Kisah Feng Jianmei, Wanita yang Menjadi Mangsa Pengguguran Paksa di China

Sejak tahun 1979, China melaksanakan dasar kawalan populasi yang dikenali sebagai Dasar Satu Anak. Polisi ini digubal dengan alasan untuk mengawal pertumbuhan penduduk negara paling ramai di dunia itu. Namun di sebalik tujuan rasmi tersebut, pelaksanaannya sering kali mencetuskan kontroversi. Pasangan yang melanggar peraturan dikenakan denda besar di mana mereka dipaksa membayar yuran sosial bahkan ada yang mengalami tekanan berlebihan daripada pihak berkuasa tempatan. Kes Feng Jianmei pada tahun 2012 menjadi salah satu insiden tragis yang memperlihatkan sisi gelap polisi ini.
Feng Jianmei ialah seorang wanita muda dari wilayah Shaanxi, barat laut China. Pada tahun 2012, dia sedang hamil anak keduanya. Menurut undang-undang kawalan kelahiran yang masih berkuat kuasa ketika itu, kehamilan kedua tanpa kebenaran rasmi dianggap sebagai pelanggaran serius. Pegawai keluarga di daerah Ankang, Shaanxi telah menuntut pasangan ini membayar denda lebih 40 000 yuan (sekitar RM25 000) sebagai syarat untuk meneruskan kehamilan. Walau bagaimanapun, Feng dan suaminya tidak mampu menanggung jumlah sebesar itu.
Apabila mereka gagal melunaskan tuntutan kewangan tersebut, pegawai mengambil tindakan drastik. Pada awal bulan Jun 2012, Feng dibawa ke sebuah hospital di wilayahnya. Di sana, dia dipaksa menandatangani dokumen persetujuan meskipun sebenarnya tidak bersetuju dengan prosedur yang bakal dilakukan. Doktor kemudian menyuntik bahan kimia ke dalam kandungan berusia tujuh bulan itu yang menyebabkan janin mati di dalam rahim. Beberapa jam kemudian, Feng melahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa.

Apa yang menyebabkan kes ini mencetuskan kemarahan ialah penyebaran gambar dari hospital. Dalam gambar tersebut, Feng kelihatan terbaring lemah di katil hospital dengan janin yang sudah mati diletakkan di sisinya. Gambar itu tersebar luas di internet melalui media sosial China seperti Weibo. Rakyat China termasuk mereka yang biasanya berhati-hati dalam mengkritik kerajaan menyuarakan rasa marah terhadap perlakuan tidak berperikemanusiaan ini.
Ramai netizen menyifatkan tindakan tersebut sebagai kejam dan melanggar hak asasi manusia. Pertubuhan antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch turut mengecam insiden ini. Tekanan daripada orang ramai dan antarabangsa memaksa kerajaan China bertindak. Beberapa pegawai yang terlibat dalam memaksa Feng menggugurkan kandungan telah digantung tugas manakala pihak berkuasa pusat mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap prosedur kawalan kelahiran di wilayah tersebut.

Akhirnya pada tahun 2016, kerajaan China secara rasmi menamatkan Dasar Satu Anak dan menggantikannya dengan Dasar Dua Anak. Namun perubahan itu datang agak lewat kerana kadar kelahiran di China terus menurun. Pada tahun 2021, kerajaan sekali lagi melonggarkan polisi dengan membenarkan setiap keluarga mempunyai sehingga tiga orang anak. Walaupun perubahan ini berlaku, kenangan pahit yang dialami oleh Feng Jianmei tetap menjadi simbol penderitaan akibat polisi yang dianggap zalim itu.
Catat Ulasan for "Kisah Feng Jianmei, Wanita yang Menjadi Mangsa Pengguguran Paksa di China"