PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM (BAHAGIAN 3 -AKHIR)

Pengakuan Seorang Penyelam Laut Dalam :
i) Bahagian 1
ii) Bahagian 2
***
Maaf kerana mengambil masa yang lama untuk mengemas kini cerita ini. Sepanjang minggu lepas, aku asyik memikirkan sama ada wajar atau tidak untuk aku kongsikan bahagian terakhir ini. Aku percaya ini adalah kemas kini terakhir aku.
Selepas siaran aku sebelum ini, bekas penyelia selaman aku menghubungiku. Dia memberi amaran tentang bahaya menceritakan kisah ini. Nada suaranya kemudian berubah.
“Keadaan di bawah sana makin teruk...” katanya. Itu kali pertama dia bercakap secara terbuka dengan saya. Sambungnya lagi, “Minggu lepas ada satu insiden... dan kami kehilangan beberapa orang.”
Aku terkejut. Kami semua sedar dengan risikonya, kami semua pernah melihat “Penjaga Dasar Laut” tetapi tiada siapa yang menyangka akan benar-benar mati. Biasanya selepas satu dua kejadian nyaris maut, kami cuma anggap itu perkara biasa.
Dia menyambung, “Demi menghormati yang telah terkorban, gunakan pertimbangan yang terbaik sebelum kau kongsi cerita ini. Kau kena sedar, ini bukan lagi selamat.”
Misi Baru
Pasukan selam kami telah dipanggil untuk menjalankan operasi menyelamat bagi pihak tentera. Mereka tak memberikan maklumat jelas, cuma memberitahu, ada sebuah kapal selam prototaip milik Tentera Laut AS yang telah tenggelam. Kami dan peralatan dibawa naik ke atas kapal perang untuk ke lokasi. Ini luar biasa tapi bukan pertama kali.
Semasa dalam perjalanan, kami diberi taklimat oleh Pegawai Pemerintah. Dia mengingatkan tentang kerahsiaan misi ini. Seorang lelaki tanpa nama kemudian mengambil alih taklimat. Dia berkata, kapal selam itu besar yakni jauh lebih besar daripada mana-mana yang kami pernah lihat dan ia dilaporkan hilang sejak empat hari lalu. Imej sonar menunjukkan ia berada di dasar laut, kelihatan utuh tetapi tiada siapa dalam kapal itu yang membalas sebarang komunikasi.
Penemuan Awal
Setibanya di lokasi, kami mendapati ada hampir sedozen kapal perang menunggu. Pasukan penyelam pertama turun untuk memeriksa keadaan kapal selam. Mereka laporkan tiada kerosakan. Reka bentuk kapal itu luar biasa, diperbuat daripada logam berkilau yang kelihatan seperti sisik. Air pula luar biasa jernih.
Kumpulan pertama hanya sempat melakukan pemeriksaan dari tengah ke bahagian belakang kapal sebelum masa dasar tamat. Mereka naik semula dan beri laporan.
Kumpulan kedua turun untuk memeriksa dari tengah ke bahagian hadapan. Sepuluh minit kemudian, seorang penyelam mula mengetuk dinding kapal. Tiba-tiba, mereka berdua terdengar bunyi orang dari dalam kapal mengetuk dan menjerit minta pertolongan. Mereka tak dapat tangkap apa yang dikatakan tapi jelas mereka ketakutan.
Beberapa minit selepas itu, mereka temui ukiran aneh seperti hieroglif di permukaan logam kapal, dari hadapan hingga ke tengah. Namun masih tiada tanda kerosakan struktur. Mereka naik ke permukaan dan beri laporan penuh kepada pegawai atasan. Tentera percaya kru masih hidup dan bersemangat untuk menaikkan kapal itu.
Hari Kedua – Sesuatu Muncul
Hari kedua, penyelam diarahkan memeriksa empat titik untuk pasang alat pengangkat. Mereka terdengar bunyi ketukan dari dalam sekali lagi. Semasa mereka hampiri bahagian depan kapal, kawasan yang dipenuhi ukiran, mereka ternampak satu bayang makhluk bergerak. Ia hilang sekelip mata. Mereka tak tahu ke mana ia pergi tetapi tetap meneruskan kerja.
