Isteri Potong Kemaluan Suami hingga Maut Kerana Cemburu

INDONESIA – Polis Indonesia semalam mengadakan rekonstruksi penuh bagi kes seorang wanita yang memotong kemaluan suaminya sendiri hingga menyebabkan kematian. Proses itu mendedahkan secara terperinci bagaimana kejadian ngeri itu berlaku di rumah pasangan terbabit di kawasan Kebon Jeruk, Jakarta Barat.
Rekonstruksi yang dijalankan pada Khamis, 24 Oktober 2025 itu dikendalikan oleh Polres Metro Jakarta Barat dan melibatkan sebanyak 25 adegan utama. Setiap langkah diperagakan semula oleh suspek wanita berusia 33 tahun yang dikenali dengan inisial HZ di hadapan pegawai penyiasat dan wakil pendakwa raya. Ia bertujuan memastikan kesesuaian antara pengakuan pelaku dengan bukti yang dikumpul di tempat kejadian.
Menurut jurucakap polis, Kompol Andri Kurniawan, rekonstruksi bermula dengan adegan ketika HZ menemui mesej mencurigakan dalam telefon bimbit suaminya yang menimbulkan rasa marah dan cemburu. Dalam keadaan dikuasai emosi, HZ dilaporkan mengambil pisau pemotong dari meja solek sebelum bertindak menyerang suaminya yang sedang tidur di atas tilam di ruang tamu rumah mereka.
“Dalam keseluruhan 25 adegan, pelaku memperagakan setiap langkah secara jelas yakni bermula daripada saat dia melihat mesej tersebut sehinggalah tindakan memotong kemaluan suaminya yang menyebabkan pendarahan teruk,” kata Kompol Andri kepada media tempatan.
Mangsa, lelaki berusia 35 tahun dengan inisial H, dilaporkan cuba bangun dalam keadaan berlumuran darah namun akhirnya rebah tidak sedarkan diri. HZ dikatakan panik sebelum jiran datang membantu dan menghubungi ambulans. Mangsa kemudian dikejarkan ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Walaupun menerima rawatan selama hampir tiga minggu, mangsa akhirnya meninggal dunia pada 12 Ogos 2025 iaitu 23 hari selepas kejadian akibat komplikasi luka dan kehilangan darah yang teruk di bahagian kemaluan.
Polis mengesahkan bahawa kejadian sebenar berlaku sekitar jam 2 pagi pada Ahad, 20 Julai 2025. Hasil siasatan mendapati tindakan itu tidak dirancang tetapi sebaliknya berpunca daripada ledakan emosi dan rasa cemburu melampau selepas HZ menemui mesej mesra antara suaminya dengan seorang wanita lain di telefon bimbit. Dalam keterangannya kepada polis, HZ mengaku dia bertindak tanpa berfikir panjang kerana tidak mampu mengawal perasaan marah dan dikhianati.
Selepas kejadian, HZ tidak melarikan diri. Dia menyerahkan diri kepada pihak polis beberapa jam kemudian dan mengakui perbuatannya. Polis merampas pisau pemotong dan telefon bimbit suami sebagai bahan bukti. Hasil siasatan juga mendapati pasangan itu sering bertengkar dalam beberapa bulan kebelakangan ini namun tiada laporan rasmi pernah dibuat kepada pihak berkuasa sebelum kejadian berlaku.
Polis kini telah menetapkan HZ sebagai suspek utama dan menahannya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 351(3) Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) Indonesia iaitu menyebabkan kematian akibat penganiayaan berat. Jika disabitkan kesalahan, HZ berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Catat Ulasan for "Isteri Potong Kemaluan Suami hingga Maut Kerana Cemburu "