DITINGGALKAN SUAMI SELEPAS LUMPUH AKIBAT PRMBEDAHAN CAESAREAN

INDONESIA – Seorang wanita muda dari Kota Bekasi, Jawa Barat kini terlantar lumpuh selepas menjalani pembedahan caesarean untuk melahirkan anak keempatnya. Ia dikaitkan dengan dakwaan kecuaian perubatan yang berlaku di sebuah hospital awam. Mangsa iaitu Ratih Raynada, 30 tahun sebelum ini merupakan ibu yang sihat dan aktif. Kehidupannya bagaimanapun berubah sekelip mata selepas menjalani prosedur pembedahan tersebut di Hospital Umum Daerah (RSUD) Kota Bekasi pada September 2024.
Menurut maklumat daripada keluarga, Ratih dimasukkan ke hospital dalam keadaan normal untuk melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan. Namun ketika suntikan bius diberikan, dia dilaporkan masih dalam keadaan sedar dan mengalami kesakitan yang amat sangat ketika pembedahan dijalankan. Selepas pembedahan selesai, Ratih menunjukkan gejala luar biasa apabila dia tidak dapat menggerakkan kakinya. Keadaan ini pada awalnya dianggap sebagai kesan sampingan biasa akibat ubat bius yang belum hilang. Cuma selepas beberapa hari, gejala itu tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah selepas beberapa minggu, Ratih tidak mampu berdiri serta mengalami kesukaran duduk.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kerosakan serius pada bahagian tulang belakangnya. Disebabkan itu, Ratih terpaksa menjalani satu lagi pembedahan untuk memasang pen logam atau skru pada bahagian yang terjejas. Malangnya selepas pembedahan kedua, keadaan Ratih menjadi lebih teruk. Wanita itu lumpuh sepenuhnya di mana dia tidak lagi mampu duduk, berdiri atau menguruskan diri sendiri. Ratih turut mengalami kesakitan yang berterusan di seluruh tubuh.
Insiden ini bukan sahaja mengubah keadaan fizikal Ratih bahkan turut memusnahkan kehidupan keluarganya. Pada Februari 2025, suami Ratih pergi meninggalkannya bersama empat orang anak yang masih kecil. Kini, mereka menumpang teduh di rumah bapa Ratih, Encik Razif, 64 tahun yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai penjaga utama dan satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga itu.

Dalam satu temu bual yang disiarkan oleh media tempatan, Encik Razif berkata dengan nada penuh kesedihan,
“Anak saya masuk hospital dalam keadaan sihat. Sekarang, dia hanya mampu terbaring dan menangis setiap hari. Anak-anaknya pula ada yang terpaksa berhenti sekolah. Kami sekeluarga hilang arah.”
Sementara itu, Wali Kota Bekasi, Tri Adhianto tampil memberikan kenyataan dan mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap hospital yang terlibat. Dia turut meminta agar pihak pengurusan RSUD Kota Bekasi memberikan kerjasama penuh kepada Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam menjalankan siasatan dalaman dan audit perubatan.
Pihak RSUD dalam kenyataan rasmi menafikan sebarang unsur kecuaian dalam prosedur tersebut. Mereka menyatakan bahawa semua langkah telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Walau bagaimanapun, mereka mengakui wujud kelemahan dalam komunikasi antara pihak hospital dan keluarga pesakit terutamanya dalam memberikan penjelasan mengenai komplikasi dan risiko pembedahan.
Catat Ulasan for "DITINGGALKAN SUAMI SELEPAS LUMPUH AKIBAT PRMBEDAHAN CAESAREAN"