KRONOLOGI PENUH KES PEMBUNUHAN KEJAM SEKELUARGA DI INDRAMAYU

Kes pembunuhan sekeluarga di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini menjadi antara kejadian paling menggemparkan pada tahun 2025 kerana melibatkan keseluruhan isi rumah termasuk seorang bayi berusia kurang setahun.
Difahamkan kecurigaan terhadap keluarga ini mula timbul seawal 18 Ogos 2025. Jiran-jiran berasa pelik kerana rumah tersebut yang biasanya riuh tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kebiasaannya, kelihatan kanak-kanak bermain di halaman atau terdengar suara orang dewasa bersembang. Namun sejak pertengahan Ogos, rumah itu seakan tidak berpenghuni.
Beberapa individu cuba menghubungi Euis Juwita Sari iaitu menantu dalam keluarga tersebut untuk berbincang mengenai urusan sekolah anaknya. Walau bagaimanapun mesej-mesej WhatsApp yang dihantar tidak pernah dijawab. Cubaan menghubungi melalui panggilan juga tidak berjaya. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya kerana Euis dikenali sebagai seorang yang responsif dan jarang berdiam diri dalam urusan sekolah anaknya.
Hari berganti hari, rumah itu kekal sunyi. Kecurigaan semakin bertambah apabila tiada sebarang aktiviti keluar masuk dari kediaman tersebut. Beberapa orang jiran mula beranggapan sesuatu yang buruk telah berlaku. Hinggalah pada 1 September, seorang rakan karib Euis yang turut berasa tidak sedap hati akhirnya datang bersama beberapa jiran untuk memeriksa keadaan rumah. Setelah mendapati pintu terkunci rapat, mereka mengambil keputusan untuk memecah masuk.
Sebaik berjaya memasuki rumah, bau busuk yang sangat kuat mula tercium. Punca bau itu dikesan dari arah pekarangan rumah. Di sana, kelihatan sebuah gundukan tanah yang baru digali. Bau yang menyengat membuatkan mereka nekad memeriksa dengan lebih dekat. Setelah digali sedikit, kelihatan jelas bahagian kaki manusia yang tertanam di dalam tanah.

Penduduk segera menghubungi pihak polis. Apabila pasukan penyiasat tiba, mereka melakukan penggalian penuh dan menemui lima mayat yang ditanam dalam satu lubang sempit. Kelima-lima mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Sachroni, (70–76 tahun, ketua keluarga), Budi Awaludin (anak lelaki Sachroni, berusia dalam lingkungan 40-an), Euis Juwita Sari (menantu, berusia sekitar 37–40 tahun), Ratu Khairunnisa (anak perempuan berusia 7 tahun) dan Bela (bayi perempuan berusia 10 bulan).
Mayat mereka ditemui dalam keadaan bertindih yang menunjukkan semua mangsa dipaksa masuk ke dalam lubang yang sempit. Cara penguburan yang tergesa-gesa itu menunjukkan pelaku berniat menghapuskan bukti dengan cepat. Selain mayat, polis turut menemui beberapa barangan mencurigakan di sekitar lokasi. Antara yang dirampas ialah cangkul, baldi, cadar dan kain kanvas yang mempunyai kesan darah. Barangan ini dipercayai digunakan oleh pelaku untuk membunuh atau menguburkan mangsa.
Polis juga mendapati beberapa harta benda keluarga itu hilang. Antaranya ialah telefon bimbit milik keluarga dan sebuah kereta Toyota Camry. Kehilangan ini menimbulkan teori bahawa pelaku berusaha menghilangkan jejak digital mangsa termasuk komunikasi terakhir mereka selain melarikan kenderaan untuk menyukarkan siasatan.
Pada 3 September 2025, Polda Jawa Barat mengesahkan bahawa kes ini merupakan pembunuhan terancang. Siasatan awal mendapati tiada tanda pencerobohan paksa dari luar sekali gus menimbulkan sangkaan bahawa pelaku mungkin orang yang dikenali mangsa. Polis kini memberi tumpuan kepada rakaman CCTV sekitar kawasan Paoman untuk menjejaki pergerakan mencurigakan dalam tempoh dua minggu sebelum penemuan mayat.
Hasil autopsi sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian setiap mangsa. Polis belum mendedahkan secara terperinci kaedah pembunuhan namun jumlah mangsa yang ramai serta cara penguburan mereka menunjukkan pelaku bertindak kejam dan tanpa belas kasihan.
Catat Ulasan for "KRONOLOGI PENUH KES PEMBUNUHAN KEJAM SEKELUARGA DI INDRAMAYU"