Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Eddie Ray Routh dan Chris Kyle: PTSD, Veteran dan Sistem yang Gagal

Chris Kyle

     Perang Iraq bukan sahaja meninggalkan luka yang mendalam kepada rakyat Iraq tetapi juga meninggalkan kesan psikologi yang parah kepada ribuan askar Amerika Syarikat. Salah satu kes yang paling tragis dan mendapat perhatian meluas ialah kisah Eddie Ray Routh, seorang bekas marin muda yang menamatkan riwayat hidup Chris Kyle iaitu penembak tepat legenda tentera laut Amerika Syarikat pada tahun 2013. Kejadian ini membuka mata ramai pihak tentang kesan sebenar PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder) terhadap kehidupan veteran perang.

     Eddie Ray Routh pernah berkhidmat dalam Kor Marin Amerika Syarikat dan ditugaskan ke Iraq sekitar tahun 2010. Walaupun perkhidmatannya tidak lama berbanding ramai askar lain, pengalamannya cukup untuk meninggalkan trauma mendalam. Routh sering terdedah kepada ketegangan berterusan, bunyi letupan serta ancaman serangan hendap yang menjadikan fikirannya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Apabila pulang ke tanah air, dia mula menunjukkan tanda-tanda serius penyakit mental iaitu rasa paranoid, mendengar suara yang tiada, cepat marah, tidak mampu tidur lena dan sering berasa orang di sekeliling mahu mencederakannya. Ahli keluarganya beberapa kali cuba mendapatkan rawatan dengan memasukkannya ke hospital psikiatri namun keadaan Routh tidak pernah benar-benar stabil.


Eddie Ray Routh

     Di sisi lain, Chris Kyle ialah seorang figura besar dalam sejarah tentera Amerika Syarikat. Dia berkhidmat sebagai anggota Navy SEAL dan dikenali sebagai penembak tepat paling berjaya dalam sejarah ketenteraan moden dengan lebih 150 pengesahan bunuh ketika perang Iraq. Kyle digelar sebagai The Legend oleh rakan seperjuangan kerana kemahirannya selain ditakuti musuh kerana keberkesanannya di medan tempur. Selepas bersara, Kyle menulis sebuah memoir berjudul American Sniper (2014) yang kemudiannya difilemkan oleh Clint Eastwood dengan dibintangi oleh Bradley Cooper. Namun kehidupan selepas tentera bagi Kyle tidak hanya diisi dengan buku dan filem. Dia memilih untuk menumpukan masa membantu rakan-rakan veteran yang bergelut dengan trauma perang khususnya melalui aktiviti luar seperti memburu, memancing dan menembak yakni satu bentuk terapi tidak rasmi bagi ramai bekas askar.



     Pada 2 Februari 2013, Kyle bersama sahabatnya yang bernama Chad Littlefield membawa Routh ke sebuah lapang sasar di Texas. Hasrat Kyle jelas di mana dia mahu membantu seorang lagi veteran muda mengatasi tekanan mental melalui aktiviti menembak seperti yang sering dilakukannya dengan ramai askar lain. Namun apa yang berlaku di lapang sasar tersebut menjadi titik hitam yang tidak akan dilupakan. Menurut keterangan mahkamah, sepanjang perjalanan dan ketika berada di lapang sasar, Routh semakin gelisah. Dalam fikirannya, Kyle dan Littlefield bukan datang untuk menolong. Dia sebaliknya percaya mereka berdua merancang untuk membunuhnya. Didorong oleh paranoia dan gangguan mental yang tidak terkawal, Routh mencapai senjata lalu melepaskan tembakan pada jarak dekat, membunuh Chris Kyle dan Chad Littlefield di tempat kejadian.

Chris Kyle dan Chad Littlefield

     Selepas kejadian itu, Routh melarikan diri dengan trak milik Kyle tetapi akhirnya berjaya ditangkap beberapa jam kemudian. Perbicaraannya pada tahun 2015 menjadi tumpuan media. Pasukan peguam bela cuba berhujah bahawa Routh tidak wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana dia menderita PTSD yang digabungkan dengan masalah psikiatri lain termasuk simptom skizofrenia. Pihak pendakwa bagaimanapun berhujah bahawa meskipun Routh mempunyai gangguan mental, dia masih sedar bahawa tindakannya salah berdasarkan tindakannya melarikan diri selepas menembak. Juri akhirnya mendapati Routh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Eddie Ray Routh dan Chris Kyle: PTSD, Veteran dan Sistem yang Gagal"