Lelaki 42 Tahun Didakwa Bunuh Teman Wanita Belasan Tahun Selepas Pertengkaran Akibat iPhone

Indonesia – Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan pihak berkuasa selepas didakwa membunuh teman wanitanya yang masih berstatus pelajar sekolah menengah atas (SMA) dalam satu kejadian pembunuhan yang berlaku di Kampung Gunung Batin Udik, Kecamatan Terusan Nunyai, Lampung Tengah.
Menurut siasatan polis, mangsa yang dikenali dengan inisial ADR berusia sekitar 15 tahun menjalinkan hubungan dengan suspek, Suryandi, 42 tahun. Hubungan tersebut pada mulanya terjalin secara rahsia namun dikatakan sering dilanda masalah. Kejadian berlaku pada Isnin, 15 September 2025 apabila ADR meminta agar suspek membelikannya sebuah iPhone dengan harga sekitar Rp 8 juta (sekitar RM2300).
Suspek yang tidak mampu memenuhi permintaan itu hanya memberikan wang tunai Rp 3 juta (sekitar RM850). Mangsa dilaporkan berang lalu melempar wang berkenaan ke arah wajah Suryandi. Insiden itu sekali gus mencetuskan pertengkaran hebat sehingga suspek hilang kawalan emosi. Suryandi yang berasa sangat marah mengambil sebatang kayu lalu memukul mangsa berulang kali sehingga tidak sedarkan diri.
Panik dengan tindakannya, suspek membawa jasad mangsa dan membuangnya ke dalam sungai berhampiran kampung tersebut. Dua hari kemudian yakni pada Rabu, 17 September 2025, mayat ADR ditemui terapung di sungai oleh penduduk tempatan sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.
Ketua Polis Lampung Tengah mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati motif utama kejadian berpunca daripada pertengkaran mengenai permintaan telefon pintar. "Suspek mengakui dirinya marah selepas wang yang diberikannya dilempar oleh mangsa. Dalam keadaan tidak terkawal, dia memukul mangsa menggunakan kayu sehingga meninggal dunia,” jelas pihak berkuasa dalam kenyataan rasmi.
Selepas melakukan perbuatan itu, Suryandi dilaporkan cuba menamatkan hidupnya sendiri dengan menelan racun. Tindakannya itu bagaimanapun gagal selepas sempat diselamatkan oleh keluarga dan dibawa ke hospital. Suspek kini masih dirawat di bawah kawalan pihak polis sementara menunggu proses undang-undang.
Pihak polis turut memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk proses autopsi terhadap jasad mangsa dan pengumpulan keterangan saksi-saksi. Kes ini dijangka dibawa ke muka pengadilan selepas suspek selesai menjalani rawatan.
Catat Ulasan for "Lelaki 42 Tahun Didakwa Bunuh Teman Wanita Belasan Tahun Selepas Pertengkaran Akibat iPhone"