KES PENEMBAKAN SHINZO ABE

Pada 8 Julai 2022, satu kejadian mengejutkan yang berlaku di bandar Nara apabila bekas Perdana Menteri Jepun iaitu Shinzo Abe ditembak ketika sedang menyampaikan ucapan dalam satu acara kempen pilihan raya. Kejadian itu amat mengejutkan dunia kerana Jepun selama ini dikenali sebagai salah sebuah negara paling selamat dengan undang-undang senjata api yang sangat ketat.
Shinzo Abe yang berusia 67 tahun ketika itu berada di hadapan khalayak ramai memberi sokongan kepada calon Parti Demokratik Liberal (LDP) menjelang pilihan raya dewan perundangan Jepun. Semasa beliau sedang berucap, seorang lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan dari arah belakang menggunakan sejenis senjata api buatan sendiri. Insiden itu berlaku sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan dengan bunyi tembakan yang kuat mengejutkan orang ramai di lokasi.

Mangsa rebah serta-merta selepas ditembak di bahagian dada dan leher. Pasukan keselamatan yang berada berhampiran terus menahan suspek dan memberikan bantuan kecemasan kepada Abe. Beliau kemudiannya dikejarkan dengan helikopter ke Hospital Universiti Perubatan Nara dalam keadaan kritikal. Namun selepas beberapa jam menerima rawatan, pihak hospital mengesahkan bahawa Shinzo Abe meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang teruk.
Suspek utama iaitu Tetsuya Yamagami, seorang lelaki berusia 41 tahun segera ditahan di tempat kejadian. Menurut laporan pihak polis Jepun, Yamagami merupakan bekas anggota Pasukan Pertahanan Maritim Jepun (Japan Maritime Self-Defense Force) yang pernah berkhidmat selama tiga tahun. Siasatan awal mendapati motif utama penembakan bukanlah bermotif politik secara langsung tetapi sebaliknya berkaitan dengan kebencian peribadi suspek terhadap sebuah kumpulan keagamaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan keluarga Abe.

Hasil siasatan mendapati ibu Yamagami telah mengalami kerugian kewangan besar kerana menyumbang wang dalam jumlah yang sangat banyak kepada kumpulan tersebut. Suspek dipercayai menyimpan dendam kerana keluarganya jatuh miskin akibat hal itu. Dia percaya Shinzo Abe mempunyai hubungan rapat dengan organisasi berkenaan. Disebabkan kesukaran mendapatkan senjata api di Jepun, Yamagami membina senjata buatan sendiri dengan menggunakan paip logam dan bahan mudah didapati.
Kematian Shinzo Abe bukan sahaja mengejutkan rakyat Jepun malah seluruh dunia. Abe merupakan Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat yakni dari tahun 2006–2007 dan kemudian 2012–2020 sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan. Beliau dikenali sebagai tokoh penting yang mengubah dasar ekonomi Jepun melalui polisi Abenomics serta memainkan peranan besar dalam diplomasi antarabangsa termasuk hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.
Selepas kejadian, pelbagai pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Perdana Menteri United Kingdom ketika itu Boris Johnson dan pemimpin dari serata dunia. Rakyat Jepun turut meluahkan kesedihan mendalam kerana insiden itu jarang berlaku dalam sejarah moden negara tersebut.

Namun kejadian ini juga menimbulkan kritikan keras terhadap tahap kawalan keselamatan pada hari kejadian. Ramai pakar berpendapat pengawal keselamatan gagal bertindak pantas kerana suspek dapat menghampiri Abe dari arah belakang dan melepaskan dua das tembakan tanpa dihalang. Susulan kejadian itu, Ketua Agensi Polis Negara Jepun, Itaru Nakamura mengumumkan peletakan jawatannya pada Ogos 2022 sebagai tanda bertanggungjawab atas kelemahan perancangan keselamatan. Ketua Polis Wilayah Nara, Tomoo Mori turut melepaskan jawatan kerana gagal memastikan perlindungan optimum terhadap Abe.
Hingga setakat ini, Yamagami masih belum dijatuhkan hukuman kerana perbicaraannya hanya akan bermula pada 28 Oktober 2025 di Mahkamah Daerah Nara. Dia telah didakwa atas kesalahan pembunuhan dan melanggar undang-undang kawalan senjata dengan kemungkinan hukuman sama ada penjara seumur hidup atau hukuman mati bergantung kepada keputusan mahkamah kelak.
Catat Ulasan for "KES PENEMBAKAN SHINZO ABE"