Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN JEFFREY BUSH AKIBAT SINKHOLE

     Pada malam 28 Februari 2013, satu kejadian pelik berlaku di bandar kecil Seffner, Florida, Amerika Syarikat di mana mangsa iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun bernama Jeffrey Bush hilang begitu sahaja selepas biliknya ditelan oleh sebuah sinkhole (lubang benam tanah) yang tiba-tiba muncul di bawah rumah keluarganya.

     Florida sememangnya terkenal dengan masalah sinkhole disebabkan keadaan geologi tanahnya. Negeri itu terletak di atas lapisan batu kapur yang mudah larut apabila berinteraksi dengan air bawah tanah. Proses ini mewujudkan rongga kosong jauh di bawah permukaan. Apabila rongga itu tidak lagi mampu menampung beban tanah dan struktur di atasnya, runtuhan akan berlaku lalu membentuk sinkhole yang boleh menelan rumah serta jalan raya. Namun kejadian yang menimpa Jeffrey dianggap luar biasa kerana ia berlaku secara tiba-tiba, tepat di dalam rumah yakni ketika penghuni sedang tidur.

     Pada malam kejadian, Jeffrey sedang tidur di dalam biliknya. Kira-kira jam 11 malam, keluarganya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat yang disusuli gegaran seolah-olah gempa bumi kecil. Mereka bergegas menuju ke bilik Jeffrey hanya untuk melihat lantai bilik itu sudah runtuh membentuk lubang besar. Katil Jeffrey bersama dirinya ditelan ke dalam lubang tersebut.

     Jeremy Bush, abang kepada Jeffrey bertindak nekad dengan melompat ke dalam lubang itu untuk cuba menyelamatkan adiknya. Walau bagaimanapun, keadaan tanah yang longgar membuatkan Jeremy hampir menjadi mangsa juga. Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian terpaksa menarik Jeremy keluar dengan paksa kerana lubang itu terus melebar dan mengancam keselamatan sesiapa sahaja yang berada berdekatan.

     Sejurus selepas kejadian, pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi. Mereka cuba menggunakan kamera khas dan mikrofon sensitif untuk mengesan sebarang tanda-tanda kehidupan. Usaha itu bagaimanapun gagal kerana struktur tanah terlalu tidak stabil. Setiap kali pasukan penyelamat cuba menggali atau menurunkan peralatan, sebahagian tanah akan terus runtuh ke dalam lubang.

     Pakar geologi yang dipanggil ke tempat kejadian menjelaskan bahawa sinkhole tersebut berkemungkinan sangat dalam dan luas sekali gus menjadikan misi menyelamat hampir mustahil. Pihak berkuasa akhirnya membuat keputusan yang amat sukar iaitu operasi menyelamat dihentikan kerana risiko terlalu tinggi. Keputusan ini menimbulkan kesedihan mendalam kepada keluarga Bush kerana mereka tahu Jeffrey tidak mungkin dapat diselamatkan apatalah lagi untuk menemui jasadnya. Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa membuat keputusan merobohkan rumah keluarga Bush kerana struktur tanah di sekitarnya tidak lagi selamat. Sinkhole itu terus membesar menyebabkan kawasan sekitar terpaksa dipantau.

     Florida merekodkan ratusan kes sinkhole setiap tahun walaupun kebanyakannya kecil dan tidak meragut nyawa. Pakar geologi menjelaskan bahawa kawasan Seffner sememangnya terletak di zon berisiko tinggi. Batu kapur yang membentuk dasar tanah di kawasan itu larut apabila berinteraksi dengan air bawah tanah. Lama-kelamaan, rongga kosong terbentuk. Apabila rongga itu terlalu besar dan tidak lagi mampu menampung beban di atasnya, ia akan runtuh secara mendadak lalu menelan segala yang ada di permukaan.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN JEFFREY BUSH AKIBAT SINKHOLE"