Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KENDRA LICARI : Wanita yang Melakukan Buli Siber Terhadap Anak Perempuan Sendiri


     Kisah Kendra Licari dari Beal City, Michigan menjadi salah satu kes buli siber paling mengejutkan yang pernah berlaku di Amerika Syarikat kerana pelaku yang tidak disangka-sangka ialah seorang ibu terhadap anak kandungnya sendiri. Kes ini akhirnya diangkat sebagai dokumentari Netflix bertajuk Unknown Number: The High School Catfish yang mula ditayangkan pada 29 Ogos 2025. 

     Segalanya bermula pada Oktober 2020 apabila Lauryn Licari iaitu anak perempuan Kendra mula menerima teks mesej yang penuh dengan hinaan, ancaman dan kata-kata kesat. Teman lelakinya pada waktu itu yang bernama Owen McKenny turut menerima mesej serupa. Pada hari-hari tertentu, jumlah mesej yang diterima mencecah antara 40 hingga 50 mesej sehari. Lebih mengejutkan, mesej-mesej tersebut bukan sahaja bernada kasar bahkan ada yang secara terang-terangan menghasut Lauryn untuk mengakhiri hidupnya. Antara mesej yang pernah diterima termasuk, “Kill yourself now, b***”*, “DEAD #bangbang #suicide” dan “You should just die, no one wants you here.” Ada juga mesej yang cuba merosakkan hubungan Lauryn dengan Owen seperti “Hi Lauryn, Owen is breaking up with you.” Mesej-mesej sebegini memberi tekanan emosi yang amat berat kepada remaja tersebut.

     Pada mulanya, pihak sekolah dan keluarga menyangka mesej-mesej itu dihantar oleh rakan sekelas Lauryn kerana ia seolah-olah datang daripada pelajar lain. Hal ini berpunca daripada penggunaan aplikasi nombor palsu yang digunakan oleh pelaku hingga menjadikan mesej tersebut kelihatan seolah-olah dihantar daripada pelbagai nombor berbeza. Siasatan awal tertumpu kepada beberapa rakan sekolah Lauryn tetapi tidak menemui bukti kukuh. Apabila keadaan berlarutan hingga lebih 15 bulan, pihak berkuasa akhirnya meminta bantuan FBI untuk melakukan siasatan lebih terperinci.

     Melalui analisis teknikal terhadap data aplikasi dan rekod syarikat telekomunikasi Verizon, pihak penyiasat akhirnya berjaya menjejaki penghantar sebenar mesej berkenaan. Keputusan siasatan mengejutkan semua pihak kerana identiti pelaku tidak lain tidak bukan ialah Kendra Licari sendiri, ibu kepada Lauryn. Penemuan ini amat mengejutkan kerana Kendra sebelum itu dilihat aktif membantu anaknya melaporkan kes buli tersebut kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa yang menunjukkan seolah-olah dia juga mangsa keadaan.

     Kendra ditahan pada Disember 2022 dan didakwa atas kesalahan mengganggu serta melakukan buli siber terhadap anak di bawah umur. Pada peringkat awal, Kendra menafikan namun akhirnya mengaku bersalah. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 19 bulan hingga 5 tahun. Dia mula menjalani hukuman dan dibebaskan lebih awal pada Ogos 2024. Kes ini turut menggugat institusi keluarganya apabila suaminya memfailkan perceraian dan diberikan hak penjagaan penuh terhadap Lauryn.

     Dalam dokumentari Netflix, Kendra menjelaskan tindakannya berkait rapat dengan trauma masa lalu. Dia mengakui pernah menjadi mangsa serangan seksual ketika masih sebaya dengan anaknya. Trauma tersebut menimbulkan rasa takut yang keterlaluan terhadap proses anaknya membesar seolah-olah dia mahu mengawal situasi dengan cara yang salah. Ada pemerhati yang menyamakan tindakannya dengan sindrom Munchausen by proxy versi digital iaitu kecenderungan untuk mencipta penderitaan agar individu lain bergantung kepadanya. Walau bagaimanapun, ia bukanlah diagnosis rasmi dalam dunia perubatan.

     Bagi Lauryn sendiri, pengalaman itu meninggalkan kesan trauma yang mendalam. Dia berdepan tekanan emosi, kehilangan hubungan dengan Owen serta keruntuhan kepercayaan terhadap ibunya. Walaupun masih ada perasaan kasih sebagai seorang anak, proses untuk memaafkan dan menerima semula ibunya bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam dokumentari, hubungan mereka digambarkan sebagai rapuh dan penuh luka yang masih belum sembuh.

Catat Ulasan for "KISAH KENDRA LICARI : Wanita yang Melakukan Buli Siber Terhadap Anak Perempuan Sendiri "