Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BETH THOMAS : Gadis di Sebalik Child of Rage

     Beth Thomas, seorang wanita yang kini dikenali sebagai jururawat berdaftar di Flagstaff Medical Center pernah menjadi tumpuan dunia pada usia enam tahun melalui dokumentari berjudul Child of Rage yang disiarkan oleh HBO pada tahun 1990. Dokumentari ini menceritakan kisah hidupnya yang penuh penderitaan akibat penderaan seksual yang dialami semasa kecil yang menyebabkan dia didiagnosis dengan Reactive Attachment Disorder (RAD) yakni satu gangguan psikologi yang jarang berlaku tetapi serius.

     Beth dilahirkan dalam persekitaran yang penuh penderaan. Pada usia 19 bulan, dia dan adiknya iaitu John diambil oleh keluarga angkat selepas ibu bapa kandung mereka gagal memberikan penjagaan yang selamat dan penuh kasih sayang. Sebelum itu, Beth mengalami penderaan seksual yang teruk oleh bapa kandungnya. Pengalaman traumatik ini menghalang perkembangan emosi dan sosialnya hingga menyebabkan dia sukar membentuk ikatan yang sihat dengan orang dewasa. Keadaan ini dikenali sebagai RAD di mana kanak-kanak menunjukkan tingkah laku seperti menarik diri, tidak menunjukkan emosi positif dan sukar menerima kasih sayang dari penjaga utama mereka.

     Pada tahun 1990, Beth muncul dalam dokumentari Child of Rage: A Story of Abuse yang disiarkan di HBO sebagai sebahagian daripada siri America Undercover. Dalam dokumentari tersebut, Beth bercakap dengan tenang mengenai perasaan kebencian dan keinginan untuk membunu termasuk mengaku pernah cuba membunuh adik lelakinya, John semasa tidur. Paparan ini mengejutkan penonton dan menimbulkan perbincangan mengenai kesan penderaan terhadap perkembangan kanak-kanak. Dokumentari ini turut menunjukkan proses rawatan dan pemulihan Beth di sebuah pusat khas untuk kanak-kanak dengan RAD di mana dia menjalani terapi intensif di bawah bimbingan pakar seperti Dr. Ken Magid. Proses pemulihannya dipaparkan dalam dokumentari tersebut, menunjukkan perubahan positif dalam tingkah lakunya dari masa ke masa. Walaupun rawatan ini kontroversial, ia memberikan harapan kepada mereka yang menghadapi situasi serupa.

     Selepas menjalani rawatan, Beth berjaya menamatkan pengajian di University of Colorado dengan ijazah dalam bidang kejururawatan. Dia kini berkhidmat sebagai jururawat berdaftar di Flagstaff Medical Center dan aktif dalam komuniti, menyokong keluarga angkat dan kanak-kanak dalam sistem penjagaan melalui organisasi seperti CASA (Court Appointed Special Advocates). Kisah pemulihannya menjadi inspirasi kepada ramai orang kerana ini menunjukkan bahawa dengan sokongan yang betul, pemulihan daripada trauma adalah sesuatu yang tidak mustahil.

    Sementara itu, adiknya, John hilang pada tahun 2005 selepas dilaporkan meninggalkan sebuah bar di pusat bandar Chicago. Sejak itu, tiada khabar berita mengenainya. Beth telah berusaha keras untuk mencari adiknya termasuk tampil di rancangan televisyen dan memberi wawancara untuk meningkatkan kesedaran tentang kehilangan tersebut. Namun usaha-usaha ini belum membuahkan hasil yang diinginkan. Antara sedutan rakaman temu bual dengan Beth dalam dokumen Child of Rage boleh ditonton di sini : https://youtu.be/Lq-Mg2ejb_k?si=Tw1gugS4HoZdTd0N

Catat Ulasan for "KISAH BETH THOMAS : Gadis di Sebalik Child of Rage"