Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM A WIDOW'S GAME


     Kisah benar di sebalik filem A Widow’s Game di Netflix sebenarnya berpunca daripada satu kes pembunuhan yang menggemparkan Sepanyol pada tahun 2017. Ia melibatkan seorang wanita muda bernama Maria Jesus Moreno Canti atau lebih dikenali oleh media sebagai Black Widow of Patraix. Julukan itu diberi selepas siasatan mendedahkan peranannya dalam komplot pembunuhan suaminya sendiri dengan bantuan kekasih gelapnya.

     Kisah ini bermula di daerah Patraix, Valencia apabila seorang jurutera berusia 36 tahun bernama Antonio Navarro Cerdan ditemui mati dibunuh di kawasan tempat letak kereta berhampiran rumahnya pada 16 Ogos 2017. Antonio ketika itu sedang bersiap untuk ke tempat kerja apabila dia ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki yang telah menunggu kehadirannya. Polis segera melancarkan siasatan. Namun pada peringkat awal, mereka tidak menemui sebarang bukti yang kukuh untuk mengenal pasti pelaku sebenar. Kejadian ini pada awalnya disangka sebagai rompakan atau serangan rawak. Walau bagaimanapun, siasatan lebih mendalam mendedahkan sesuatu yang mengejutkan.

     Hasil penyiasatan menunjukkan bahawa pembunuhan ini sebenarnya telah dirancang dengan teliti oleh isteri mangsa sendiri iaitu Maje yang ketika itu berusia 27 tahun dan bekerja sebagai seorang jururawat. Maje dipercayai telah memanipulasi kekasih gelapnya bernama Salvador Rodrigo Lapiedra yang juga merupakan seorang juruteknik di hospital tempat mereka bekerja untuk membunuh suaminya. Dalam siri mesej teks dan rakaman audio yang ditemui oleh pihak berkuasa, Maje didapati menyampaikan maklumat penting seperti jadual harian suaminya dan memberikannya kunci garaj tempat kereta suaminya diparkir. Salvador kemudian menunggu di tempat tersembunyi sebelum menikam Antonio hingga mati.

     Lebih mengejutkan, motif Maje bukanlah kerana penderaan rumah tangga seperti yang didakwanya kepada Salvador. Malah siasatan membuktikan bahawa dia menjalinkan hubungan sulit dengan sekurang-kurangnya lima lelaki lain dalam tempoh perkahwinannya bersama Antonio. Dia dikatakan bijak berkata-kata dan licik bermain peranan sebagai isteri malang untuk menagih simpati serta mengawal kekasihnya. Maje memberitahu Salvador bahawa suaminya bersikap kasar dan tidak penyayang hingga menyebabkan lelaki itu bersetuju untuk melakukan pembunuhan demi membebaskan wanita yang disayanginya.

     Sandiwara Maje bagaimanapun akhirnya terbongkar. Pada Januari 2018 yakni selepas beberapa bulan siasatan rapi dijalankan oleh pihak berkuasa Sepanyol, Maje dan Salvador telah ditahan polis. Pada awalnya, Salvador mengaku bertindak bersendirian dalam pembunuhan itu kerana cinta terhadap Maje. Cuma setelah mengetahui bahawa Maje turut menjalin hubungan dengan lelaki lain ketika mereka berdua sudah ditahan, dia akhirnya mendedahkan bahawa Maje adalah dalang utama pembunuhan tersebut. Pengakuan Salvador disokong dengan pelbagai bukti termasuk mesej teks, panggilan telefon dan perbualan yang dirakam secara rahsia oleh pihak polis.

     Perbicaraan mahkamah terhadap Maje dan Salvador berlangsung dengan penuh dramatik. Kes ini mendapat liputan meluas media kerana unsur manipulasi emosi, pembohongan bersiri dan permainan psikologi yang begitu mendalam. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman 22 tahun penjara ke atas Maje atas kesalahan merancang dan mendalangi pembunuhan suaminya. Sementara itu, Salvador dijatuhkan hukuman 17 tahun penjara atas peranannya sebagai pelaksana jenayah. Hakim menyifatkan tindakan Maje sebagai perbuatan sangat kejam, penuh manipulasi dan tanpa sebarang penyesalan.

    Selepas dipenjarakan, kehidupan Maje terus mencetuskan tanda tanya dan sensasi. Pada tahun 2023, laporan menyebut bahawa dia telah hamil hasil hubungannya dengan seorang banduan lelaki lain di dalam penjara. Maje melahirkan anaknya pada Julai 2023 dan sejak itu ditempatkan di unit khas ibu-anak di Penjara Fontcalent di Alicante di mana banduan wanita dibenarkan membesarkan anak mereka dalam persekitaran separa terbuka sehingga anak berusia tiga tahun. 

     Netflix kemudiannya mengambil inspirasi daripada kes ini untuk menghasilkan filem A Widow’s Game, yang membawakan watak utama bernama Maje (dilakonkan oleh Ivana Baquero) serta dua watak penting lain iaitu Salvador dan seorang detektif wanita rekaan bernama Eva Torres. Filem ini turut menyelami sisi psikologi dan manipulasi emosi yang dimainkan oleh Maje terhadap orang di sekelilingnya. Naratifnya diceritakan dari beberapa sudut pandang bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang bagaimana perasaan cinta, cemburu dan kuasa boleh mendorong seseorang ke arah jenayah yang tidak masuk akal.

     Walaupun terdapat beberapa perubahan nama dan elemen dramatik dalam filem tersebut, keseluruhan jalan cerita A Widow’s Game kekal setia kepada fakta kes yang berlaku. Bahkan dalam kredit penutup filem, Netflix menyertakan rakaman sebenar sesi mahkamah sebagai peringatan bahawa kisah ini bukan rekaan semata-mata. Penonton turut dapat melihat wajah sebenar Maje serta sebahagian bukti yang digunakan dalam perbicaraan.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM A WIDOW'S GAME"