Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES ROMPAKAN MUZIUM LOUVRE: KOLEKSI DIRAJA BERNILAI RM440 JUTA LESAP DALAM BEBERAPA MINIT


     Pada 19 Oktober 2025, satu kes rompakan besar-besaran telah berlaku di Muzium Louvre, Paris iaitu muzium paling terkenal dan paling banyak dikunjungi di dunia. Dalam kejadian yang berlangsung kurang daripada lapan minit itu, sekumpulan pencuri profesional berjaya melarikan diri dengan koleksi barang kemas diraja Perancis yang bukan sahaja bernilai jutaan euro tetapi juga mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tidak ternilai. 

     Kejadian berlaku di Galerie d’Apollon iaitu sebuah galeri mewah yang menjadi antara bahagian paling ikonik dalam Muzium Louvre. Galeri ini terkenal dengan siling tinggi yang dihiasi lukisan, ukiran emas selain menempatkan barang kemas peninggalan diraja Perancis termasuk tiara, kalung serta permata yang pernah dipakai oleh maharani serta ratu abad ke-18 dan ke-19. Menurut siasatan awal, kumpulan pencuri dipercayai menggunakan lif panjang yang biasa digunakan untuk kerja penyelenggaraan luar bangunan bagi mencapai tingkap sisi yang menghadap ke Sungai Seine. Mereka memecah masuk melalui tingkap tersebut menggunakan alat pemotong khas dan berjaya memasuki ruang pameran dalam masa beberapa minit.

     Rakaman CCTV menunjukkan pergerakan mereka sangat teratur dan pantas. Dalam tempoh lebih kurang empat hingga tujuh minit, mereka memecahkan kaca keselamatan beberapa kotak pameran dan mengambil sejumlah barangan kemas terpilih sebelum meninggalkan lokasi melalui laluan sama. Pihak pengawal keselamatan hanya tiba beberapa minit selepas sistem penggera berbunyi namun ketika itu kumpulan pencuri telah pun menghilangkan diri. Salah satu barang kemas dipercayai mahkota milik Empress Eugenie ditemui di luar muzium dalam keadaan rosak teruk yang dipercayai akibat terjatuh ketika pelarian.

     Antara barang kemas yang dilaporkan dicuri termasuk tiara safir milik Queen Marie-Amelie dan Queen Hortense, set rantai leher serta anting-anting zamrud milik Empress Marie-Louise dan beberapa perhiasan milik Empress Eugenie termasuk corsage bow brooch yang amat terkenal. Kesemua barangan ini adalah sebahagian daripada Crown Jewels of France, koleksi yang dianggap harta kebangsaan Perancis dan simbol sejarah monarki mereka. Menurut pihak pendakwa awam, nilai keseluruhan barangan yang dicuri dianggarkan sekitar €88 juta (sekitar RM440 juta). 

     Siasatan awal mendapati pencuri mengetahui dengan sangat tepat lokasi barangan bernilai tinggi dan kawasan buta yang tidak diliputi kamera keselamatan. Hal ini menimbulkan spekulasi bahawa rompakan ini mungkin melibatkan orang dalam atau sekurang-kurangnya seseorang yang mempunyai maklumat mendalam tentang sistem keselamatan muzium tersebut. Beberapa kakitangan Louvre turut mendakwa bahawa mereka telah berulang kali memberi amaran tentang kelemahan sistem pengawasan termasuk kekurangan kamera di bahagian luar bangunan serta bilangan pengawal keselamatan yang tidak mencukupi.

     Pihak pengurusan Louvre mengesahkan bahawa sistem penggera muzium berfungsi dengan baik tetapi ia tidak cukup untuk menahan tindakan pantas pencuri yang begitu mahir. Muzium itu terpaksa ditutup selama dua hari selepas kejadian bagi memberi laluan kepada siasatan polis dan pasukan forensik. Bahagian Galerie d’Apollon pula ditutup lebih lama untuk membolehkan kerja penilaian semula keselamatan dijalankan. Dalam satu kenyataan rasmi, Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati menyifatkan rompakan itu sebagai serangan terhadap warisan budaya sambil menegaskan bahawa kehilangan sebenar bukan pada nilai wang tetapi pada nilai sejarah yang telah musnah selama-lamanya.

     Lebih daripada 100 anggota penyiasat digerakkan untuk menjejak kumpulan penjenayah berkenaan termasuk pasukan khas jenayah antarabangsa. Pihak berkuasa juga bekerjasama dengan Interpol bagi memantau sebarang cubaan menjual permata tersebut di pasaran gelap. Walau bagaimanapun, pakar warisan percaya bahawa barang kemas tersebut berkemungkinan besar telah dileburkan atau dipecahkan kepada batu-batu permata kecil bagi mengelakkan dikesan sekali gus menjadikan usaha mendapatkan semula barangan itu hampir mustahil. 

     Hingga kini, tiada tangkapan dilakukan dan identiti pencuri masih menjadi misteri. Walaupun pihak polis telah memperoleh beberapa petunjuk melalui rakaman kamera dari kawasan sekitar Sungai Seine, tiada wajah jelas atau nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti. Pihak berkuasa percaya kumpulan ini terdiri daripada penjenayah antarabangsa berpengalaman yang mungkin pernah terlibat dalam kes rompakan muzium di Itali dan Belgium

Catat Ulasan for "KES ROMPAKAN MUZIUM LOUVRE: KOLEKSI DIRAJA BERNILAI RM440 JUTA LESAP DALAM BEBERAPA MINIT"