KISAH DR. BRIAN STIDHAM : Doktor yang Dibunuh Kejam Kerana Dendam Kerjaya

Pada tahun 2004, satu pembunuhan kejam yang melibatkan dua pakar mata ternama telah berlaku di Tucson, Arizona, Amerika Syarikat. Mangsa iaitu Dr. David Brian Stidham bukan sahaja seorang doktor yang dihormati tetapi juga suami dan bapa kepada dua orang anak kecil. Dia dikenali sebagai seorang insan yang lemah lembut, beretika serta amat berdedikasi terhadap kerjayanya sebagai pakar oftalmologi kanak-kanak. Namun di sebalik kejayaan dan keperibadian yang disenangi ramai, Dr. Stidham menjadi mangsa kepada dendam dan iri hati yang berpunca daripada persaingan dalam dunia perubatan, satu dendam yang akhirnya meragut nyawanya dalam keadaan yang amat menyayat hati.
Dr. David Brian Stidham dilahirkan di Longview, Texas. Dia merupakan lulusan Harvard Medical School dan kemudiannya melanjutkan latihan khusus dalam bidang oftalmologi pediatrik dan strabismus (penyakit mata juling) di Baylor College of Medicine. Setelah beberapa tahun berkhidmat di Houston, dia berpindah ke Tucson, Arizona bersama isterinya Daphne dan anak-anak mereka untuk memulakan kehidupan baharu. Di sana, Dr. Stidham menyertai sebuah klinik mata yang dimiliki oleh Dr. Bradley Alan Schwartz iaitu seorang pakar mata yang terkenal di Tucson ketika itu.

Hubungan profesional antara Stidham dan Schwartz pada awalnya berjalan baik. Namun lama-kelamaan, perbezaan prinsip kerja dan masalah peribadi mula timbul. Dr. Schwartz mula menunjukkan sikap yang tidak profesional termasuk penggunaan dadah preskripsi secara tidak sah. Ketika siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa Schwartz telah menipu preskripsi Vicodin dan Ritalin atas nama pesakitnya. Disebabkan itu lesen perubatannya digantung. Waktu itulah Dr. Stidham mengambil keputusan untuk meninggalkan klinik tersebut dan membuka klinik sendiri. Ramai pesakit termasuk kanak-kanak dan keluarga mereka mula berpindah ke klinik milik Stidham kerana reputasinya yang baik dan sikapnya yang penyayang terhadap pesakit kecil.
Tindakan Dr. Stidham meninggalkan klinik lama itu telah menimbulkan kemarahan besar kepada Dr. Bradley Schwartz. Schwartz menganggap Stidham sebagai pengkhianat yang telah merampas pesakit dan kakitangan kliniknya. Kejatuhan Schwartz dalam dunia perubatan semakin parah kerana dia mula kehilangan sumber pendapatan utama, reputasinya tercalar dan hubungannya dengan rakan sekerja serta kekasihnya juga semakin renggang. Rasa cemburu dan dendam yang membara membuatkan Schwartz mula menyimpan niat jahat terhadap bekas rakan sekerjanya itu.

Schwartz kemudian bertemu dengan seorang lelaki bernama Ronald Bruce Bigger, seorang individu yang dikenali dengan latar belakang jenayah kecil dan masalah peribadi. Schwartz dikatakan membayar sejumlah wang yakni sekitar USD10 000 untuk menghapuskan Dr. Stidham. Berdasarkan bukti yang ditemui kemudian, Schwartz merancang pembunuhan itu dengan teliti. Dia tidak mahu dikaitkan secara langsung lalu menggunakan Bigger sebagai pembunuh upahan.
Pada malam 5 Oktober 2004, Dr. Stidham selesai bekerja di kliniknya seperti biasa. Dia meninggalkan pejabat sekitar jam 7 malam dan menuju ke tempat letak kereta berdekatan kompleks perubatan di North Swan Road, Tucson. Malangnya, Dr. Stidham tidak pernah sampai ke rumah pada malam itu. Pihak polis menerima laporan kehilangan daripada isterinya apabila dia tidak pulang menjelang malam. Keesokan harinya, polis menemui mayat Dr. Stidham di tempat letak kereta tersebut.

Tubuhnya dipenuhi 15 kesan tikaman dengan kecederaan parah di kepala akibat hentakan kuat yang menyebabkan patah tengkorak. Dompet, jam tangan dan wang tunai masih ada padanya menandakan motif pembunuhan bukanlah rompakan. Pihak polis juga menemui keretanya, sebuah Lexus SUV yang diletakkan beberapa kilometer dari lokasi kejadian dipercayai bagi mengaburi penyiasat supaya pembunuhan itu kelihatan seperti kes samun.
Siasatan awal mendapati tiada bukti rompakan tetapi sebaliknya ada tanda-tanda dendam peribadi. Apabila polis meneliti hubungan profesional Stidham, mereka mendapati wujud sejarah tegang antaranya dengan bekas rakan kongsi, Dr. Schwartz. Pada masa yang sama, siasatan ke atas rekod telefon mendedahkan beberapa panggilan mencurigakan antara Schwartz dan Ronald Bigger pada hari kejadian. Pihak polis juga menemui bukti bahawa Schwartz telah menempah bilik hotel untuk Bigger dan membayar perbelanjaannya semasa berada di Tucson.

Analisis forensik turut menemui DNA Bigger pada tombol radio kereta mangsa. Apabila disoal siasat, Bigger memberikan kenyataan berbelit-belit sebelum akhirnya mengakui bahawa dia telah dibayar oleh Schwartz untuk melakukan serangan terhadap Dr. Stidham. Schwartz pada mulanya menafikan penglibatan. Bukti komunikasi dan transaksi kewangan bagaimanapun menjadi sandaran utama pihak pendakwaan.
Kes ini dibicarakan pada tahun 2005 dan mendapat liputan meluas media Amerika Syarikat. Dalam perbicaraan yang panjang, pihak pendakwa berhujah bahawa Schwartz mempunyai motif yang kuat iaitu rasa cemburu serta dendam kerana kehilangan pesakit, reputasi dan pendapatan akibat kepergian Stidham. Sementara itu, pembunuh upahan Bigger dianggap telah melaksanakan rancangan jahat itu dengan niat yang jelas. Pada tahun 2006, juri mendapati Schwartz bersalah atas tuduhan konspirasi membunuh dan dia dijatuhkan hukuman penjara antara 25 tahun hingga seumur hidup dengan peluang parol selepas 25 tahun. Bigger pula didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan darjah pertama dan konspirasi lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol. Kedua-dua mereka kekal dalam penjara hingga kini dan rayuan Bigger kepada Mahkamah Agung Arizona pada tahun 2021 telah ditolak.
Catat Ulasan for "KISAH DR. BRIAN STIDHAM : Doktor yang Dibunuh Kejam Kerana Dendam Kerjaya"