DIKERAT LEBIH 300 BAHAGIAN, INI KRONOLOGI PENUH KES PEMBUNUHAN TIARA ANGELINA SARASWATI

1. Latar Belakang Mangsa

     Tiara Angelina Saraswati ialah seorang wanita muda berusia 25 tahun yang berasal dari Lamongan, Jawa Timur. Dia merupakan graduan Universitas Trunojoyo Madura dalam jurusan Pengurusan. Tiara dikenali sebagai anak yang baik, ceria dan mempunyai cita-cita untuk membina kerjaya yang stabil. Hubungannya dengan keluarga amat rapat di mana mereka sering berhubung dan mengetahui perkembangan hidupnya dari semasa ke semasa.

     Beberapa bulan sebelum kejadian, Tiara tinggal di sebuah rumah sewa di kawasan Jalan Raya Lidah Wetan, Kelurahan Lidah Wetan, Kecamatan Lakarsantri, Surabaya. Dia tinggal di situ bersama kekasihnya, Alvi Maulana, seorang lelaki berusia 24 tahun. Walaupun hubungan mereka belum diikat secara rasmi, orang sekeliling mengetahui bahawa mereka sudah hidup bersama seperti pasangan suami isteri. Terdapat juga sesetengah laporan menyebut bahawa pasangan tersebut sudah berkahwin secara rahsia.


2. Latar Belakang Pelaku

     Alvi Maulana berasal daripada keluarga sederhana dan pernah bekerja sebagai tukang sembelih haiwan. Pengalaman kerjanya ini kelak memainkan peranan penting dalam tindakan kejam yang dilakukannya terhadap Tiara. Menurut jiran dan kenalan rapat, Alvi ialah seorang individu yang mudah tersinggung, cepat marah dan sangat cemburu. Dia juga sering bertengkar dengan Tiara kerana hal-hal kecil terutama berkaitan ekonomi dan gaya hidup.

     Hubungan mereka sebenarnya sudah lama tegang. Tiara yang bersifat lebih tegas sering mengkritik sikap Alvi terutamanya soal kewangan. Polis kemudian menyatakan bahawa inilah yang menjadi punca utama pelaku melepaskan kemarahan secara kejam.


3. Kejadian

     Pada malam 30 Ogos 2025 hingga awal pagi 31 Ogos 2025, pertengkaran besar berlaku di bilik kos mereka. Menurut pengakuan pelaku, kejadian bermula apabila Tiara mengunci pintu bilik dari dalam hingga menyebabkan Alvi tidak dapat masuk. Tindakan itu menambahkan lagi kemarahannya.

     Pertengkaran bertukar menjadi ganas. Alvi yang berasa marah mengambil pisau dapur di bilik rumah sewa tersebut lalu menikam leher Tiara. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat luka parah pada bahagian dalaman. 



4. Mangsa Dikerat

     Selepas menyedari Tiara sudah meninggal, Alvi tidak panik mahupun menyerahkan diri. Dia sebaliknya memilih jalan yang lebih kejam iaitu memotong mayat Tiara. Menggunakan kemahiran sebagai bekas tukang sembelih, Alvi melakukan tindakan tersebut dengan tenang dan sistematik.

     Menurut hasil siasatan dan laporan forensik, tubuh Tiara dipotong menjadi 554 bahagian kecil termasuk 142 pecahan tulang tengkorak, 23 pecahan rahang serta gigi, 5 ruas tulang belakang, lebih daripada 350 potongan tulang panjang, 1 tulang rusuk dan 1 tulang punggung utama. 

     Kepala mangsa tidak dibuang tetapi sebaliknya disimpan di dalam almari bilik. Sebahagian besar potongan tubuh lain dimasukkan ke dalam plastik hitam dengan ada yang ditinggalkan di bilik manakala selebihnya dibawa ke kawasan Pacet, Mojokerto sebelum dibuang secara berperingkat.


5. Penemuan

     Keluarga Tiara mula curiga selepas gagal menghubunginya selama beberapa hari. Mereka kemudian membuat laporan kehilangan kepada polis. Siasatan membawa polis ke kawasan Pacet, Mojokerto di mana mereka menemui potongan tubuh manusia yang berselerakan. Polis kemudiannya menggeledah bilik rumah sewa Tiara dan Alvi. Hasilnya, mereka menemui bukti mengejutkan.  Antaranya 239 potongan tulang serta 22 gigi disimpan dalam plastik hitam, kesan darah yang cuba dibersihkan dan kepala mangsa yang masih tersimpan dalam almari. Penemuan ini mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui adalah milik Tiara Angelina Saraswati.


6. Penangkapan Pelaku

     Pada 7 September 2025, polis berjaya menahan Alvi Maulana di bilik kosnya di Surabaya. Dia tidak cuba melarikan diri. Alvi bahkan seolah-olah bersikap tenang walaupun telah melakukan jenayah mengerikan.

     Polis seterusnya merampas beberapa barang bukti termasuk pisau pembunuhan, plastik hitam berisi potongan tubuh serta kesan forensik lain yang ditemui di bilik rumah sewa. 



7. Autopsi dan Proses Forensik

     Autopsi dilakukan di RS Bhayangkara Porong, Sidoarjo. Prosesnya sangat rumit kerana jasad sudah tidak utuh. Namun identiti Tiara berjaya disahkan melalui cap jari dan dokumen pengenalan diri. 

     Polis turut menegaskan bahawa Tiara tidak hamil ketika dibunuh sekali gus menepis khabar angin yang tersebar di media sosial. Setelah selesai, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga lalu dikebumikan di kampung halamannya di Desa Made, Lamongan. 



8. Proses Undang-Undang

     Selepas ditangkap, Alvi secara rasmi ditetapkan sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan Tiara Angelina Saraswati. Pihak polis mengenakan dua pertuduhan jenayah ke atasnya mengikut peruntukan undang-undang jenayah di Indonesia. Pertuduhan pertama adalah di bawah Pasal 338 KUHP iaitu pembunuhan biasa. Pertuduhan kedua pula adalah di bawah Pasal 340 KUHP  iaitu pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum hukuman mati.

     Menurut pihak polis, Pasal 340 digunakan kerana terdapat bukti yang menunjukkan unsur kesedaran serta persiapan selepas pembunuhan dilakukan. Alvi tidak terus panik atau menyerahkan diri selepas membunuh Tiara tetapi sebaliknya mengambil masa untuk memotong dan menyembunyikan serpihan mangsa. Perbuatan itu dianggap sebagai tanda bahawa tindakannya dilakukan dengan penuh kesedaran dan perancangan. 

     Disebabkan itulah pihak penyiasat menilai jenayah ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai tindak balas emosi sesaat tetapi memenuhi ciri-ciri pembunuhan terancang. Jadi Alvi berdepan dengan dakwaan yang berat termasuk kemungkinan dikenakan hukuman mati sekiranya disabitkan bersalah di mahkamah.


9. Motif pembunuhan

      Alvi mendakwa motif utamanya adalah emosi yang menumpuk akibat sering ditekan oleh sikap Tiara yang dianggap panas baran selain kerap mengungkit masalah kewangan. Namun polis menilai alasan ini tidak wajar dan sama sekali tidak dapat membenarkan tindakan sadis serta tidak berperikemanusiaan yang dilakukan.

Catat Ulasan for "DIKERAT LEBIH 300 BAHAGIAN, INI KRONOLOGI PENUH KES PEMBUNUHAN TIARA ANGELINA SARASWATI"