Kisah Misteri SOS di Gunung Asahidake 1989

Gunung Asahidake, terletak di Pulau Hokkaido, Jepun merupakan puncak tertinggi di kawasan Taman Negara Daisetsuzan. Berketinggian mencecah hampir 2300 meter dari paras laut, gunung berapi yang masih aktif ini sering menjadi destinasi tumpuan pendaki, jurugambar dan pencinta alam yang mahu menikmati pemandangan salji abadi, wap sulfur yang keluar dari tanah serta hutan birch yang indah di kaki gunungnya. Cuma di sebalik keindahan itu, terdapat satu kisah benar yang kekal misteri hingga kini yang dikenali sebagai The Asahidake SOS Incident.
Pada 24 Julai 1989, dua orang pendaki dari Tokyo memulakan ekspedisi ke puncak Gunung Asahidake. Mereka dikatakan berpengalaman dalam aktiviti mendaki dan telah menyiapkan segala peralatan serta bekalan yang mencukupi untuk perjalanan dua hari. Namun sebaik tiba di kawasan lereng gunung, keadaan cuaca mula berubah dengan cepat. Kabus tebal turun bersama hujan renyai dan pandangan di sekeliling menjadi sangat terhad. Dalam kekeliruan itu, kedua-dua pendaki tersasar daripada laluan rasmi yang digunakan oleh pelancong serta pendaki tempatan. Mereka akhirnya tersesat di kawasan berbatu dan curam di bahagian selatan gunung.

Apabila laporan kehilangan mereka diterima oleh pihak berkuasa, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada hari berikutnya. Sebuah helikopter penyelamat telah dikerahkan untuk meninjau kawasan luas di sekitar gunung tersebut. Ketika inilah pasukan penyelamat membuat satu penemuan mengejutkan iaitu satu tanda besar berbentuk huruf SOS yang dibina daripada batang-batang pokok. Tanda itu cukup besar sehingga jelas kelihatan dari udara dan ia terletak kira-kira empat kilometer di selatan puncak Gunung Asahidake.
Tanda itu kelihatan seperti dibuat dengan teliti di mana setiap batang kayu disusun sejajar yang menunjukkan seseorang benar-benar berusaha keras untuk menarik perhatian penyelamat. Namun yang ganjil ialah apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi dan menemui dua pendaki yang hilang itu dalam keadaan selamat tidak jauh dari situ. Mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa tanda SOS tersebut dibuat oleh mereka. Mereka berkata mereka tidak pernah melihat tanda itu apatah lagi mempunyai masa atau tenaga untuk membinanya. Kedua-dua pendaki itu diselamatkan dan dibawa turun ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

Keesokan harinya, penyiasatan diteruskan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk memeriksa kawasan sekitar tanda SOS tersebut memandangkan kemungkinan ada orang lain yang memerlukannya. Di situ, mereka menemui satu lagi kejutan yang lebih mengerikan yakni sisa tulang manusia yang berselerakan, bersama kasut, pakaian koyak dan beberapa barang peribadi. Antara barangan yang ditemui termasuk sebuah kamera, pita kaset dan dompet yang mengandungi kad pengenalan atas nama Kenji Iwamura, seorang lelaki yang dilaporkan hilang lima tahun sebelumnya, pada tahun 1984.
Pemeriksaan lanjut terhadap pita kaset tersebut mendapati rakaman suara seseorang yang sedang menjerit meminta tolong. Suara lelaki itu kedengaran panik, dengan kata-kata: “SOS... help me... I’m stuck on a cliff..". Rakaman itu berakhir dengan bunyi deruan angin kuat dan bunyi seolah-olah sesuatu terjatuh. Ia memberikan gambaran jelas bahawa Iwamura berada dalam situasi bahaya dan cuba menarik perhatian sesiapa yang mungkin lalu berhampiran.
Walau bagaimanapun, persoalan paling besar masih tidak terjawab, siapa yang membina tanda SOS itu? Pakar forensik menyimpulkan bahawa sisa tulang yang ditemui berusia kira-kira lima tahun, sepadan dengan tarikh kehilangan Iwamura pada tahun 1984. Ini bermakna tanda itu kemungkinan dibina olehnya sebelum dia mati. Namun beberapa pemerhati mendakwa tanda SOS itu kelihatan Tambahan pula, kedudukannya terlalu strategik dan jelas dari udara seolah-olah sengaja dibuat agar dilihat oleh pihak penyelamat.
![]() |
| Gambar sekadar hiasan (Janaan AI) |
Hingga pada hari ini, misteri tanda SOS di Gunung Asahidake masih belum dapat dijelaskan sepenuhnya. Apa pun punca sebenarnya, kisah benar tragedi Gunung Asahidake kekal sebagai salah satu misteri mendaki paling menyeramkan dalam sejarah Jepun.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri SOS di Gunung Asahidake 1989"