KISAH "SELFIE" NAOMIE PILULA : Wanita yang Diejek Kerana Tidak Cantik

Naomie Pilula, seorang peguam wanita berusia 37 tahun dari Zambia pada awalnya hanyalah individu biasa yang berkongsi kehidupannya di media sosial. Dia yang bekerja dalam sektor kewangan menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak menjangkakan bahawa sebuah foto swafoto yang dimuat naik di Instagram akan mengubah hidupnya secara drastik. Foto itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan tetapi sekadar sekeping foto diri dengan kapsyen ringkas “Happy Monday!”. Namun dalam tempoh beberapa hari, ia menjadi tular dan mengundang lebih setengah juta komen daripada pengguna seluruh dunia. Malangnya kebanyakan komen itu bukanlah berbentuk sokongan tetapi sebaliknya sarat dengan sindiran dan penghinaan terhadap rupa paras Naomie terutama bentuk hidungnya.
Kejadian ini membuka satu dimensi baharu dalam hidupnya. Naomie sedar bahawa orang ramai masih terikat dengan kecantikan tertentu yang dianggap sempurna dan sesiapa yang tidak menepati ciri-ciri tersebut mudah dijadikan bahan ejekan. Bagi Naomie sendiri, isu berkaitan imej tubuh bukanlah perkara asing. Sejak kecil lagi, dia yang juga merupaka anak bongsu daripada tujuh beradik sering berasa dirinya berbeza. Di Zambia, bentuk tubuh yang lebih berisi dianggap lebih menarik sedangkan Naomie bertubuh kecil. Perasaan rendah diri itu bertambah apabila dia melanjutkan pengajian di Australia dan New Zealand di mana dirinya sering menjadi satu-satunya pelajar berkulit hitam di dalam kelas. Situasi itu menyebabkan Naomie sering menjadi sasaran pandangan dan kadangkala komen yang tidak sensitif.

Walaupun dihantui pengalaman sedemikian, Naomie cuba mendidik dirinya untuk menerima kekurangan dan keunikan yang dimilikinya. Naomie pernah menjadi bahan ejekan kerana bentuk hidungnya namun semakin dewasa, dia mula melihat ciri tersebut sebagai satu keunikan dirinya. Bagi Naomie, hidung itu adalah simbol identiti dan sejarah keluarganya dan bukan sesuatu yang patut disembunyikan atau diubah semata-mata untuk memenuhi cita rasa orang lain.
Apabila wajahnya menjadi bahan kritikan di Instagram, Naomie berhadapan dengan pilihan besar sama ada memadamkan gambar tersebut untuk menamatkan ejekan atau mengekalkannya sebagai tanda keberanian. Dia akhirnya memilih untuk tidak berganjak. Naomie memutuskan untuk membiarkan foto itu kekal di laman Instagramnya walaupun menyedari jumlah komen negatif semakin meningkat setiap hari. Bagi Naomie, kritikan dan ejekan bukan penamat kisahnya tetapi sebaliknya mungkin menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih bermakna.

Keberanian Naomie akhirnya membawa hasil yang mengejutkan. Jumlah pengikut Instagram Naomie meningkat secara mendadak. Jika pada April 2025 dia hanya memiliki sekitar 1 000 pengikut, angka tersebut melonjak kepada kira-kira 20 000 menjelang Ogos tahun yang sama. Peningkatan itu tidak terhenti di situ. Kini, akaun Instagram rasmi beliau mencatat lebih 100 000 pengikut, angka yang jelas membuktikan bahawa keberaniannya untuk menentang arus ejekan.
Catat Ulasan for "KISAH "SELFIE" NAOMIE PILULA : Wanita yang Diejek Kerana Tidak Cantik"