Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES ROGOL UNNAO 2017


     Kes Rogol Unnao merupakan salah satu kes jenayah seksual paling menggemparkan dan berpengaruh ya g pernah berlaku di negara India. Kes ini bukan sahaja mendedahkan keganasan terhadap seorang gadis bawah umur tetapi turut memperlihatkan bagaimana kuasa politik dan pengaruh boleh digunakan untuk menutup kezaliman serta membungkam mangsa. Apa yang jelas ialah kelemahan sistem keadilan India terutama apabila pelaku merupakan individu berprofil tinggi yang disanjung oleh masyarakat.

     Segalanya bermula pada 4 Jun 2017 apabila seorang gadis berusia 17 tahun dari daerah Unnao, Uttar Pradesh dijemput ke rumah seorang ahli politik berpengaruh iaitu Kuldeep Singh Sengar yang ketika itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (MLA) daripada Parti Bharatiya Janata (BJP). Sengar menjanjikan peluang pekerjaan kepada gadis itu namun janji itu berakhir dengan mimpi ngeri. Gadis tersebut mendakwa dia dirogol oleh Sengar bersama beberapa individu lain termasuk adik lelakinya Atul Singh Sengar. Selepas kejadian itu, mangsa dipukul, diugut dan dipaksa berdiam diri agar tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

    Apabila mangsa memberanikan diri untuk membuat laporan, polis tempatan enggan menerima aduan tersebut dipercayai kerana pengaruh politik yang besar dimiliki oleh keluarga Sengar. Dalam keadaan trauma dan ketakutan, mangsa menjadi sasaran ugutan berterusan. Pada 20 Jun 2017, dia diculik dan dijual kepada individu lain yang turut mengeksploitasinya. Walaupun dia berjaya melarikan diri dan kembali ke keluarganya, laporan lanjut yang dibuat tetap tidak diendahkan.

     Pada 22 Jun 2017, mangsa akhirnya berjaya memberi keterangan rasmi di hadapan hakim dengan menamakan Kuldeep Singh Sengar dan beberapa individu lain sebagai pelaku. Walau bagaimanapun, siasatan tidak dijalankan secara serius. Tekanan politik dan campur tangan pihak berkuasa menyebabkan kes tersebut tergantung tanpa tindakan lanjut. Keluarganya terus menerima ancaman daripada penyokong Sengar manakala polis yang sepatutnya melindungi mereka memilih untuk berdiam diri.

     Kejadian ini menjadi lebih menyayat hati pada 5 April 2018 apabila bapa mangsa ditangkap oleh polis atas tuduhan palsu yang direka oleh penyokong Sengar. Di dalam tahanan, bapa mangsa dipukul dengan kejam oleh beberapa individu dan anggota polis menyebabkan kematiannya pada 9 April 2018. Dua hari sebelum kematian bapanya, pada 8 April 2018, mangsa melakukan tindakan di luar jangkaan. Dalam keputusasaan mencari keadilan, dia pergi ke kediaman rasmi Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath lalu cuba membakar dirinya sebagai tanda protes terhadap keengganan pihak polis menyiasat kesnya. Dia menyiram tubuhnya dengan minyak tanah dan cuba menyalakan api. Mangsa bagaimanapun sempat dihalang oleh orang awam serta pegawai keselamatan sebelum api merebak. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan kecederaan ringan dan trauma yang mendalam.

     Cubaan bunuh diri itu menjadi titik perubahan besar dalam kes ini. Rakyat di seluruh India bangkit mengadakan protes besar-besaran menuntut siasatan bebas dan keadilan untuk mangsa. Tekanan awam akhirnya memaksa kerajaan pusat memindahkan kes ini kepada Badan Siasatan Pusat (CBI) pada 11 Julai 2018 untuk siasatan bebas. Hasil siasatan CBI membuktikan bahawa Kuldeep Singh Sengar dan konco-konconya bersalah. Pada 16 Disember 2019, Mahkamah Delhi mendapati Sengar bersalah atas tuduhan merogol gadis bawah umur dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta denda berat pada 20 Disember 2019. Tidak lama kemudian, pada Mac 2020, Sengar sekali lagi dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh bapa mangsa dalam tahanan polis.

      Walau bagaimanapun penderitaan mangsa belum berakhir. Pada Julai 2019 yakni semasa perbicaraan masih berjalan, mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya misteri di Rae Bareli, Uttar Pradesh. Kereta yang dinaikinya bersama peguam dan dua ahli keluarganya dirempuh oleh sebuah lori dari arah bertentangan. Dua ahli keluarganya maut di tempat kejadian manakala mangsa dan peguamnya mengalami kecederaan parah. Siasatan CBI kemudian mendedahkan bahawa kemalangan itu bukan kebetulan tetapi cubaan pembunuhan yang dirancang oleh penyokong Sengar untuk menghalang mangsa daripada memberi keterangan di mahkamah.

     Selepas kejadian itu, Mahkamah Agung India campur tangan. Semua prosiding kes dipindahkan ke Mahkamah Delhi di mana eluarga mangsa serta peguam mereka diberikan perlindungan khas kerajaan pusat. Mangsa turut dipindahkan ke Delhi untuk rawatan jangka panjang serta ditempatkan di bawah pengawasan keselamatan 24 jam. Kini, gadis itu hidup jauh dari kampung asalnya, di bawah perlindungan khas. Dia kehilangan ramai ahli keluarga, mengalami kecederaan kekal akibat kemalangan dan terus menanggung trauma fizikal serta mental. 

Catat Ulasan for "KES ROGOL UNNAO 2017"