Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Kematian Jessica de Lima Rohl : Selamat Dari Kebakaran, Maut Dalam Kemalangan


     Pada awal tahun 2013, sebuah kelab malam bernama Kiss Nightclub di bandar Santa Maria, Rio Grande do Sul, Brazil terbakar dalam satu kejadian yang dianggap antara kebakaran paling buruk dalam sejarah negara itu. Kejadian pada 27 Januari 2013 tersebut meragut lebih daripada 230 nyawa dan mencederakan ratusan lagi. Punca kebakaran adalah penggunaan bunga api pentas di dalam kelab yang menyebabkan api marak menyambar bahan kalis bunyi di siling lalu mencetuskan kepanikan besar dalam ruang yang padat dan tertutup.

     Dalam kejadian itu, seorang gadis muda bernama Jessica de Lima Rohl pada asalnya dijangka turut berada di lokasi berkenaan. Jessica merupakan seorang mahasiswi berusia awal 20-an yang aktif dalam kegiatan sosial dan akademik. Dia bahkan terlibat secara langsung dalam penganjuran acara pesta mahasiswa yang diadakan di kelab malam Kiss tersebut. Malah Jessica juga membantu menjual tiket untuk acara berkenaan sekali gus menunjukkan betapa dekatnya dia dengan pesta itu. Namun pada saat-saat akhir, Jessica membuat keputusan yang mengubah takdirnya. Atas pujukan kekasihnya iaitu Adriano Stefanel, Jessica memutuskan untuk tidak hadir. Keputusan itu secara tidak langsung telah menyelamatkan nyawanya daripada terperangkap dalam kejadian kebakaran yang meragut ratusan jiwa.

     Selepas berita kebakaran tersebar, Jessica dikatakan berasa sangat terkejut dan pada masa yang sama bersyukur kerana tidak menghadiri acara tersebut. Ramai menganggap dia antara insan yang terselamat daripada kejadian yang tidak dijangka itu. Namun di sebalik rasa syukur, tiada siapa menduga bahawa nasib yang menanti Jessica hanya beberapa hari kemudian akan jauh lebih menyayat hati.

     Tidak lama selepas kebakaran tersebut yakni sekitar lima hingga sepuluh hari kemudian, Jessica bersama kekasihnya Adriano memulakan perjalanan dengan menaiki sebuah kereta. Mereka dalam perjalanan untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan di sebuah bandar lain. Malangnya perjalanan itu berakhir dengan kejadian apabila kenderaan yang dipandu Jessica terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kereta yang mereka naiki dilaporkan bertembung dengan sebuah trak. Perlanggaran kuat itu menyebabkan Jessica meninggal dunia di tempat kejadian manakala Adriano pula sempat dibawa ke hospital tetapi tidak lama kemudian turut menghembuskan nafas terakhir.

     Kematian Jessica dan Adriano mengejutkan ramai pihak terutama keluarga dan rakan-rakan yang masih belum pulih daripada trauma kebakaran kelab malam Kiss. Lebih memilukan, Adriano meninggal dunia berdekatan dengan tarikh ulang tahunnya yang ke-21. Bapa Adriano, Nilton Stefanel, dalam satu wawancara media, menyatakan bahawa anaknya seolah-olah telah menjadi penjaga kepada Jessica ketika menyelamatkannya daripada kebakaran dengan melarangnya hadir ke pesta itu. Cuma seakan satu ironi kehidupan, pasangan itu akhirnya sama-sama pergi dalam kemalangan yang berlaku tidak lama selepas kejadian yang pertama.

     Kejadian malang yang menimpa Jessica de Lima Rohl kemudiannya mendapat perhatian di internet. Ramai membandingkan kisahnya dengan jalan cerita filem terkenal Final Destination yang mengetengahkan idea bahawa seseorang mungkin boleh terselamat daripada satu bencana besar tetapi takdir maut tetap akan menjemputnya dengan cara lain yang tidak disangka-sangka. 

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Jessica de Lima Rohl : Selamat Dari Kebakaran, Maut Dalam Kemalangan "