Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pempengaruh Penerbangan China Maut Dalam Nahas Pesawat Ringan Ketika Siaran Langsung


     CHINA – Seorang pempengaruh penerbangan terkenal iaitu Tang Feiji maut selepas pesawat ringan yang diterbangkannya terhempas dan meletup ketika sedang melakukan siaran langsung. Kejadianbitu berlaku pada 27 September 2025 di Jiange County, wilayah Sichuan yang merupakan kampung halaman mendiang.

     Menurut laporan media tempatan, Tang Feiji yang memiliki lebih 100 000 pengikut di platform Douyin sedang menerbangkan sebuah pesawat ultralight miliknya yang dibeli pada harga sekitar 350 000 yuan (sekitar RM270 000). Pesawat tersebut dikatakan mengalami masalah teknikal ketika penerbangan sebelum hilang kawalan lalu menjunam ke tanah. Pesawat itu kemudian meletup dan terbakar hingga menyebabkan Tang tidak sempat diselamatkan.

     Saksi kejadian memaklumkan api marak dengan cepat selepas hentaman dan usaha menyelamat tidak dapat dilakukan kerana keadaan pesawat yang terbakar sepenuhnya. Rakaman siaran langsung turut menunjukkan detik cemas ketika pesawat hilang kawalan sebelum terhempas Klip tersebut segera menjadi tular di media sosial China.

     Lebih mengejutkan, Tang Feiji dikatakan tidak memakai sebarang alat perlindungan seperti topi keledar keselamatan atau payung terjun ketika kejadian berlaku. Beberapa minggu sebelum kejadian itu, Tang pernah mendedahkan bahawa pesawatnya menghadapi masalah pada penunjuk bahan api. Dia dilaporkan pernah mengalami penurunan mendadak sebanyak dua kali walaupun hanya terbang rendah. Pendedahan itu kini menimbulkan spekulasi bahawa masalah teknikal yang sama mungkin menjadi punca nahas.

     Pihak berkuasa tempatan telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Penilaian awal mendapati pesawat jenis ultralight yang digunakan Tang tergolong dalam kategori kenderaan udara rekreasi yang tidak memerlukan lesen penerbangan penuh. 

    Tang Feiji dikenali sebagai pencinta dunia penerbangan dan sering berkongsi video serta pengalaman menerbangkan pesawat persendirian kepada pengikutnya. Malah dia pernah menyatakan hasrat untuk mempopularkan penerbangan rekreasi dalam kalangan generasi muda di China. Namun impian itu berakhir dengan tragedi yang kini menjadi iktibar kepada orang ramai tentang risiko besar yang mengiringi minat terhadap aktiviti ekstrem.

Catat Ulasan for "Pempengaruh Penerbangan China Maut Dalam Nahas Pesawat Ringan Ketika Siaran Langsung"