Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

10 FAKTA TENTANG KAPAL TITANIC


     RMS Titanic ialah kapal penumpang paling mewah dan terbesar di dunia pada zamannya namun pelayaran sulungnya pada April 1912 berakhir dengan tragedi apabila ia karam di Lautan Atlantik Utara selepas melanggar bongkah ais. Lebih 1500 nyawa terkorban sekali gus menjadikannya antara bencana maritim paling menyayat hati dalam sejarah moden. Minat terhadap kisah ini kekal hangat sehingga kini terutamanya selepas kejayaan filem Titanic arahan James Cameron pada tahun 1997 yang mengangkat semula tragedi ini ke layar perak. Di sebalik populariti filem tersebut, banyak fakta sebenar tentang Titanic yang masih menarik untuk diterokai.


1. Satu Simbol Kemewahan dan Kecanggihan Teknologi Abad Ke-20

     RMS Titanic sebuah kapal hasil kejuruteraan hebat oleh syarikat pembuat kapal Harland and Wolff di Belfast, Ireland Utara dan dimiliki oleh syarikat pelayaran White Star Line. Kapal ini dibina untuk menjadi yang paling besar, paling mewah dan paling selamat pada zamannya. Dengan panjang kira-kira 269 meter dan berat lebih 46,000 tan, Titanic dilengkapi dengan kemudahan mewah seperti kolam renang dalaman, bilik wap Turki, gimnasium dengan peralatan moden, restoran ala Perancis, bilik merokok untuk lelaki dan ruang membaca untuk wanita. Kabin kelas pertama lebih menyerupai suite hotel lima bintang daripada tempat tidur biasa atas kapal. Hanya golongan elit seperti bangsawan, ahli perniagaan kaya dan selebriti mampu membeli tiket kelas pertama yang boleh mencecah ribuan dolar yakni jumlah yang bersamaan dengan puluhan ribu dolar hari ini.



2. Diyakini Sebagai Kapal Tidak Boleh Karam

     Sebelum pelayarannya yang pertama, Titanic digambarkan oleh banyak pihak sebagai kapal yang tidak boleh karam atau practically unsinkable. Keyakinan ini datang daripada ciri reka bentuknya yang canggih di mana kapal ini dilengkapi 16 petak kedap air yang direka untuk membolehkan kapal terus terapung walaupun dua hingga empat petak hadapan mengalami kebocoran. Ironiknya, apabila Titanic melanggar bongkah ais besar pada malam 14 April 1912, kerosakan berlaku sepanjang sisi kapal sehingga lima petak hadapan dimasuki air serentak. Ini menyebabkan sistem kedap airnya gagal dan kapal akhirnya karam sepenuhnya hanya beberapa jam kemudian. 



3. Jumlah Bot Penyelamat yang Tidak Mencukupi

     Salah satu punca utama angka korban yang tinggi ialah kekurangan bot penyelamat. Titanic membawa hanya 20 bot penyelamat yang cukup untuk sekitar 1178 orang sahaja sedangkan jumlah keseluruhan penumpang dan anak kapal melebihi 2200 orang. Pada masa itu, undang-undang British tidak mewajibkan kapal besar membawa bot penyelamat mengikut kapasiti sebenar penumpang tetapi hanya mengikut saiz berat kapal. Bot penyelamat juga tidak digunakan secara optimum pada malam kejadian. Ada yang dilancarkan separuh kosong kerana kekeliruan dan panik hingga menyebabkan banyak nyawa tidak dapat diselamatkan walaupun ada ruang mencukupi jika disusun dengan baik.



4. Karam Dalam Pelayaran Pertama

     Titanic memulakan pelayaran sulungnya dari Southampton, England pada 10 April 1912 dengan destinasi akhir di New York, Amerika Syarikat. Ia singgah di Cherbourg (Perancis) dan Queenstown (kini Cobh, Ireland) untuk mengambil penumpang tambahan. Namun hanya empat hari selepas berlayar di perairan Atlantik Utara, Titanic melanggar bongkah ais besar pada jam 11:40 malam, 14 April. Keretakan berlaku di bahagian kanan bawah kapal yang menyebabkan air masuk secara pantas. Kapal karam sepenuhnya pada jam 2:20 pagi, 15 April. Kira-kira 1500 orang maut dalam kejadian tersebut, kebanyakan akibat hipotermia kerana suhu air laut ketika itu di bawah paras beku.



