Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES PEMBUNUHAN KEJAM MAHALAKSHMI DI BENGALURU

     Kes pembunuhan Mahalakshmi di Bengaluru, India merupakan antara kes jenayah paling mengerikan dan kejam yang pernah berlaku di negara itu pada tahun 2024. Mangsa iaitu seorang wanita berusia sekitar 29 tahun ditemui mati dalam keadaan yang amat menyayat hati di mana tubuhnya dikerat kepada 59 bahagian kecil dan disimpan di dalam peti sejuk di rumah sewanya di kawasan Tigalarapalya, Peenya, Bengaluru. 

     Menurut laporan polis, Mahalakshmi sebelum ini tinggal bersama seorang lelaki bernama Mukti Ranjan Ray yang juga dikenali sebagai Mukti Roy, seorang juruteknik berasal dari negeri Odisha. Mereka dikatakan tinggal bersama selama lebih setahun dan menjalinkan hubungan peribadi yang rumit. Siasatan awal mendapati bahawa hubungan antara mereka sering dilanda pertengkaran. Pada malam 2 September 2024, pertengkaran besar dilaporkan berlaku di antara mereka berdua yang akhirnya membawa kepada pembunuhan kejam tersebut.

     Berdasarkan hasil siasatan, pihak polis percaya bahawa Mukti membunuh Mahalakshmi pada malam itu dengan cara yang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya yakni sama ada menggunakan objek tumpul atau senjata tajam. Namun keesokan harinya, dia didakwa memotong tubuh mangsa kepada 59 bahagian menggunakan alat pemotong daging sebelum menyimpannya dalam peti sejuk di rumah tersebut. Bahagian-bahagian tubuh itu dibungkus dengan teliti menggunakan plastik dan disusun di dalam peti sejuk bersaiz besar bagi mengelakkan bau yang dapat menarik perhatian jiran.

     Selepas pembunuhan itu, Mukti dilaporkan melarikan diri ke kampung halamannya di Odisha, kira-kira 1400 kilometer dari lokasi kejadian. Pihak polis Bengaluru mula mengesyaki sesuatu apabila jiran Mahalakshmi menyedari bahawa wanita itu tidak kelihatan selama beberapa hari dan terdapat bau busuk yang kuat dari rumahnya. Apabila rumah tersebut diperiksa pada 5 September 2024, pihak polis menemui mayat Mahalakshmi dalam keadaan dikerat lalu melancarkan operasi besar-besaran untuk menjejaki suspek utama, Mukti.

     Tidak lama selepas itu, pada 27 September 2024, Mukti ditemui mati tergantung di kawasan hutan berhampiran kampungnya di daerah Bhadrak, Odisha. Polis percaya dia telah membunuh diri setelah menyedari dirinya sedang diburu secara meluas. Di lokasi kejadian, pihak polis turut menemui nota bunuh diri yang ditulis oleh Mukti. Dalam nota tersebut, dia mendakwa bahawa dirinya terpaksa membunuh Mahalakshmi kerana mendakwa mangsa cuba menyerangnya terlebih dahulu. Mukti menulis bahawa dia bertindak demi mempertahankan diri dan tidak berniat membunuh sama sekali. Walau bagaimanapun, bukti forensik menunjukkan tindakan memotong tubuh mangsa dilakukan dengan sengaja dan terancang selepas kematian.

     Selain nota bunuh diri, sebuah diari peribadi turut ditemukan di tempat tinggalnya. Dalam diari itu, Mukti menulis pelbagai catatan yang menunjukkan obsesi dan kemarahan terhadap Mahalakshmi. Catatan tersebut memperincikan beberapa peristiwa sebelum pembunuhan termasuk rasa cemburu, pergaduhan kecilnserta kekecewaan terhadap hubungan mereka. Pihak penyiasat menggambarkan kandungan diari itu sebagai mengerikan dan penuh justifikasi yang cuba mewajarkan pembunuhan.

     Selepas kematian suspek utama, polis Bengaluru mengesahkan bahawa kes ini akan diklasifikasikan sebagai abated chargesheet, istilah undang-undang yang bermaksud pendakwaan dibatalkan kerana suspek telah meninggal dunia sebelum dibawa ke mahkamah. Cuma pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi memastikan sama ada terdapat individu lain yang mungkin terlibat secara tidak langsung seperti membantu Mukti melarikan diri atau menyembunyikan bukti.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM MAHALAKSHMI DI BENGALURU"