Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Wang Enlin: Petani Miskin yang Menang Melawan Syarikat Gergasi

     Wang Enlin ialah seorang petani miskin dari sebuah kampung kecil di wilayah Heilongjiang di bahagian timur laut China. Dia datang daripada keluarga serba kekurangan dan tidak berpeluang menamatkan pendidikan formal. Pada usia muda, Wang berhenti sekolah kerana perlu membantu keluarga mencari rezeki. Kehidupannya berputar sekitar kerja-kerja ladang, bercucuk tanam dan menguruskan tanah pertanian. Bagi Wang, bertani bukan sahaja sumber pendapatan malah satu-satunya cara untuk meneruskan hidup.

     Namun segalanya berubah sekitar tahun 2001 apabila kawasan pertanian kampungnya terdedah kepada pencemaran serius. Sebuah kilang kimia besar bernama Qihua Group yang beroperasi tidak jauh dari perkampungan itu didapati membuang sisa toksik terus ke tanah dan kawasan sekitarnya. Air menjadi tercemar, tanah sawah tidak lagi subur, tanaman gagal dituai malah hasil pertanian yang menjadi punca rezeki utama penduduk kampung musnah sama sekali. Wang dan rakan-rakannya sesama petani kehilangan mata pencarian manakala kehidupan mereka yang sedia miskin semakin merosot.

     Wang sedar bahawa punca penderitaan itu datang daripada pencemaran yang dilakukan oleh kilang besar tersebut. Namun sebagai petani miskin yang tidak berpelajaran, dia berdepan dengan persoalan besar yakni bagaimana seorang individu biasa mampu melawan syarikat gergasi yang memiliki wang, pengaruh dan kekuatan undang-undang? Kebanyakan orang kampung pasrah tetapi Wang menolak untuk menyerah. Dia berazam menuntut keadilan walaupun tahu jalan yang bakal dilalui penuh halangan.

     Masalah utama yang dihadapi Wang ialah kekurangan ilmu undang-undang. Dia tidak tahu bagaimana untuk memfailkan kes apatah lagi berhujah di mahkamah. Wang bagaimanapun mempunyai tekad yang luar biasa. Dia mula belajar undang-undang dengan cara yang amat sederhana iaitu meminjam buku daripada kedai buku tempatan dan menyalin isi kandungan ke dalam buku nota. Disebabkan kemiskinan, Wang tidak mampu membeli buku Maka setiap kali ke kedai, dia membaca dan menyalin sedikit demi sedikit dengan tulisan tangan. Perjuangan ini berlanjutan selama bertahun-tahun.

     Selama lebih daripada 16 tahun, Wang menelaah buku-buku perundangan seorang diri. Diulangi, 16 tahun. Dia membaca mengenai undang-undang alam sekitar, peraturan pencemaran,serta hak-hak rakyat dalam menuntut ganti rugi. Walaupun proses itu lambat, Wang tidak pernah berputus asa. Setiap malam selepas bekerja di ladang, beliau akan duduk menyalin nota dan memahami undang-undang sedikit demi sedikit. 

     Maka akhirnya dengan pengetahuan yang terkumpul itu, Wang mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Qihua Group. Kes ini menjadi tumpuan kerana melibatkan syarikat besar di mana plaintifnya hanyalah seorang petani miskin tanpa peguam berprofil tinggi. Dalam perbicaraan, bukti jelas menunjukkan bahawa pencemaran kilang telah memusnahkan tanah pertanian dan sumber air penduduk kampung. Wang berdiri di hadapan mahkamah dengan hasil pembelajarannya sendiri swlain berani menyatakan hujah bagi pihak dirinya dan masyarakatnya.

     Selepas proses yang panjang, pada tahun 2017, mahkamah akhirnya memutuskan bahawa Qihua Group bersalah. Syarikat itu diperintahkan membayar pampasan sebanyak 820 000 yuan (anggaran RM520 000 waktu itu) kepada penduduk kampung yang terjejas. Keputusan ini disambut dengan rasa lega serta bangga oleh Wang dan penduduk kampungnya. Ia membuktikan bahawa walaupun seseorang itu miskin serta tidak berpendidikan tinggi, keazaman dan pengetahuan boleh menjadi senjata untuk menegakkan keadilan.


Catat Ulasan for "Kisah Wang Enlin: Petani Miskin yang Menang Melawan Syarikat Gergasi"