Budak 11 Tahun Maut Ditembak Ketika Bermain Ding-Dong Ditch

AMERIKA SYARIKAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas ditembak oleh seorang jiran ketika bermain permainan gurauan yang dikenali sebagai ding-dong ditch bersama sepupunya. Kejadian ini dilaporkan berlaku pada 4 Ogos lalu.
Mangsa iaitu Julian Guzman bermain bersama sepupunya di kawasan kejiranan Houston pada malam kejadian. Mereka berdua dikatakan menekan loceng pintu rumah secara berulang kali sebelum melarikan diri yakni satu gurauan nakal yang sudah lama wujud dalam budaya remaja di negara itu. Menurut laporan pihak berkuasa, rumah seorang lelaki bernama Gonzalo Leon Jr., 42 tahun telah menjadi sasaran mereka sebanyak tiga kali berturut-turut.
Pada percubaan ketiga, Leon dipercayai sudah menunggu di luar rumah dalam keadaan bersembunyi di kawasan gelap. Apabila Julian menghampiri pintu rumah, suspek melepaskan tembakan menggunakan pistol yang mengenai bahagian belakang badan mangsa. Julian rebah serta-merta manakala sepupunya yang lain melarikan diri dalam keadaan panik. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah.

Selepas kejadian, pihak polis tiba di lokasi untuk menjalankan siasatan. Menurut kenyataan awal, Leon tidak ditahan serta-merta kerana pihak berkuasa mendakwa masih menunggu bukti lengkap sebelum membuat keputusan. Namun selepas siasatan rapi termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejiranan dan keterangan saksi, pejabat pendakwa raya mengeluarkan waran tangkap ke atas Leon. Dia kini didakwa atas kesalahan pembunuhan dan bakal berdepan perbicaraan di mahkamah. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara seumur hidup menanti.
Gonzalo Leon Jr. dilaporkan bekerja di sektor perkhidmatan dan sudah menetap lama di kawasan kejiranan tersebut. Beberapa jiran memberitahu media tempatan bahawa Leon seorang yang pendiam tetapi mudah marah jika diganggu. Ada juga yang mendedahkan dia pernah membuat aduan tentang kanak-kanak yang suka bermain berhampiran rumahnya.
Walau bagaimanapun, ramai penduduk setempat terkejut dengan tindakannya menembak seorang kanak-kanak hanya kerana gurauan loceng pintu. “Dia boleh saja menegur atau membuat laporan tetapi tidak sepatutnya menamatkan nyawa seorang budak kecil,” kata salah seorang jiran kepada wartawan tempatan.
Catat Ulasan for "Budak 11 Tahun Maut Ditembak Ketika Bermain Ding-Dong Ditch"