Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bapa di Texas Disabit Bersalah Selepas Bayi Meninggal Dunia Akibat Dos Berlebihan Benadryl


     AMERIKA SYARIKAT – Seorang lelaki di Texas telah disabit bersalah oleh juri atas tuduhan pembunuhan tanpa niat selepas kematian bayi perempuannya yang baru berusia dua bulan akibat dos berlebihan ubat Benadryl. 

     Tertuduh iaitu Adam Canales Jr., 33 tahun dibicarakan di mahkamah Lubbock County berhubung kematian anaknya, Athena Brigida-Kay yang ditemui tidak bernyawa pada tahun 2022. Laporan autopsi mendapati bayi tersebut meninggal dunia akibat mixed drug toxicity dengan tahap diphenhydramine iaitu bahan aktif dalam Benadryl yang terlalu tinggi untuk tubuh seorang bayi.

      Pendakwa raya berhujah bahawa Canales dengan sengaja memberikan ubat tersebut kepada bayinya bagi menidurkan mangsa konon untuk memberi ruang kepada dia dan isterinya menikmati masa berkualiti bersama. Dalam perbicaraan pada Ogos 2025, pihak pendakwa yang diketuai Sunshine Stanek menegaskan bahawa tindakan tertuduh adalah sangat mementingkan diri sendiri serta jelas menunjukkan kecuaian besar sebagai seorang bapa.

     Stanek turut mendedahkan bahawa Canales dan isterinya mempunyai rutin memberi ubat seperti Benadryl, NyQuil dan ubat batuk kepada anak-anak mereka bagi memudahkan tidur. “Ini bukan kemalangan semata-mata. Ia adalah corak tingkah laku berbahaya yang akhirnya meragut nyawa seorang bayi yang tidak berdosa,” kata Stanek di mahkamah.

     Peguam bela, Kristopher Mincey berhujah bahawa kematian tersebut merupakan satu kemalangan tragis. Menurutnya, pasangan itu mungkin secara tidak sedar memberikan dos ubat berganda kepada bayi mereka tanpa menyedari perkara tersebut. “Tidak ada bukti menunjukkan Adam berniat untuk mencederakan atau membunuh anaknya. Apa yang berlaku adalah kekeliruan, satu tragedi yang tidak disengajakan,” jelas Mincey.

     Namun hujah tersebut gagal meyakinkan juri. Selepas menilai bukti dan keterangan saksi, juri sebulat suara memutuskan Canales bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat. Maka dengan sabitan itu, Adam Canales Jr. berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Prosiding penjatuhan hukuman dijadualkan akan berlangsung pada masa terdekat. Sementara itu, isterinya, Sarah Canales turut didakwa atas tuduhan yang sama dan dijangka dibicarakan kemudian.

     Info ringkas, Benadryl ialah ubat jenama yang mengandungi diphenhydramine, sejenis antihistamin. Ia digunakan untuk merawat alahan, simptom selsema ringan, mabuk perjalanan dan kadangkala sebagai ubat tidur kerana menyebabkan mengantuk. Cuma ubat ini tidak selamat untuk bayi kerana walaupun dalam dos kecil boleh menyebabkan sukar bernafas, sawan, gangguan jantung malah membawa maut.

Catat Ulasan for "Bapa di Texas Disabit Bersalah Selepas Bayi Meninggal Dunia Akibat Dos Berlebihan Benadryl"