Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Trial by Media dalam Membentuk Persepsi, Ini Contoh Enam Kes.

     Dalam sistem keadilan, mahkamah sepatutnya menjadi tempat utama menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak berdasarkan bukti yang sahih dan proses undang-undang yang adil. Namun sejak kewujudan media moden dan liputan berita berskala besar, muncul satu fenomena yang digelar sebagai trial by media. Istilah ini merujuk kepada keadaan di mana media massa termasuk televisyen, akhbar dan kini media sosial membentuk persepsi awam tentang seseorang itu bersalah atau tidak sebelum mahkamah membuat keputusan rasmi.

     Fenomena ini semakin ketara sejak akhir abad ke-20 apabila liputan berita secara langsung, tajuk sensasi dan analisis terbuka oleh wartawan serta “pakar” menjadikan kes jenayah sebagai tontonan umum. Dalam banyak keadaan, individu yang dituduh sudah dianggap bersalah di mata masyarakat walaupun belum disabitkan di mahkamah. Akibatnya, reputasi, kerjaya dan kehidupan peribadi mereka boleh musnah walaupun akhirnya mereka dibebaskan.

     Melalui kewujudan media sosial pada abad ke-21, fenomena ini menjadi lebih kompleks. Jika dahulu media arus perdana sahaja yang membentuk naratif, kini sesiapa sahaja boleh berkongsi pendapat, spekulasi dan teori mereka di platform seperti Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok. Perbincangan di media sosial sering kali lebih pantas daripada maklumat rasmi mahkamah dan pada masa singkat, persepsi awam boleh terbentuk secara besar-besaran. Perbicaraan yang berlaku di ruang maya ini kadangkala lebih berpengaruh daripada liputan media rasmi malah boleh menekan pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan desakan masyarakat. Berikut adalah beberapa contoh kes di seluruh dunia yang pernah menjadi perhatian umum kerana dipengaruhi oleh fenomena trial by media.


1. Kes O.J. Simpson (Amerika Syarikat, 1994–1995)

     Kes O.J. Simpson sering dianggap sebagai contoh paling klasik trial by media. Simpson iaitu seorang bekas pemain bola sepak Amerika dan pelakon terkenal telah dituduh membunuh bekas isterinya, Nicole Brown Simpson serta rakannya, Ron Goldman. Dari awal siasatan, media sudah membentuk persepsi bahawa Simpson bersalah lebih-lebih lagi selepas peristiwa kejaran kereta Bronco putih yang disiarkan secara langsung di televisyen dengan ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia. Perbicaraan yang berlangsung hampir setahun ini diberi liputan 24 jam sehari dengan setiap kenyataan saksi, setiap ekspresi wajah Simpson dan setiap bukti forensik dibahaskan secara terbuka di media.

     Walaupun mahkamah akhirnya membebaskan Simpson, ada yang yakin dia benar-benar pembunuh. Ada juga yang percaya Simpson mangsa konspirasi dan kelemahan polis. Hakikatnya, media telah meletakkannya Simpson dalam posisi bersalah sejak awal hingga menyebabkan keputusan mahkamah dilihat lebih sebagai drama televisyen berbanding proses undang-undang.


2. Kes Amanda Knox (Itali, 2007–2015)

     Amanda Knox iaitu seorang pelajar Amerika Syarikat di Perugia, Itali, dituduh membunuh rakan serumahnya, Meredith Kercher. Dari awal, media Itali dan antarabangsa menggambarkan Knox sebagai seorang wanita misteri dan berbahaya. Tajuk-tajuk sensasi seperti Foxy Knoxy dan She-Devil membentuk imej negatif terhadap dirinya. Gambaran itu jauh lebih menonjol berbanding bukti sebenar di mahkamah.

     Knox melalui proses perbicaraan yang panjang dengan keputusan yang berubah-ubah yakni sabit, bebas dan kemudian sabit semula sebelum akhirnya dibebaskan oleh mahkamah tertinggi Itali pada tahun 2015. Walaupun secara sah dia dibebaskan, reputasinya sudah rosak teruk. Media telah membunuh wataknya lebih awal dengan menjadikan Knox sebagai simbol wanita manipulatif sedangkan bukti yang ada tidak pernah membuktikan dia bersalah. Bacaan terdahulu kisah penuh Knox ini boleh baca di sini :  KISAH AMANDA KNOX : Wanita Cantik yang Menggemparkan Itali


3. Kes Richard Jewell (Amerika Syarikat, 1996)

     Richard Jewell ialah seorang pengawal keselamatan yang bertugas semasa Sukan Olimpik Atlanta 1996. Dia menemui sebuah beg berisi bom paip dan bertindak cepat mengosongkan kawasan sekali gus menyelamatkan ramai orang daripada letupan. Pada awalnya, dia dipuji sebagai wira. Namun beberapa hari kemudian, FBI mengumumkan bahawa Jewell adalah suspek utama. Media segera melompat, melaporkan bahawa Jewell mungkin seorang pengebom yang mahu jadi wira seolah-olah dia meletakkan bom itu sendiri untuk mendapatkan perhatian.

