Kisah Scarlet Blake : Pembunuh yang Belajar Membunuh dari Seekor Kucing

Pada tahun 2021, pihak berkuasa United Kingdom berdepan satu kes pembunuhan yang pada mulanya kelihatan tiada motif jelas. Mangsa, seorang lelaki warga Sepanyol bernama Jorge Martin Carreno telah ditemui mati di Sungai River Cherwell di Oxford. Siiasatan kemudian bagaimanapun membongkar sesuatu yang jauh lebih mengerikan. Pelakunya yang dikenali sebagai Scarlet Blake mempunyai sejarah perbuatan sadis terhadap haiwan yang secara tidak langsung memberi bayangan kepada jenayah yang bakal dilakukannya terhadap manusia.
Blake digambarkan sebagai individu yang amat tertarik kepada tema kematian dan penderitaan. Hasil siasatan polis menunjukkan bahawa dia sering melayari laman web dan forum gelap yang memaparkan kandungan ganas termasuk penyeksaan haiwan. Di situ, Blake dilihat berinteraksi dengan pengguna lain di mana dia membincangkan tentang rasa ingin tahu terhadap kematian dan keinginan mengawal hidup makhluk lain.

Beberapa bulan sebelum kejadian pembunuhan manusia, Blake melakukan perbuatan kejam terhadap seekor kucing. Dalam rakaman video yang menjadi bukti utama di mahkamah, dia menangkap kucing itu menggunakan sangkar, menyeksanya dan kemudian membedah beberapa bahagian tubuh haiwan berkenaan sebelum berkata, “I can’t wait to put you through the blender, (Aku tak sabar nak masukkan kau ke dalam pengisar)” Selepas itu, Blake benar-benar memasukkan bangkai haiwan tersebut ke dalam pengisar. Perbuatan tersebut disiarkan secara penstriman langsung di internet dan menimbulkan kemarahan ramai. Walau bagaimanapun, tiada tindakan lanjut diambil ketika itu. Kejadian itu akhirnya menjadi petunjuk penting kepada corak pemikiran Blake.
Pada malam 25 Julai 2021, Jorge Martin Carreno, seorang pekerja restoran berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan pulang sendirian selepas keluar bersama rakan-rakan di Oxford. Dalam perjalanan, dia melalui laluan berhampiran sungai River Cherwell yakni lokasi yang sunyi dan gelap pada waktu itu. Waktu itulah Scarlet Blake dikesan berada di kawasan sama. Berdasarkan siasatan forensik dan rakaman CCTV, Blake telah mengikuti mangsa sebelum menyerangnya. Carreno mengalami kecederaan di kepala akibat hentakan kuat, dipercayai dipukul sebelum tidak sedarkan diri dan ditenggelamkan ke dalam sungai.

Keesokan paginya, mayat Carreno ditemui terapung oleh orang awam. Pada awalnya, polis menyangka ia kes kemalangan namun hasil bedah siasat menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa mangsa telah diserang sebelum mati. Setelah menyemak rakaman CCTV dan bukti DNA, pihak berkuasa menahan Scarlet Blake sebagai suspek utama.
Pendakwa raya menegaskan bahawa pembunuhan Carreno bukan perbuatan spontan. Hakim dalam kes ini menyifatkan Blake sebagai individu yang mempunyai obsesi terhadap kematian dan penderitaan. Bukti yang dibentangkan di mahkamah menunjukkan bahawa dia merancang untuk merasai kuasa menentukan hidup dan mati dan pembunuhan Carreno merupakan cara untuk memenuhi dorongan itu. Rakaman pembunuhan kucing digunakan di mahkamah untuk menunjukkan pola pemikiran Blake yang konsisten iaitu keinginan untuk mencederakan, keinginan untuk melihat penderitaan dan ketiadaan empati sepenuhnya terhadap makhluk hidup.

Semasa perbicaraan, Blake tidak menunjukkan sebarang penyesalan. Dia kekal tenang sepanjang sesi penghakiman walaupun bukti-bukti mengerikan dipaparkan di hadapan mahkamah. Hakim menyatakan bahawa tindakan Blake melampaui sempadan kemanusiaam dan menunjukkan tahap bahaya tinggi kepada orang awam.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 24 tahun sebelum boleh memohon parol. Dalam penghakiman bertulis, hakim menegaskan bahawa Blake memilih mangsa secara rawak semata-mata untuk memuaskan rasa ingin tahu sadis terhadap kematian. Ada juga teori bahawa Blake terpengaruh dengan dokumentari Don’t Fk with Cats: Hunting an Internet Killer yang mengisahkan tentang pembunuh haiwan yang akhirnya membunuh manusia.
Catat Ulasan for "Kisah Scarlet Blake : Pembunuh yang Belajar Membunuh dari Seekor Kucing"