Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Gila Hakim Saman Kedai Dobi RM241 Juta Hanya Kerana Seluar

     Kes Pearson v. Chung merupakan salah satu kes sivil paling terkenal di Amerika Syarikat iaitu tentang tuntutan mahkamah yang berlebihan atau tidak munasabah (frivolous lawsuit). Kes ini berlaku di Washington, D.C. pada tahun 2005 apabila seorang hakim pentadbiran bernama Roy L. Pearson Jr. mengemukakan saman terhadap sebuah kedai dobi keluarga milik pasangan imigran Korea Selatan, Jin Nam Chung, Soo Chung dan anak mereka Ki Y. Chung yang menjalankan perniagaan di bawah nama Custom Cleaners.

     Pertikaian bermula dengan perkara yang remeh yakni sepasang seluar. Pearson mendakwa bahawa semasa dia menghantar beberapa helai pakaian untuk dibersihkan di kedai tersebut, seluar sut kegemarannya telah hilang dan digantikan dengan seluar lain yang bukan miliknya. Pearson menegaskan bahawa seluar yang dikembalikan oleh pihak Chung bukan seluar yang sama seperti yang dihantar. Pasangan Chung menafikan dakwaan itu dan menunjukkan bukti bahawa seluar tersebut memang milik Pearson berdasarkan tanda-tanda pada pakaian itu. Walau bagaimanapun, Pearson berkeras mengatakan bahawa mereka telah menghilangkan seluar asalnya.

     Keadaan menjadi semakin tegang apabila Pearson mula menggunakan alasan undang-undang yang agak luar biasa untuk menyokong tuntutannya. Dia berhujah bahawa tanda yang tertera di kedai Custom Cleaners seperti Satisfaction Guaranteed (Kepuasan Dijamin) dan Same Day Service (Perkhidmatan Hari Sama) adalah janji kontrak yang mutlak serta wajib dipenuhi dalam apa jua keadaan. Disebabkan itu di mana menurut tafsiran Pearson, kegagalan pihak Chung untuk memuaskan hatinya walaupun dalam perkara sekecil seluar adalah satu pelanggaran kontrak yang serius di bawah undang-undang perlindungan pengguna di Washington, D.C.

     Apa yang mengejutkan ramai ialah jumlah tuntutan yang difailkan oleh Pearson. Pada awalnya, dia menuntut pampasan sebanyak AS$ 67 juta (sekitar RM241 juta) dan kemudian menurunkan jumlah itu kepada sekitar AS$ 54 juta (sekitar RM194 juta) yang masih dianggap tidak masuk akal bagi kes kehilangan sepasang seluar. Pearson mendakwa jumlah tersebut mengambil kira pelbagai faktor termasuk kerosakan moral, kerugian masa dan penipuan iklan yang dikatakan dilakukan oleh pihak Chung.  

     Perbicaraan kes ini berlangsung pada tahun 2007 di Mahkamah Tinggi Daerah Columbia. Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan bahawa tuntutan Pearson tidak mempunyai asas yang kukuh. Hakim yang mengadili kes tersebut menolak semua tuntutan Pearson dan menyatakan bahawa tafsirannya terhadap frasa Satisfaction Guaranteed adalah terlalu literal dan tidak munasabah. Mahkamah menegaskan bahawa ungkapan tersebut hanyalah slogan perniagaan biasa yang bertujuan untuk menarik pelanggan, bukan suatu janji kontrak yang bersifat mutlak.

     Walaupun kalah di peringkat pertama, Pearson tidak berpuas hati dan mengemukakan rayuan. Mahkamah Rayuan Daerah Columbia bagaimanapun mengekalkan keputusan asal dan menolak rayuannya. Rayuan tersebut turut dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan proses kehakiman kerana dia terus menegakkan tuntutan yang sudah jelas tidak berasas. Susulan daripada tindakannya, Pearson akhirnya menghadapi tindakan tatatertib daripada Majlis Disiplin Guaman Washington yang menggantung lesen guamannya selama 90 hari atas alasan telah mengemukakan tuntutan yang remeh9 dan mencemarkan imej profesion undang-undang.


     Bagi keluarga Chung, walaupun mereka akhirnya menang di mahkamah, perjuangan mereka bukan mudah. Mereka menanggung beban tekanan mental dan kewangan yang besar sepanjang tempoh perbicaraan. Kes ini memaksa mereka untuk mempertahankan diri daripada tuntutan luar biasa yang berlarutan selama beberapa tahun. Banyak pihak simpati terhadap mereka. Malah ada yabg mengumpul dana untuk membantu keluarga tersebut menampung kos guaman keluarga Chung.


Catat Ulasan for "Kisah Gila Hakim Saman Kedai Dobi RM241 Juta Hanya Kerana Seluar"