     Liputan besar-besaran ini menyebabkan reputasinya musnah. Walaupun Jewell tidak pernah didakwa secara rasmi dan akhirnya dibersihkan daripada semua tuduhan, imej Jewell sudah pun rosak. Pengebom sebenar yang bernama Eric Rudolph hanya ditangkap beberapa tahun kemudian. Bacaan terdahulu kisah penuh Jewell ini boleh baca di sini : Kisah Richard Jewell: Wira yang Difitnah sebagai Penjenayah Olimpik


4. Kes Lindy Chamberlain – Bayi Azaria (Australia, 1980–2012)

     Pada tahun 1980, Lindy Chamberlain dan keluarganya sedang berkhemah di Uluru, Australia apabila bayinya yang berusia sembilan minggu, Azaria hilang dari khemah. Lindy mendakwa bahawa seekor dingo telah menculik bayinya. Namun media Australia tidak mempercayainya. Mereka sebaliknya menggambarkan Lindy sebagai seorang ibu yang dingin, pelik dan tidak cukup emosional. Persepsi ini segera membentuk imej bahawa Lindy sendiri yang membunuh anaknya.

     Pada tahun 1982, Lindy disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh dan dihukum penjara seumur hidup. Namun beberapa tahun kemudian, bukti baru ditemui termasuk jaket bayi Azaria yang dijumpai berhampiran sarang dingo sekali gus membuktikan keterangannya sebelum ini benar. Lindy akhirnya dibebaskan dan pada tahun 2012, keputusan rasmi dikeluarkan bahawa Azaria benar-benar mati akibat serangan dingo. Walaupun kebenaran terbukti, kerosakan terhadap reputasi Lindy akibat media yang menggambarkannya sebagai pembunuh tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.


5. Kes Duke Lacrosse (Amerika Syarikat, 2006)

     Kes ini melibatkan sekumpulan pemain lacrosse dari Universiti Duke yang dituduh merogol seorang penari wanita semasa parti. Sejurus tuduhan dibuat, media Amerika Syarikat segera menggambarkan mereka sebagai simbol keangkuhan pelajar kaya, berkulit putih dan atlet universiti. Naratif media seolah-olah menekankan isu perkauman dan kelas sosial lebih daripada fakta sebenar.

     Walaupun siasatan forensik tidak menyokong tuduhan tersebut, pemain-pemain berkenaan telah “dibicarakan” dan dihukum oleh media. Mereka dipaparkan sebagai penjenayah dalam tajuk berita dan orang ramai percaya mereka bersalah. Akhirnya, semua tuduhan digugurkan selepas terbukti dakwaan itu palsu. Malah pendakwa raya dikritik kerana salah urus kes. 


6. Kes JonBenet Ramsey (Amerika Syarikat, 1996–kini)

     JonBenet Ramsey, seorang kanak-kanak ratu cantik berusia enam tahun, ditemui mati di rumah keluarganya di Boulder, Colorado. Dari awal, media menumpukan perhatian kepada ibu bapanya iaitu John dan Patsy Ramsey. Mereka digambarkan sebagai suspek utama walaupun bukti kukuh terhadap mereka tidak pernah wujud. Setiap tingkah laku keluarga ini dianalisis dan diulas secara terbuka yakni daripada gaya bercakap hingga cara mereka muncul di hadapan kamera.

     Selama bertahun-tahun, media mengekalkan naratif bahawa keluarga Ramsey menyembunyikan sesuatu. Walaupun akhirnya pihak berkuasa membersihkan nama mereka, kerosakan reputasi telah berlaku. Kes ini kekal tidak selesai hingga kini, tetapi keluarga Ramsey telah “dibicarakan” dan dihukum oleh media jauh lebih lama berbanding proses undang-undang. Bacaan terdahulu kisah penuh JonBenet Ramsey ini boleh baca di sini.  MISTERI KEMATIAN JONBENET RAMSEY

Catat Ulasan for "Trial by Media dalam Membentuk Persepsi, Ini Contoh Enam Kes."