Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ERIN PATTERSON : HIDANGAN CENDAWAN MAUT


    Pada pertengahan tahun 2023 bertempat di sebuah bandar kecil bernama Leongatha, Victoria, Australia, seorang wanita berusia 50 tahun iaitu Erin Patterson telah menghidangkan sajian makan tengah hari kepada empat ahli keluarga di kediamannya. Hidangan utama yang disediakan ialah Beef Wellington, sejenis daging lembu yang dibalut dengan pastri dan diisi dengan campuran cendawan. Namun tiada siapa menyangka bahawa makanan itu akan menjadi penyebab kepada insiden yang mengorbankan tiga nyawa, manakala seorang lagi hampir maut.

     Mangsa yang terlibat dalam kejadian ini ialah ibu bapa mentua Erin, Don dan Gail Patterson, kakak kepada Gail iaitu Heather Wilkinson dan suami Heather yang bernama Ian Wilkinson. Don, Gail dan Heather telah meninggal dunia akibat keracunan selepas menjamah hidangan tersebut. Ian Wilkinson pula terselamat tetapi hanya selepas menjalani rawatan intensif di hospital termasuk pemindahan hati. Keadaan menjadi semakin mencurigakan apabila siasatan awal mendapati makanan tersebut dipercayai mengandungi cendawan beracun jenis Amanita phalloides yang terkenal sebagai antara kulat paling berbahaya di dunia.


     Susulan kejadian itu, Erin Patterson telah ditahan dan didakwa atas tiga pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh. Pihak pendakwaan membawa kes ini ke Mahkamah Agung Victoria dengan hujah bahawa Erin telah dengan sengaja mencampurkan cendawan beracun ke dalam masakan dan tindakannya selepas kejadian menunjukkan percubaan untuk menyembunyikan bukti. Antaranya termasuk tindakan dia membuang mesin pengering makanan, memadam data telefon bimbit dan memberi keterangan yang bercanggah kepada pihak berkuasa. Menurut pihak pendakwa, semua tindakan Erin ini menggambarkannya mempunyai niat jahat dan cuba menutup perbuatannya itu.

     Namun salah satu persoalan besar yang muncul sepanjang perbicaraan ialah apa motif Erin melakukan perbuatan tersebut? Pihak pendakwa tidak mengemukakan motif yang jelas tetapi menyatakan kemungkinan besar ia berpunca daripada hubungan tegang antara Erin dan keluarga mentuanya. Hubungan Erin dengan suaminya yang dikenali sebagai Simon telah berakhir dalam perpisahan. Wujud dakwaan bahawa dia mempunyai pertikaian berpanjangan dengan keluarga bekas suami terutama dalam isu hak penjagaan anak dan soal peribadi. Tambahan pula, Simon turut dijemput ke jamuan makan itu tetapi tidak dapat hadir pada saat akhir. Pendakwaan membuat andaian bahawa mangsa sebenar mungkin ialah Simon dan ketidakhadirannya telah menyelamatkan nyawanya.


    Pihak pembelaan sebaliknya berhujah bahawa Erin tidak mempunyai sebarang niat untuk membunuh sesiapa dan insiden tersebut hanyalah satu kemalangan. Erin mendakwa bahawa dia tidak mengetahui cendawan yang digunakan itu beracun. Ia mungkin tercampur antara cendawan yang dibeli dari pasar dan yang dikutip secara liar. Malah menurut Erin, dia memasak hidangan itu sebagai satu bentuk usaha untuk membaiki hubungan dengan ahli keluarga bekas suaminya dan bukan untuk mencederakan mereka.

     Sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama sembilan minggu, mahkamah telah mendengar keterangan lebih daripada 50 orang saksi termasuk pakar toksikologi, doktor, pegawai penyiasat serta pakar cendawan. Bukti digital seperti mesej media sosial, carian internet dan kelakuan Erin selepas kejadian turut dikemukakan. Keterangan paling menyayat hati datang daripada Ian Wilkinson yakni satu-satunya mangsa yang terselamat. Dia menceritakan bagaimana tubuhnya menjadi lemah, organ dalaman mula gagal berfungsi dan hanya dengan rawatan intensif barulah dirinya dapat diselamatkan.


     Pada penghujung Jun 2025, perbicaraan Erin Patterson di Mahkamah Agung Victoria memasuki fasa terakhir. Selepas lebih 40 hari mendengar keterangan dari pihak pendakwa dan pembela, 12 orang juri telah dipilih dan diarahkan untuk berbincang demi menentukan sama ada Erin bersalah atas tiga tuduhan pembunuhan terhadap ibu bapa mentua serta kakak mereka dan satu tuduhan cubaan membunuh terhadap Ian Wilkinson. Juri kini telah bermula berunding sejak 30 Jun dan proses ini dijangka berterusan beberapa hari sehingga Keputusan sama ada Erin Patterson akan didapati bersalah dan dihukum atau dibebaskan atas dasar keraguan munasabah, keputusan juri kelak bakal menjadi penentu kepada kes pembunuhan yang paling luar biasa dalam sejarah moden negara itu.

Catat Ulasan for "KISAH ERIN PATTERSON : HIDANGAN CENDAWAN MAUT"