Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mayat Wanita Ditemui Dalam Mesin Basuh, Anak Ditahan


     ECUADOR — Satu kes pembunuhan kejam berlaku yang membabitkan seorang wanita dikenali sebagai Martha Cecilia Solis Cruz iaitu seorang peguam berusia 47 tahun dari bandar Guayaquil, wilayah Guayas. Suspek utama yang ditahan ialah anak kandungnya sendiri, Andreina Lamota Solis.

     Menurut laporan pihak berkuasa, Martha dilaporkan hilang oleh rakan-rakannya selepas gagal dihubungi selama beberapa hari. Keadaan menjadi mencurigakan apabila jiran mendakwa terhidu bau busuk yang kuat dari rumah yang didiami bersama anaknya. Apabila polis tiba untuk melakukan pemeriksaan, mereka menemui pemandangan yang amat mengejutkan di mana mayat mangsa telah dikerat-kerat dan sebahagian besar anggota tubuhnya disorok di dalam mesin basuh serta sebuah bekas sampah berwarna biru.

     Pasukan forensik yang tiba di lokasi mengesahkan identiti mangsa sebagai Martha Cecilia Solis Cruz. Siasatan awal mendapati bahawa pembunuhan itu dilakukan di dalam rumah yang sama sebelum jasad mangsa dipotong dan cuba disembunyikan bagi mengelakkan dikesan pihak polis.


     Hasil siasatan membawa kepada penangkapan Andreina Lamota Solis, anak perempuan mangsa yang berusia 32 tahun. Polis mendapati beberapa bukti penting di lokasi kejadian termasuk pakaian berdarah dan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan Andreina keluar dari rumah pada hari kehilangan ibunya. Dalam rakaman tersebut, dia dilihat memakai pakaian milik ibunya yang menimbulkan tanda tanya besar kepada penyiasat.

     Siasatan turut mendedahkan bahawa Andreina menyewa sebuah bilik hotel berdekatan hanya untuk satu malam pada hari yang sama ibunya dilaporkan hilang. Menurut laporan polis, wanita itu dilihat masuk ke bilik hotel dengan berpakaian seperti ibunya dan meninggalkan tempat itu dengan pakaian sendiri beberapa jam kemudian. Perbuatan itu dipercayai cubaan untuk mewujudkan ilusi bahawa ibunya masih hidup dan bergerak bebas selepas hari kejadian.

     Lebih mengejutkan yakni selepas kehilangan Martha menjadi tular di media sosial, muncul sebuah video yang menunjukkan seolah-olah mangsa masih hidup dan bercakap kepada pihak berkuasa. Hasil siasatan digital bagaimanapun mendapati video tersebut dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Rakaman itu dipercayai dicipta oleh Andreina sendiri bagi mengelirukan penyiasat dan menghalang orang ramai daripada mengesyaki bahawa ibunya sudah meninggal dunia.


     Andreina akhirnya mengaku membunuh ibunya selepas disoal siasat selama beberapa jam. Walau bagaimanapun, keterangan yang diberikannya masih dianggap meragukan. Dia mendakwa perbuatan itu dilakukan selepas pertengkaran berkaitan masalah kewangannnamun pihak penyiasat percaya motif sebenar mungkin lebih rumit daripada itu. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai sejarah kelakuan ganas atau masalah peribadi yang kronik dengan mangsa. Hingga detakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai sama ada suspek bertindak sendirian atau mendapat bantuan pihak lain

     Jurucakap polis, Kolonel Luis Torres berkata pihaknya kini sedang meneliti bukti DNA, kesan darah di seluruh rumah serta kandungan mesin basuh yang dipercayai digunakan untuk membersihkan sisa jenayah. “Perbuatan ini bukan sahaja kejam tetapi juga menunjukkan tahap perancangan yang teliti untuk menghapuskan bukti,” katanya dalam sidang media di Guayaquil.

     Andreina kini ditahan reman sementara menunggu proses pendakwaan di mahkamah Guayas. Pendakwa raya menyatakan bahawa pertuduhan awal akan dikemukakan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan Ecuador yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup bagi kes pembunuhan berat dengan niat dan penganiayaan ekstrem.

     Sementara itu, pihak keluarga mangsa masih enggan memberikan kenyataan kepada media. Rakan-rakan Martha menggambarkannya sebagai seorang wanita berdedikasi, berpendidikan tinggi dan sangat rapat dengan anaknya. 

Catat Ulasan for "Mayat Wanita Ditemui Dalam Mesin Basuh, Anak Ditahan"