Kisah Corrine Hoffman: Wanita yang Nekad Tinggalkan Eropah untuk Hidup di Kenya

Corrine Hofmann, seorang wanita kelahiran berdarah campuran Switzerland -Jerman pernah menjadi terkenal di seluruh dunia kerana kisah cintanya yang luar biasa dan penuh kontroversi di Kenya. Dia pada asalnya merupakan seorang usahawan butik pakaian di Switzerland, menjalani kehidupan moden dan selesa di Eropah. Namun pada awal tahun 1980-an, kehidupannya berubah sama sekali apabila dia melancong ke Kenya bersama teman lelakinya ketika itu.
Semasa sedang dalam perjalanannya di Mombasa, Corrine melihat seorang lelaki tempatan dari suku Samburu yang membuatkan dia jatuh cinta pada pandangan pertama. Lelaki itu ialah Lketinga Leparmoriyo, seorang pahlawan Samburu yang hidup dalam cara hidup tradisional jauh berbeza daripada dunia Corrine. Walaupun mereka tidak berkongsi bahasa, adat mahupun gaya hidup yang sama, Corrine nekad untuk meninggalkan kehidupannya di Switzerland dan berpindah ke Kenya demi bersama lelaki yang dicintainya. Keputusan itu bukan sahaja mengejutkan keluarganya, malah dianggap sebagai sesuatu yang gila oleh rakan-rakannya di Eropah.

Setibanya di Kenya, Corrine tidak tinggal di bandar moden. Dia sebaliknya memilih untuk hidup bersama Lketinga di sebuah perkampungan kecil suku Samburu. Peralihan ini sangat besar baginya kerana daripada seorang wanita Barat yang terbiasa dengan kemudahan moden, dia kini terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan serba kekurangan. Di kampung itu, mereka mandi di sungai, tidur di pondok tradisional serta bergantung pada sumber alam untuk makanan harian.
Corrine turut mengenakan pakaian tradisional Samburu, termasuk perhiasan khas yang melambangkan status seorang wanita yang sudah berumah tangga. Walau bagaimanapun, kehidupan seharian bukanlah mudah. Dia sering mengalami masalah kesihatan termasuk serangan malaria, jangkitan kuman dan kekurangan makanan berzat. Keadaan fizikalnya semakin merosot kerana rawatan perubatan moden sukar didapati di kawasan pedalaman.
Selain cabaran fizikal, Corrine turut berdepan dengan tekanan budaya. Sebagai seorang wanita asing, dia terpaksa membiasakan diri dengan adat resam Samburu yang meletakkan wanita pada kedudukan tradisional. Walaupun penuh kasih sayang, Lketinga mempunyai sifat cemburu yang sangat kuat. Dia sering mengawal pergerakan Corrine selain tidak membenarkan isterinya bergaul bebas dengan lelaki lain termasuk pelancong asing. Rasa cemburu dan pengawalan yang berlebihan ini menyebabkan hubungan mereka sering bergolak.

Hasil perkahwinan mereka, Corrine dan Lketinga dikurniakan seorang anak perempuan bernama Napirai. Kehadiran anak ini memberi sinar baharu dalam hidup Corrine tetapi pada masa yang sama menambah lagi tanggungjawab besar dalam keadaan hidup yang sudah pun penuh cabaran. Corrine sangat menyayangi anaknya dan berusaha untuk membesarkannya dalam suasana terbaik walaupun serba kekurangan.
Tekanan rumah tangga bagaimanapun semakin meningkat. Lketinga semakin curiga dan sering mengawal Corrine manakala Corrine pula semakin tertekan dengan persekitaran yang tidak memberinya kebebasan. Tambahan pula, kesihatan Corrine semakin lemah akibat persekitaran yang keras sekali gus menyebabkan dia mula memikirkan masa depan dirinya dan anaknya.
Setelah hampir empat tahun menetap di Kenya, Corrine akhirnya membuat keputusan besar. Demi keselamatan dan masa depan anaknya, dia memilih untuk meninggalkan Kenya dan kembali ke Switzerland. Keputusan ini bukanlah mudah kerana ia bermaksud dia harus meninggalkan suaminya yang pernah menjadi cinta agungnya. Namun keadaan yang semakin sukar membuatkan Corrine yakin bahawa pulang ke Eropah adalah jalan terbaik. Maka dengan keberanian dan pengorbanan yang besar, Corrine membawa Napirai pulang ke Switzerland. Perpisahan itu bukan sahaja menamatkan kisah cintanya dengan Lketinga tetapi juga menutup satu bab kehidupan luar biasa yang penuh suka duka di pedalaman Afrika.

Sekembalinya ke Eropah, Corrine tidak sekadar kembali kepada kehidupan lamanya. Dia mengambil pengalaman luar biasanya itu sebagai sumber inspirasi untuk menulis sebuah buku memoir berjudul Die weiße Massai (The White Masai) pada tahun 1998. Buku tersebut menceritakan pengalamannya secara terperinci yakni dari detik jatuh cinta, kesukaran hidup di pedalaman sehingga keputusan berat meninggalkan Kenya.
Buku itu menjadi bestseller antarabangsa dan diterjemahkan ke dalam lebih 20 bahasa hingga menjadikan Corrine terkenal di seluruh dunia. Pada tahun 2005, buku tersebut diadaptasi menjadi sebuah filem Jerman berjudul The White Masai yang membawa kisah hidupnya ke layar perak. Selain itu, Corrine menulis beberapa buku susulan termasuk kisah selepas kepulangannya, hubungan dengan anaknya, dan bagaimana pengalaman di Kenya terus membekas dalam dirinya. Anaknya, Napirai memilih untuk tidak hidup dalam perhatian media dan lebih banyak menjauhkan diri daripada sorotan umum.
Catat Ulasan for "Kisah Corrine Hoffman: Wanita yang Nekad Tinggalkan Eropah untuk Hidup di Kenya"