5. Salah Satu Tragedi Maritim Terburuk Dalam Sejarah

     Daripada lebih 2200 orang di atas Titanic, hanya sekitar 706 orang terselamat. Ini menjadikan tragedi Titanic antara bencana laut paling teruk dalam sejarah moden dari segi kehilangan nyawa ketika masa aman. Mangsa terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang selain jutawan seperti John Jacob Astor IV hinggalah pelaut biasa. Ketiadaan latihan kecemasan, kekeliruan ketika pemindahan dan kelewatan penghantaran isyarat kecemasan menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi.


6. Isyarat 'SOS' Digunakan Buat Pertama Kali

     Titanic merupakan antara kapal pertama dalam sejarah yang menggunakan isyarat kecemasan ‘SOS’ menerusi sistem radio Marconi. Sebelum itu, isyarat kecemasan yang biasa digunakan ialah ‘CQD’. Ketika Titanic mengalami kerosakan, operator radio Jack Phillips dan Harold Bride menghantar kedua-dua isyarat CQD dan SOS kepada mana-mana kapal yang berdekatan. Salah satu kapal yang menerima isyarat ialah Carpathia yang tiba beberapa jam selepas Titanic karam dan menyelamatkan mangsa yang masih hidup.



7. Penemuan Bangkai Titanic Selepas Lebih 70 Tahun

     Bangkai Titanic tidak dijumpai serta-merta selepas kejadian berlaku kerana kedudukannya yang sangat dalam dan terpencil. Ia hanya ditemui pada 1 September 1985 oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Robert Ballard, seorang ahli oseanografi dari Amerika Syarikat. Titanic ditemui pada kedalaman kira-kira 3800 meter di dasar Lautan Atlantik Utara iaitu kira-kira 600 kilometer dari pantai Newfoundland, Kanada. Penemuan ini membuka jalan kepada penyelidikan saintifik dan ekspedisi arkeologi laut dalam serta memperbaharui minat umum terhadap sejarah Titanic.



8. Kapten Kapal Kekal Hingga Akhir

     Kapten Titanic, Edward John Smith merupakan kapten paling senior dalam White Star Line dan pelayaran ini sepatutnya menjadi pelayaran terakhir sebelum dia bersara. Namun apabila Titanic karam, kapten itu memilih untuk kekal di atas kapal dan tidak menaiki bot penyelamat. Ada saksi yang mendakwa melihatnya tenggelam bersama kapal, manakala yang lain percaya dia terjun ke laut saat akhir. 



9. Penumpang Kelas Bawah Paling Ramai Terbunuh

    Kejadian Titanic turut menonjolkan ketidaksamarataan sosial. Penumpang kelas pertama mempunyai akses mudah ke dek atas dan bot penyelamat manakala ramai penumpang kelas ketiga dikurung di bahagian bawah kapal atau terhalang oleh pagar dan laluan tertutup. Statistik menunjukkan lebih 60% penumpang kelas pertama terselamat manakala hanya sekitar 25% penumpang kelas ketiga yang berjaya menyelamatkan diri.



10. Ramalan Fiksyen Yang Mengejutkan

     Pada tahun 1898, 14 tahun sebelum Titanic dibina, seorang penulis Amerika bernama Morgan Robertson menulis sebuah novel bertajuk Futility, or the Wreck of the Titan. Dalam novel itu, sebuah kapal mewah bernama Titan yang hampir sama besar dan reka bentuknya seperti Titanic juga karam selepas melanggar bongkah ais di Atlantik Utara pada bulan April. Sama seperti Titanic, kapal fiksyen itu kekurangan bot penyelamat dan karam dengan kehilangan nyawa yang besar. 

Catat Ulasan for "10 FAKTA TENTANG KAPAL TITANIC "