KISAH KEMATIAN NGERI GABRIELA YUKARI NICHIMURA

Pada 24 Februari 2012 bertempat di negara Brazil, satu kejadian ngeri telah meragut nyawa seorang remaja berusia 14 tahun bernama Gabriela Yukari Nichimura. Kejadian itu berlaku di taman tema terkenal Hopi Hari yang terletak di bandar Vinhedo, Sao Paulo. Hopi Hari ketika itu merupakan antara taman hiburan terbesar dan paling popular di negara tersebut dengan menerima ribuan pengunjung setiap minggu.
Gabriela ketika itu menaiki sebuah permainan drop tower bernama La Tour Eiffel yang juga merupakan salah satu tarikan utama di Hopi Hari. Permainan ini berfungsi dengan mengangkat para penumpang ke ketinggian puluhan meter sebelum menjatuhkan mereka dengan kelajuan tinggi untuk memberikan pengalaman mendebarkan. Namun di sebalik keseronokan yang dijanjikan, tersembunyi kelemahan besar dari aspek penyelenggaraan. Kerusi yang diduduki Gabriela dilaporkan sudah lama mengalami kerosakan. Mekanisme kuncinya tidak lagi berfungsi dengan sempurna akibat hentakan berulang dengan struktur logam permainan tersebut. Walaupun masalah ini sudah diketahui pekerja taman hiburan sejak hampir sepuluh tahun sebelumnya, pihak pengurusan tidak mengambil tindakan serius untuk menghalang penggunaan kerusi tersebut.

Saksi-saksi menceritakan bahawa sebaik sahaja permainan itu berhenti di ketinggian kira-kira 20 meter dari tanah, kunci keselamatan pada kerusi Gabriela tiba-tiba terlepas. Remaja itu tercampak keluar dari tempat duduknya dan jatuh dengan hentakan kuat ke tanah di hadapan pengunjung lain. Gabriela mati serta-merta di lokasi kejadian.
Selepas kejadian, pihak berkuasa segera mengambil langkah menutup permainan tersebut dan menjalankan siasatan menyeluruh. Laporan rasmi mendapati bahawa kemalangan ini berpunca daripada kecuaian serius pihak pengurusan Hopi Hari. Kerusi yang rosak sepatutnya dikeluarkan daripada operasi tetapi ia tetap digunakan tanpa sebarang tanda amaran atau larangan kepada pengunjung. Tambahan pula, meskipun pekerja di taman hiburan itu pernah memberi peringatan tentang risiko keselamatan, pihak pengurusan memilih untuk mengabaikan amaran tersebut.

Kejadian ini membawa kepada tindakan undang-undang yang panjang. Seramai 12 individu termasuk bekas presiden Hopi Hari telah didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian akibat kecuaian. Pada tahun 2017 yakni selepas beberapa tahun perbicaraan, mahkamah mendapati tiga orang pekerja taman tema bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat. Mereka dijatuhi hukuman perkhidmatan masyarakat selama 2 tahun 8 bulan. Lima individu lain bagaimanapun dibebaskan manakala proses perundangan terhadap bekas presiden taman hiburan itu dihentikan oleh Mahkamah Agung Brazil.
Dari sudut operasi taman hiburan pula, pihak pengurusan Hopi Hari mengumumkan rancangan untuk membaiki semula La Tour Eiffel dan membukanya kembali kepada umum. Walau bagaimanapun, usaha itu terbantut selepas penilaian kos dilakukan. Pembukaan semula permainan berkenaan memerlukan perbelanjaan sehingga USD 480 000 selain kos tambahan untuk pemasaran semula bagi memulihkan kepercayaan orang ramai. Akhirnya, pihak pengurusan memutuskan untuk tidak membuka semula permainan tersebut buat sementara waktu.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NGERI GABRIELA YUKARI NICHIMURA"