Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BIONERD23 : Youtuber Wanita yang Hilang Selepas Buat 'Content" di tapak loji Nuklear Chernobyl

     Bionerd23 merupakan nama samaran seorang wanita dari Berlin, Jerman yang terkenal di dunia maya kerana keberaniannya menjelajah kawasan paling berbahaya di dunia iaitu Zon Eksklusi Chernobyl. Nama sebenarnya dipercayai ialah Illy Sommer yang lahir sekitar tahun 1984. Dia bukan saintis rasmi tetapi seorang peminat sains serta eksplorasi yang mempunyai minat mendalam terhadap radiasi, biologi nuklear dan kesan bencana atom. Sejak tahun 2010, diamula memuat naik video-video di YouTube di bawah nama bionerd23 yang memaparkan dirinya mengembara di kawasan yang ditinggalkan selepas tragedi letupan reaktor nuklear Chernobyl pada tahun 1986.

     Dalam setiap videonya, Bionerd23 sering menunjukkan caranya menjelajah runtuhan bangunan, rumah yang ditinggalkan dan hutan yang telah mengambil alih kawasan perumahan manusia. Dia sentiasa membawa alat pengesan radiasi bagi merekod tahap bahaya di setiap lokasi. Namun apa yang menjadikan Bionerd23 ini terkenal ialah kerana keberaniannya memasuki kawasan larangan serta tindakannya yang luar biasa yakni memetik dan memakan buah epal yang tumbuh di tanah terjejas oleh radiasi nuklear.

     Perbuatan itu dirakam dalam salah satu videonya sekitar tahun 2012. Dalam rakaman tersebut, Bionerd23 berdiri di bawah sepohon epal yang tumbuh di kawasan berhampiran bandar hantu Pripyat. Dia memetik sebiji epal lalu menggigitnya tanpa sebarang keraguan. Ramai penonton menganggap dia gila atau tidak bertanggungjawab kerana makan hasil bumi dari kawasan yang diketahui tercemar oleh isotop radioaktif seperti cesium-137 dan strontium-90. Namun bagi Bionerd23, tindakannya bukanlah satu bentuk provokasi tetapi sebaliknya satu eksperimen saintifik untuk menunjukkan bahawa tahap radiasi sebenar pada sesetengah bahagian di Chernobyl tidaklah setinggi yang disangkakan orang ramai.

     Menurut laporan daripada portal sains dan budaya Atlas Obscura, Bionerd23 bukan sahaja memakan epal itu malah pernah memegang serpihan logam daripada reaktor yang terdedah kepada radiasi dengan tangan kosong. Dalam satu lagi dokumentari yang memaparkan beliau, dikatakan bahawa dia juga pernah menjalani suntikan teknetium, sejenis bahan radioaktif yang biasanya digunakan dalam perubatan nuklear untuk mengkaji kesannya terhadap tubuh manusia. Tindakan-tindakan berani ini menunjukkan betapa obses dan beraninya Bionerd23 terhadap bidang sains dan radiasi, walaupun banyak pihak menganggap perbuatannya terlalu ekstrem dan berbahaya.

     Bionerd23 juga sering menjelaskan bahawa persepsi orang ramai terhadap bahaya radiasi tidak selalu tepat. Dalam satu video, dia menunjukkan bahawa tahap radiasi pada sesetengah kawasan di Chernobyl sebenarnya lebih rendah daripada tahap sinaran semula jadi di beberapa bahagian lain di dunia. Bionerd23 menegaskan bahawa memahami sains radiasi memerlukan data sebenar dan bukan sekadar ketakutan. Walaup bagaimanapun, ramai pakar tetap menasihatkan agar eksperimen yang melibatkan pendedahan terus kepada bahan radioaktif tidak dilakukan tanpa perlindungan profesional.

     Popularitinya meningkat apabila dia muncul dalam dokumentari sains antarabangsa berjudul Uranium: Twisting the Dragon’s Tail pada tahun 2015. Dokumentari ini diterbitkan oleh saintis terkenal Derek Muller, pengasas saluran YouTube Veritasium. Dalam dokumentari tersebut, Bionerd23 mempamerkan pengetahuannya yang luas mengenai sejarah, kimi dan kesan radioaktif di Chernobyl. 

     Namun selepas beberapa tahun aktif, Bionerd23 tiba-tiba menghilang dari dunia maya. Video terakhir di salurannya dimuat naik sekitar tahun 2019. Sejak itu, tiada sebarang kemas kini di YouTube mahupun media sosialnya. Pelbagai teori timbul dengan ada yang mendakwa dia telah dilarang oleh pihak berkuasa Ukraine daripada memasuki Zon Eksklusi manakala ada yang mengatakan Bionerd23 mungkin mengalami masalah kesihatan akibat pendedahan jangka panjang kepada radiasi. Cuma tiada bukti rasmi yang menyokong sebarang teori tersebut.

     Hingga kini, misteri tentang kehilangannya asih belum terjawab. Salurannya di YouTube kekal wujud dan video-videonya masih mendapat tontonan tinggi daripada peminat lama serta pengkaji yang ingin memahami sejarah bencana nuklear itu dengan lebih dekat.

Catat Ulasan for "KISAH BIONERD23 : Youtuber Wanita yang Hilang Selepas Buat 'Content" di tapak loji Nuklear Chernobyl "