Mereka kemudian diberi arahan tambahan untuk periksa dua “hatch” (penutup masuk keluar) di bahagian kiri dan kanan kapal. Penyelia naik ke permukaan berkata, “Jurutera di sini jadi resah lepas dengar laporan kau pasal benda bergerak tu. Mereka masuk ke dalam kapal dan keluar semula, terus paksa kau cari hatch tu. Aku pun tak tahu apa yang berlaku tapi berhati-hatilah.”
Semasa mereka memeriksa kawasan itu semula, mereka nampak satu makhluk keluar dari hatch sambil mengheret satu mayat. Mereka terkejut, membeku. Makhluk itu menutup hatch lalu mengheret mayat pergi. Mereka segera laporkan hal ini tetapi tiba-tiba hatch itu terbuka lagi.
Panik di Permukaan
Komunikasi dengan dua penyelam itu terputus. Di permukaan, semua panik. Tali umbilikal mereka tegang dan bergetar hebat. Penyelam simpanan bersedia turun walaupun ketakutan jelas tergambar di wajahnya. Tiba-tiba tekanan pada tali hilang. Ia jadi longgar. Lepas beberapa saat, gelembung udara mula timbul di permukaan.
Penyelia arahkan penyelam simpanan turun segera. Dia mengikuti tali untuk mencari penyelam yang hilang. Sampai di dasar, dia mendapati tali mereka telah dipotong, cuma tinggal gelembung udara dari selang yang masih memancutkan oksigen.
Dia cari merata namun tidak menemui mereka. Akhirnya, dia sampai ke hatch dan masuk ke dalam.
Serangan dari Dalam
Dalam ruang gelap itu, dia nampak dua mayat terbaring. Namun dia juga ternampak banyak makhluk berdiri di sudut gelap. Dia menarik salah satu mayat tapi makhluk-makhluk itu terus menyerang dengan mengoyak peralatan dan pakaian selamnya. Dia lepaskan mayat dan cuba melarikan diri. Mujur dia berjaya menyelamatkan diri dan naik ke permukaan tetapi tak sedarkan diri.
Dia mengalami kecederaan serius, termasuk kemungkinan “arterial gas embolism” akibat naik terlalu cepat. Dia dimasukkan ke dalam bilik tekanan serta-merta.
Penyelia mengisytiharkan misi selaman dihentikan. Dua orang mati, satu kritikal. Dia berkata, “Ada sesuatu dalam kapal tu yang kita tak patut ganggu.”
Arahan Terakhir
Keesokan paginya, pasukan dipanggil untuk sesi taklimat terakhir. Pegawai Pemerintah menberitahu bahawa mereka tak akan meneruskan usaha menyelamatkan kapal itu. Namun kapal dan apa yang ada dalamnya tak boleh dibiarkan. Arahan baru: masuk semula, pasang bahan letupan dan musnahkan semuanya.
Penyelia membantah keras, minta dilepaskan dari kapal. Walau bagaimanapun, pengawal bersenjata masuk dan menahannya. Arahan diteruskan, mereka tak boleh tinggalkan kapal sehingga kerja selesai.
Dua penyelam yang terpaksa akur dalam ketakutan, turun semula untuk memasang bahan letupan. Mereka mendengar lagi bunyi jeritan dari dalam. Mereka menangis, tahu mereka bakal membunuh orang yang masih hidup. Pegawai cuma berkata: “Kau takkan dibenarkan keluar sebelum tugas selesai.”
Maka dengan hati yang berat, mereka siapkan tugasan dan naik ke permukaan. Mereka enggan bercakap dengan sesiapa. Kapal mula beredar.
Penutup
Pasukan dipanggil semula. Pegawai Pemerintah mengucapkan terima kasih selain berjanji mereka akan dibayar dengan lumayan dan mengingatkan apa yang berlaku adalah sulit.
“Jika ada kebocoran maklumat... akibatnya sangat berat.”
Penyelia aku menamatkan ceritanya dengan berkata bahawa seluruh pasukan bersetuju untuk berhenti kerja. Rasa takut dan bersalah itu terlalu dalam.
Kata-kata terakhirnya kepada aku:
“Ada tempat di dunia ini yang manusia memang tak sepatutnya jejaki.”
Pautan Kisah Asal : Confessions of a Deep Sea Diver (Part 3)
Catat Ulasan for "PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM (BAHAGIAN 3 -AKHIR)"