Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MODEL ITALI, PAMELA GENINI DITEMUI MATI DITIKAM LEBIH 20 KALI DI MILAN

     ITALI - Model terkenal iaitu Pamela Genini, 29 tahun telah ditemui mati dengan kesan tikaman parah di apartmennya di Milan. Mangsa dipercayai dibunuh secara kejam oleh teman lelakinya, Gianluca Soncin dalam satu pertengkaran yang berakhir dengan pembunuhan.

     Menurut laporan media tempatan kejadian berlaku di kawasan Via Iglesias, daerah Gorla, Milan pada lewat malam 14 Oktober lalu. Beberapa jiran mendakwa mendengar jeritan wanita meminta tolong dari arah balkoni apartmen tingkat atas sebelum menyaksikan seorang lelaki dewasa melarikan diri ke dalam rumah mangsa. Jeritan tersebut disusuli dengan bunyi pergelutan dan perabot terjatuh sebelum suasana kembali senyap beberapa minit kemudian.

     Pasukan polis yang tiba di lokasi sekitar jam 11.45 malam menemui pemandangan mengerikan iaitu tubuh Pamela Gemini terbaring berlumuran darah di atas lantai balkoni dengan lebih 20 kesan tikaman di bahagian dada, perut dan lengan. Pihak forensik mengesahkan senjata yang digunakan dipercayai sebilah pisau dapur sepanjang 20 sentimeter yang turut ditemui di tempat kejadian.

     Sumber polis memberitahu bahawa teman lelaki mangsa, Gianluca Soncin, 52 tahun yang turut berada di lokasi ditemui dalam keadaan cedera parah akibat percubaan membunuh diri selepas serangan tersebut. Dia segera dibawa ke hospital di bawah kawalan ketat polis dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

     Siasatan awal mendapati pertengkaran itu dipercayai berpunca daripada masalah hubungan antara pasangan tersebut. Menurut rakan terdekat Pamela, hubungan mereka dikatakan tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini akibat isu kewangan dan rasa cemburu melampau daripada pihak lelaki. Gianluca dilaporkan sering mengawal pergerakan Pamela dan tidak senang dengan keakraban mangsa bersama rakan-rakan lelaki dalam dunia peragaan.

     Pihak berkuasa Itali mengklasifikasikan kes ini sebagai pembunuhan berat di bawah kategori femicide yakni jenayah yang dilakukan terhadap wanita dalam konteks hubungan romantik atau kekeluargaan. Rekod rasmi menunjukkan bahawa Gianluca Soncin mempunyai sejarah lampau kes keganasan rumah tangga termasuk laporan polis yang dibuat oleh bekas pasangannya pada tahun 2019. Kes tersebut bagaimanapun tidak pernah dibawa ke mahkamah selepas mangsa menarik balik aduan.

     Pamela Genini dikenali ramai sebagai model dan usahawan muda yang berjaya. Dia sering menghadiri acara mewah di Milan, Monaco dan Dubai serta mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Akaun Instagram miliknya memaparkan kehidupan glamor dengan gambar perjalanan, sesi fotografi dan kolaborasi bersama jenama antarabangsa. Namun di sebalik kehidupan mewah itu, rakan rapat mendakwa Pamela sering mengadu tentang tekanan emosi akibat hubungan toksik bersama Gianluca.

     Pihak polis kini sedang menyemak rakaman CCTV sekitar apartmen dan kawasan parkir untuk mengesahkan kronologi sebenar malam kejadian. Siasatan turut tertumpu pada komunikasi terakhir antara pasangan itu termasuk mesej telefon dan panggilan suara yang mungkin boleh memberi petunjuk tentang punca sebenar pergaduhan.

     Kematian Pamela Genini menambah kepada statistik femicide di Itali yang semakin meningkat setiap tahun. Menurut laporan Kementerian Dalam Negeri Itali, lebih 70 wanita telah dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025.

Catat Ulasan for "MODEL ITALI, PAMELA GENINI DITEMUI MATI DITIKAM LEBIH 20 KALI DI MILAN "