Kisah Kematian Aliyah Jaico: Kanak-kanak 8 Tahun Mati Ditarik ke Dalam Paip Kolam Renang

Menurut laporan pihak berkuasa, kehilangan Aliyah disedari oleh keluarganya setelah hanya beberapa minit mereka leka memerhati. Pihak hotel dan penyelamat segera dipanggil untuk mencari mangsa. Walau bagaimanapun, pencarian yang pada mulanya dianggap kes lemas biasa bertukar menjadi misteri menakutkan apabila tubuh Aliyah tidak ditemui di permukaan atau dasar kolam. Selepas lebih sejam mencari, pasukan penyelamat akhirnya menemui petunjuk mencurigakan di mana sistem paip sedutan di kolam tersebut yang sepatutnya ditutup dengan pelindung keselamatan didapati tidak mempunyai penutup yang sempurna.

Apabila sistem aliran kolam dikaji semula, pasukan penyelamat memutuskan untuk mengosongkan kolam air sepenuhnya. Di sinilah mereka menemui pemandangan yang amat menyayat hati. Tubuh kecil Aliyah terperangkap di dalam paip yang menghubungkan sistem peredaran air kolam tersebut. Menurut dokumen tuntutan mahkamah, Aliyah dipercayai telah disedut secara ganas ke dalam saluran paip yang berdiameter antara 12 hingga 16 inci yakni cukup sempit untuk menyebabkan dia tidak dapat bergerak atau bernafas. Laporan forensik kemudian mengesahkan bahawa punca kematian adalah lemas serta asfiksia mekanikal iaitu keadaan di mana daya fizikal menghalang mangsa daripada bernafas.
Pemeriksaan oleh Harris County Institute of Forensic Sciences menyimpulkan bahawa kematian Aliyah adalah kemalangan tidak disengajakan. Cuma bagi keluarga kecil ini, kesimpulan itu tidak cukup untuk menenangkan kesedihan mereka. Ibu kepada mangsa, Jose Daniela Jaico Ahumada kemudian memfailkan tuntutan saman kematian salah terhadap pihak hotel dan syarikat pengurusan mereka, Northwest Hospitality Services, LLC serta Unique Crowne Hospitality. Dalam saman itu, dia mendakwa pihak hotel gagal mematuhi piawaian keselamatan kolam renang dan tidak menutup bahagian sistem sedutan dengan pelindung sepatutnya walaupun terdapat peraturan ketat yang mewajibkan perkara itu di semua fasiliti awam.

Menurut kenyataan peguam keluarga, sistem kolam tersebut sepatutnya direka dengan mekanisme keselamatan tambahan yang menghalang sebarang objek besar termasuk manusia daripada disedut masuk. Namun dalam kes ini, kegagalan teknikal dan kecuaian penyelenggaraan didakwa menjadi punca utama tragedi yang meragut nyawa seorang kanak-kanak tidak berdosa. Keluarga Jaico menuntut ganti rugi berjumlah USD 1 juta sebagai bentuk keadilan terhadap kehilangan anak mereka yang disifatkan sebagai akibat kecuaian yang boleh dielakkan.
Pihak pengurusan hotel sebaliknya dalam maklum balas rasmi mereka menolak tanggungjawab penuh. Mereka mendakwa bahawa kematian tersebut merupakan satu kemalangan malang dan menyatakan bahawa keluarga mangsa juga mungkin mempunyai unsur kecuaian kerana gagal mengawasi anak mereka dengan lebih dekat semasa berenang. Kenyataan balas itu mengundang kontroversi kerana ramai berpendapat bahawa tanggungjawab utama memastikan keselamatan kolam renang terletak pada pihak pengurusan yang mengutip bayaran daripada pengunjung.

Beberapa laporan media turut menyebut tentang aspek teknikal kolam termasuk kelemahan dalam reka bentuk sistem aliran air dan ketiadaan alat pelindung yang boleh menyelamatkan nyawa Aliyah sekiranya dipasang dengan betul. Selepas kejadian, kolam renang hotel tersebut ditutup untuk siasatan penuh oleh pihak berkuasa Houston dan Jabatan Kesihatan Awam Texas.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Aliyah Jaico: Kanak-kanak 8 Tahun Mati Ditarik ke Dalam Paip Kolam Renang"