengambil keputusan untuk mensabitkan Jeffrey Mann atas tuduhan pembunuhan di mana dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun hingga seumur hidup. Pitbull Mack pula telah disita oleh pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dan perbicaraan. Selepas hukuman dijatuhkan, mahkamah memerintahkan agar Mack dimatikan kerana dianggap terlalu berbahaya untuk terus hidup, selain digunakan sebagai senjata dalam pembunuhan. Pada tahun 2018, selepas menjalani hukuman selama 25 tahun, Mann layak untuk menghadiri pendengaran parol. Permohonan parol tersebut bagaimanapun telah ditolak dan dia kekal dipenjarakan.
Catat Ulasan for "Bila Pitbull Dijadikan Senjata: Kisah Ngeri Pembunuhan Angela Kaplan"