Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LELAKI YANG MERAJUK DAN TIDAK BERCAKAP DENGAN ISTERINYA SELAMA 20 TAHUN

     Di Jepun, ada sebuah kisah rumah tangga yang pernah menjadi tular kerana kelainannya. Pasangan ini ialah Otou Katayama dan isterinya, Yumi yang tinggal di Nara. Mereka berkahwin, membina keluarga dan dikurniakan tiga orang anak. Kehidupan awal mereka sama seperti pasangan lain yang penuh dengan harapan dan kebahagiaan. Namun tanpa disangka, sesuatu yang aneh berlaku dan berlarutan selama hampir 20 tahun

     Entah bagaimana Otou membuat keputusan untuk tidak lagi bercakap dengan isterinya. Diamnya bukan sehari dua, bukan seminggu tetapi mencecah dua dekad. Sepanjang tempoh itu, Otou tetap bercakap dengan anak-anak malah masih menjalankan peranannya sebagai bapa. Cuma dengan Yumi, dia hanya memberi reaksi ringkas yakni sekadar anggukan, dengusan atau bahasa tubuh tanpa sepatah kata pun.

     Apa yang peliknya, walaupun hubungan komunikasi terputus, mereka tetap hidup bersama bahkan sempat menimang seorang lagi cahaya mata ketika tempoh senyap itu berlangsung. Yumi sebagai isteri tidak pernah menuntut cerai. Dia memilih untuk bertahan meskipun berhadapan dengan kesunyian emosi yang panjang dan memenatkan. 

     Anak-anak mereka membesar dalam suasana yang luar biasa. Anak sulung yang bernama Yoshiki di mana sejak lahir hingga remaja, dia tidak pernah mendengar bapanya berbual dengan ibunya. Yoshiki hanya melihat ibunya bercakap tetapi tiada jawapan yang kembali daripada bapanya. Keadaan ini akhirnya menimbulkan rasa kecewa dalam diri Yoshiki kerana dia tahu keluarganya tidak sama seperti keluarga orang lain.

     Pada usia 18 tahun, Yoshiki mengambil langkah berani. Dia menulis surat kepada sebuah rancangan televisyen tempatan, TV Hokkaido bagi meminta bantuan agar ibunya dapat mendengar suara bapanya semula. 

     Pihak produksi televisyen menerima permintaan Yoshiki. Mereka merancang pertemuan penuh emosi di sebuah taman di Nara lokasi bersejarah bagi pasangan ini kerana di situlah Otou dan Yumi pernah meluangkan masa bersama sewaktu muda. Anak-anak mereka turut dibawa sama tetapi hanya sebagai pemerhati dari kejauhan. Detik ini dirakam sekali gus menjadi detik yang bermakna buat mereka semua. 

     Selepas hampir 20 tahun berdiam diri, Otou akhirnya membuka mulut di taman itu. Maka dengan wajah yang penuh rasa bersalah, dia mengaku bahawa selama ini dia sebenarnya cemburu. Menurut Otou, Yumi memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak hingga membuatkan dia berasa terpinggir. Bermula dari situlah Otou mula menjauhkan diri dengan memilih untuk diam dan keadaan itu berlarutan terlalu lama.

     Otou berkata kepada Yumi, "Awak banyak berkorban untuk anak-anak. Yumi, selama ini kamu menanggung banyak kesusahan. Saya benar-benar berterima kasih.

     Selepas Otou akhirnya berbicara, Yumi sebak kerana penantiannya selama hampir dua puluh tahun berakhir. Anak-anak mereka terutama Yoshiki menangis terharu kerana buat pertama kali melihat ibu bapa mereka bercakap. Kisah itu kemudian menjadi perhatian seluruh Jepun. Ada yang memuji kesabaran Yumi dan ada juga yang mengkritik sikap Otou sebagai bentuk penderaan emosi. Namun selepas itu hubungan mereka perlahan-lahan pulih. Otou mula berbicara kembali meskipun agak kekok pada awalnya. Keluarga Katayama akhirnya dapat hidup lebih normal selepas sekian lama dilanda kesunyian panjang.

Catat Ulasan for "KISAH LELAKI YANG MERAJUK DAN TIDAK BERCAKAP DENGAN ISTERINYA SELAMA 20 TAHUN"